Hyundai Ioniq 6 N: Spesifikasi, Rekabentuk, Varian, Harga

spesifikasi Hyundai Ioniq 6 N
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Hyundai Ioniq 6 N telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2026, sekaligus menandakan buat pertama kalinya jenama prestij N dari Korea Selatan itu menawarkan kenderaan berprestasi tinggi secara serius di pasaran tempatan.

Model elektrik sepenuhnya ini berkongsi pentas dengan saudaranya iaitu Ioniq 5 N, namun bagi peminat sedan aerodinamik, Ioniq 6 N pastinya lebih menarik perhatian.

Dengan reka bentuk yang tirus dan futuristik, ditambah dengan kuasa luar biasa daripada sistem dwi-motor elektrik, Hyundai Ioniq 6 N bukan sekadar kereta elektrik biasa, tetapi sebuah kenderaan yang direka untuk menakluk litar lumba sekali gus memenuhi keperluan harian.

Secara keseluruhannya, Hyundai Ioniq 6 N yang dilancarkan di KLIMS 2026 adalah sebuah kenderaan elektrik prestasi tinggi yang berjaya menggabungkan kuasa gila, teknologi canggih, dan rekabentuk aerodinamik yang menarik.

Spesifikasi

harga Hyundai Ioniq 6 N

Apabila membincangkan spesifikasi Hyundai Ioniq 6 N, perkara pertama yang pasti menjadi tumpuan adalah sistem pacuan dwi-motornya yang luar biasa bertenaga.

Kenderaan ini dilengkapi dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan 226 PS (166 kW) dan motor belakang yang menghasilkan 383 PS (282 kW).

Apabila digabungkan, sistem ini mampu menjana kuasa sebanyak 609 PS (448 kW) dengan tork 740 Nm. Namun, apabila mod N Grin Boost (NGB) diaktifkan, kuasa melonjak kepada 650 PS (478 kW) dengan tork 750 Nm.

Dengan kuasa sebesar itu, Hyundai Ioniq 6 N mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat, iaitu lebih pantas 0.2 saat berbanding Ioniq 5 N. Kelajuan tertinggi yang boleh dicapai adalah 257 km/j, sedikit lebih rendah berbanding Ioniq 5 N mungkin disebabkan oleh profil aerodinamik yang berbeza.

Untuk memaksimumkan prestasi di jalan raya, Hyundai melengkapkan Ioniq 6 N dengan fungsi N Race yang menawarkan mod Sprint untuk kuasa penuh dan penyejukan optimum, serta mod Endurance untuk jarak pemanduan lebih jauh.

Terdapat juga N Battery Preconditioning yang membolehkan bateri disediakan secara khusus untuk sesi litar atau drag. Semua fungsi ini boleh diakses dengan mudah melalui butang N khusus pada stereng, memberikan pengalaman memandu yang boleh disesuaikan sepenuhnya mengikut keperluan pemandu.

Rekabentuk Luaran

Hyundai Ioniq 6 N rekabentuk luaran

Hyundai Ioniq 6 N tampil dengan perubahan ketara berbanding Ioniq 6 standard untuk memantapkan lagi imej sukan dan prestasi tingginya.

Bahagian hadapan Ioniq 6 N menerima lampu utama berpecah (split headlights) yang merupakan ciri model facelift, bersama dengan bampar hadapan yang lebih agresif dengan saluran udara yang lebih besar untuk menyejukkan sistem brek dan motor elektrik.

Sayap belakang (swan-neck rear wing) yang besar dan unik menjadi ciri paling menonjol di bahagian belakang, memberikan downforce tambahan pada kelajuan tinggi.

Fender atau bibir roda juga dilebarkan untuk menempatkan rim aloi palsu (forged wheels) bersaiz 20 inci yang dibalut dengan tayar prestasi tinggi Pirelli P Zero Elect.

Terdapat aksen merah di sekitar bahagian bawah kereta serta lencana N yang menjadi penanda aras bagi varian paling berkuasa ini.

