8 Khasiat Daun Bawang Untuk Kesihatan Tubuh

Mempunyai aroma yang harum, daun bawang selalunya digunakan sebagai penyeri masakan khususnya bagi hidangan Asia.

Walaupun ia biasa digunakan dalam kuantiti sedikit, sebenarnya daun bawang mengandungi pelbagai khasiat untuk tubuh.

Ayuh sama-sama kita lihat manfaatnya.

daun bawang
Sumber : idntimes.com

 Kelebihan Daun Bawang Untuk Kesihatan

1. Membantu Turunkan Berat Badan

Daun ini bukan sahaja padat dengan nutrisi penting seperti vitamin C, vitamin K, potassium, magnesium dan kalsium, malah kalorinya juga rendah menjadikan ia sesuai untuk dinikmati oleh individu yang ingin turunkan berat badan.

Sebuah kajian ke atas tikus makmal juga mendapati daun bawang boleh merangsang pembentukan protein yang menyokong penyingkiran lemak dalam tubuh.

2. Sumber Serat Yang Baik

Secawan daun bawang boleh membekalkan sehingga 10 peratus daripada keperluan serat harian.

Dengan pengambilan serat yang mencukupi, ia dapat membantu untuk menurunkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit lain seperti diabetes dan penyakit jantung.

3. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Seperti yang dinyatakan, ekstrak daun bawang didapati dapat mengurangkan punca bagi masalah berkaitan jantung seperti kolesterol dan trigliserida.

Padat dengan vitamin K, ia juga memiliki potensi untuk melindungi jantung daripada pengerasan dinding arteri akibat pembentukan kalsium di kawasan tersebut.

4. Mencegah Penyakit dan Menguatkan Imuniti

Ekstrak daripada bawang putih, bawang merah dan seumpamanya sudah digunakan dalam perubatan tradisional sejak dahulu lagi.

Sayur-sayuran yang termasuk dalam keluarga bawang padat dengan phytonutrient termasuk antioksida yang berfungsi untuk melindungi sel daripada kerosakan.

Selain itu, daun bawang mengandungi vitamin C dan flavonoid yang dipanggil quercetin.

Kedua-dua komponen ini memainkan peranan untuk menguatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan jangkitan.

5. Baik Untuk Menguatkan Tulang

Khasiat vitamin K yang padat dalam daun ini juga dapat membantu menguatkan tulang.

Dengan pengambilan vitamin K yang mencukupi, ia dapat merangsang pembentukan protein yang penting untuk mengekalkan ketumpatan serta kandungan kalsium dalam tulang.

6. Berpotensi Untuk Melawan Kanser

Daun bawang dan sayuran dalam keluarga bawang lain mempunyai potensi untuk melawan pembentukan kanser khususnya dalam perut.

Para pengkaji percaya bahawa komponen penting yang dijumpai iaitu allicin berpotensi untuk mencegah tumor daripada merebak.

7. Untuk Sokongan Pembekuan Darah

Daun bawang padat dengan khasiat vitamin K, iaitu salah satu nutrisi penting dalam proses pembekuan darah.

Pembekuan darah adalah penting untuk mengelakkan pendarahan berlebihan terutamanya ketika seseorang mengalami kemalangan.

Kekurangan pengambilan vitamin K pula boleh menyebabkan badan mudah lebam atau berdarah termasuk di gusi serta hidung.

8. Baik Untuk Sistem Pencernaan

Siapa sangka daun bawang mempunyai komponen antivirus dan antibakteria yang boleh menyingkirkan bakteria jahat dalam perut?

Selain itu, kandungan vitamin C dalam daun ini juga dapat merangsang penyerapan nutrisi dan pencernaan yang lebih baik bagi mengelakkan masalah sembelit dan najis cair.

Pantang Larang Pengambilan Daun Bawang

Disebabkan daun ini tinggi kandungan vitamin K, ia boleh memberi kesan kepada pengambilan ubat cair darah.

Sekiranya anda mengambil ubat warfarin, semak dengan doktor terlebih dahulu untuk pastikan daun bawang selamat untuk diambil.

Tak sangka daun yang kita sering gunakan sebagai penyeri masakan ini mengandungi pelbagai manfaat pada kesihatan.

Selepas ini, jangan lupa untuk masukkan daun ini dalam masakan anda. Menyedapkan masakan dan bermanfaat untuk seisi keluarga.

Sumber : webmd.com, healthbenefitstimes.com

Baca Juga : Daun Ketumbar: 11 Khasiat Yang Mengejutkan Ramai Orang

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!