Chery Tiggo 9 Malaysia: Spesifikasi, Rekabentuk, Varian, Harga

Chery Tiggo 9
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Chery Tiggo 9 kini secara rasminya menjadi model flagship terbaru dalam barisan SUV Chery di Malaysia, mengukuhkan kedudukan jenama China ini dalam segmen D-SUV yang semakin kompetitif.

Dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang di bangunan bersejarah Bangunan Sultan Abdul Samad, Chery Tiggo 9 hadir sebagai sebuah SUV tujuh tempat duduk yang menggabungkan gaya mewah, teknologi canggih, dan prestasi mantap, sekaligus menawarkan nilai yang sangat kompetitif dalam pasaran tempatan.

Pada masa pelancaran ini, Chery Tiggo 9 yang ditawarkan di Malaysia hanyalah varian enjin pembakaran dalaman (ICE) sahaja.

Walau bagaimanapun, Chery Malaysia sebelum ini telah menyatakan bahawa varian dengan sistem pacuan hibrid plug-in (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH) akan menyusul pada masa hadapan, kemungkinan besar pada separuh pertama tahun akan datang.

Varian PHEV ini dijangka menggunakan sistem 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik, namun spesifikasi bateri dan jarak pemanduan untuk pasaran tempatan masih belum diumumkan lagi .

Spesifikasi Chery Tiggo 9

spesifikasi Chery Tiggo 9

Chery Tiggo 9 digerakkan oleh enjin 2.0 liter TGDi (Turbocharged Gasoline Direct Injection) empat silinder yang sama digunakan pada Tiggo 8 Pro. Unit berkuasa ini mampu menjana 256 PS dan tork 390 Nm, memberikan pecutan yang responsif untuk sebuah SUV bersaiz besar.

Kuasa ini disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan semua roda (AWD) pintar, satu peningkatan ketara berbanding pacuan roda hadapan pada adik-beradiknya.

Sistem AWD ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan yang menukar gear secara lancar dan pantas.

Untuk menyesuaikan dengan pelbagai keadaan jalan raya, Chery Tiggo 9 menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road, menjadikannya bersedia untuk pelbagai cabaran dari jalan bandar sehingga laluan luar jalan yang ringan.

Dari segi kecekapan, penggunaan minyaknya direkodkan pada 8.3 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala pecutan 0-100 km/jam boleh dicapai dalam masa 9.3 saat.

Dengan tangki minyak 65 liter, saiznya yang besar dengan dimensi 4,810 mm panjang, 1,925 mm lebar, dan jarak roda 2,800 mm menjanjikan ruang kabin yang luas untuk keselesaan semua penumpang.

Rekabentuk Luaran

rekaan luaran Chery Tiggo 9

Rekaan luaran Chery Tiggo 9 tampil dengan personaliti yang tersendiri, beralih daripada gaya “berinspirasikan Mercedes-Benz” yang terdapat pada beberapa model lain dalam kumpulan Chery.

Penampilannya yang lebih bersih dan elegan, dengan sentuhan moden yang sgar dan ciri utama yang menyerlah termasuklah jeriji hadapan 3D berbentuk berlian yang besar, lampu utama LED penuh dengan lampu isyarat jenis aliran dinamik (sequential light), dan lampu belakang LED yang direka dengan elemen berlian .

Tampil dengan rim aloi 20-inci rekaan mewah, pemegang pintu jenis flush yang kemas, dan lampu puddle (cahaya projeksi di bawah pintu) menambahkan lagi elemen eksklusif.

Chery Tiggo 9 hanya ditawarkan dalam dua pilihan warna badan iaitu Matte Grey (kelabu matte) yang kelihatan premium dan Carbon Black (hitam), menjadikannya antara model pertama dalam negara yang menawarkan kemasan matte dari kilang .

Rekabentuk Dalaman

rekaan dalaman Chery Tiggo 9

Ruang dalaman Chery Tiggo 9 direka untuk memberikan pengalaman “kemewahan pintar” kepada semua penumpang.

Fokus utama pada papan pemuka adalah skrin sentuh infotainmen menegak bersaiz 15.6-inci dengan resolusi 2.5K, yang dikuasakan oleh cip Snapdragon 8155 daripada Qualcomm untuk prestasi yang pantas dan lancar.

Skrin besar ini disokong oleh kluster meter digital 10.25-inci dan satu paparan kepala (Head-Up Display) untuk memudahkan pemandu melihat maklumat penting .

Dari segi keselesaan, tempat duduk hadapan menawarkan fungsi larasan elektrik 10-hala untuk pemandu, fungsi pengudaraan (ventilated) dan pemanas untuk barisan pertama dan kedua, serta fungsi urutan (massage) untuk kerusi hadapan.

Suasana kabin boleh disesuaikan dengan lampu ambien 64-warna, manakala sistem audio Sony 14-pembesar suara, termasuk pembesar suara pada perehat kepala, menjanjikan kualiti bunyi yang mengasyikkan.

Kemudahan lain termasuk pengecas tanpa wayar 50W, ruang simpanan tengah yang mempunyai fungsi penyejukan, dan bumbung panorama yang menjadikan ruang kabin terasa lebih luas.

Dengan konfigurasi tempat duduk 2+3+2, ruang kargo adalah fleksibel dengan 143 liter apabila ketiga-tiga baris digunakan, 448 liter dengan barisan ketiga dilipat, dan maksimum 2,065 liter apabila dua barisan belakang dilipat rata.

Keselamatan juga menjadi keutamaan dengan 10 beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan dan beg udara lutut pemandu, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.5 dengan 23 fungsi seperti kawalan pelayaran adaptif (ACC), bantuan menukar lorong, dan kamera panorama 540-darjah.

Artikel berkaitan: Hyundai Ioniq 6 N: Spesifikasi, Rekabentuk, Varian, Harga

Varian dan Harga Chery Tiggo 9

Chery Tiggo 9 ditawarkan dalam satu spesifikasi utama tetapi dengan dua pilihan pakej untuk pembeli, iaitu Flexi dan Prime dan perbezaan utama antara kedua-duanya adalah pada harga dan manfaat yang ditawarkan:

  • Varian Flexi: Dihargai pada RM166,800. Pakej ini merangkumi jaminan kenderaan 7 tahun atau 150,000 km, jaminan enjin 10 tahun atau 1,000,000 km, dan perkhidmatan penyelenggaraan percuma selama 5 tahun.
  • Varian Prime: Dihargai pada RM179,800. Pakej ini menawarkan semua manfaat daripada pakej Flexi dengan tambahan RM5,000 rebat tunai, RM3,000 subsidi minyak, dan insurans percuma selama setahun bernilai RM4,500. Dengan semua rebat ini, harga efektifnya adalah sekitar RM171,800.

Kedua-dua pakej ini adalah sebahagian daripada tawaran tempahan awal (early bird), menjadikan Chery Tiggo 9 sebagai pilihan yang sangat menarik dalam pasaran SUV mewah dengan harga bawah RM180,000.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan, layari laman web rasmi Chery Malaysia.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
Avatar image of Affan