Manfaat Daun Limau Purut Untuk Kesihatan

Mempunyai bau yang harum dan sedikit masam, daun limau purut sering digunakan di dalam masakan Melayu dan Thailand seperti tom yam, laksa, rendang, asam pedas dan sebagainya.

Aroma serta rasa yang dikeluarkan oleh daun ini juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan sukar digantikan oleh herba lain.

Ia juga sering digunakan sebagai ramuan dalam rawatan tradisional.

Sebenarnya, terdapat pelbagai manfaat daun istimewa yang mempunyai bentuk bercantum ini untuk kesihatan. Ayuh kita semak kelebihannya bersama-sama.

Manfaat Daun Limau Purut Untuk Kesihatan

Mengurangkan Bau Mulut

Sebelum wujudnya ubat gigi, orang di Asia Tenggara dikatakan telah mengunyah daun limau purut untuk mengurangkan bau mulut.

Ternyata kaedah ini tepat kerana para pengkaji di Thailand mendapati gabungan daun limau ini serta daun jambu dapat mengurangkan bau mulut secara berkesan.

Kesan ini dipercayai datang daripada minyak semulajadi serta komponen antibakteria yang dijumpai pada daun-daun tersebut.

Anda juga boleh cuba petua kunyah daun ini setiap pagi untuk kurangkan bau mulut.

Selain itu, ada juga petua yang mengatakan daun ini boleh memutihkan gigi. Caranya ialah dengan mengambil beberapa helai daun dan tumbukkannya bersama secubit garam sehingga menjadi pes.

Gunakan pes tersebut sebagai ubat gigi untuk memutihkan gigi.

Sebagai Agen Antibakteria

Sebut tentang antibakteria, daun daripada limau purut juga didapati mempunyai bahan pembasmi kuman termasuk Staphylococcus aureus yang sering menyerang bahagian kulit.

Disebabkan itu, daun limau purut juga merupakan bahan semulajadi yang sesuai untuk merawat luka.

Di samping itu, komponen antibakteria dan baunya yang harum menjadikan minyak daun limau purut sesuai digunakan sebagai produk penjagaan diri seperti sabun dan deodoran.

Untuk Kecantikan Kulit

Minyak semulajadi daripada daun limau ini juga dapat menghapuskan bakteria yang menyebabkan pertumbuhan jerawat di wajah.

Pada masa yang sama, minyak daripada daun limau ini juga mempunyai sifat antiradang bagi menghalang pembentukan jerawat serta parutnya.

Tidak hanya itu, malah elemen terpene seperti limonene dan citronellal dalam daun limau ini juga mempunyai kebaikan antioksida bagi mencegah penuaan dan mengekalkan kecantikan kulit.

Berpotensi Untuk Menguatkan Imuniti Tubuh

Komponen antioksida dan antibakteria yang terkandung di daun limau purut juga didapati berpotensi untuk menguatkan sistem pertahanan badan.

Pengambilan limau purut juga dipercayai dapat mencegah masalah penghadaman.

Menyihatkan Rambut

Buah-buahan sitrus termasuk limau purut sering digunakan sebagai rawatan rambut.

Secara tradisinya, buah limau ini sering digunakan dengan beluru dan sintok untuk mencuci rambut.

Ia dikatakan mampu mengurangkan masalah keguguran rambut serta menyihatkan rambut.

Selain itu, minyak daun yang istimewa ini juga dikatakan berkesan untuk melembapkan kulit kepala dan mengurangkan kelemumur.  

daun limau purut
Sumber : Mingguan Wanita

Tak sangka rupanya daun limau purut mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan, bukan sekadar penyeri masakan sahaja.

Jadi, anda jangan lupa untuk tambahkan daun ini dalam masakan nanti.

Sumber : Jabatan Pertanian Pulau Pinang, organicfacts.net, uscitrus.com

Baca Juga : 8 Khasiat Daun Bawang Untuk Kesihatan Tubuh

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!