Rekabentuk keseluruhan Ioniq 6 N yang tirus dan licin ini bukan hanya untuk estetika, malah ia membantu meningkatkan kecekapan aerodinamik dan kestabilan pada kelajuan tinggi.

Rekabentuk Dalaman

rekaan dalaman Hyundai Ioniq 6 N

Memasuki ruang kabin Hyundai Ioniq 6 N, pengguna akan disambut dengan suasana berorientasikan pemandu yang dipenuhi dengan sentuhan mekanikal dan teknologi canggih.

Stereng N yang eksklusif menempatkan pelbagai butang tambahan untuk mengawal fungsi prestasi seperti N Grin Boost, N Race, N Torque Distribution, dan N Pedal.

Yang menarik, Ioniq 6 N dilengkapi dengan sistem N e-Shift yang mensimulasikan pertukaran gear lapan-kelajuan transmisi dwi-klac (DCT) seperti kereta enjin pembakaran dalaman, digandingkan dengan N Active Sound+ yang mengeluarkan bunyi pecutan melalui lapan pembesar suara sistem Bose dan pembesar suara luaran.

Untuk Ioniq 6 N, bunyi enjin petrol maya (Ignition) telah diperhalusi, manakala mod bunyi jet pejuang digantikan dengan mod futuristik “Lightspeed” yang lebih bersifat fiksyen sains.

Dari segi sistem infotainmen, paparan dwi 12.3 inci untuk meter digital dan skrin sentuh kini menjalankan sistem ccNS (connected car Navigation System) yang akhirnya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara wayarles.

Konsol tengah baharu hasil daripada kemasan facelift menawarkan dua port USB-C dan ruang simpanan yang lebih luas.

Satu ciri unik yang hanya ada pada Ioniq 6 N adalah pelekap terbina di bumbung untuk memasang kamera aksi seperti GoPro, serta Track Manager yang berfungsi sebagai penganalisis dan pencatat masa pusingan litar.

Bateri dan Jarak Pemanduan

Hyundai Ioniq 6 N

Walaupun prestasi adalah keutamaan, aspek bateri dan jarak pemanduan tetap menjadi pertimbangan penting untuk sebuah EV.

Hyundai Ioniq 6 N dilengkapi dengan pek bateri NMC berkapasiti 84 kWh generasi kedua yang sama digunakan dalam Ioniq 5 N dan model facelift Ioniq standard.

Kapasiti ini membolehkan Ioniq 6 N mencapai jarak pemanduan sehingga 487 kilometer berdasarkan kitaran ujian WLTP, iaitu lebih baik berbanding Ioniq 5 N yang hanya menawarkan 448 kilometer.

Perbezaan ini munasabah memandangkan bentuk badan Ioniq 6 N yang lebih aerodinamik memberikan kecekapan tenaga yang lebih tinggi walaupun dengan bateri yang sama.

Dari segi keupayaan pengecasan pantas DC, bateri generasi kedua ini menyokong kuasa pengecasan yang lebih tinggi sehingga ia boleh diisi dari 10 peratus hingga 80 peratus hanya dalam masa 18 minit, dengan syarat menggunakan pengecas berkuasa tinggi yang sesuai.

Artikel berrkaitan: Toyota Urban Cruiser EV Malaysia – Spesifikasi, Rekabentuk, Varian, Harga

Varian dan Harga

Warna-warna yang ditawarkan untuk Ioniq 6 N pula agak eksklusif termasuk Serenity White Pearl, Nocturne Grey Metallic, Abyss Black, matte Nocturne Grey, Gravity Gold, dan yang paling ikonik ialah warna Performance Blue (dalam pilihan mutiara) yang menjadi identiti jenama N.

Berdasarkan pengumuman rasmi di KLIMS 2026, harga atas jalan (on-the-road) tanpa insurans untuk Ioniq 6 N ditetapkan pada RM449,888.

Angka ini lebih rendah sedikit daripada jangkaan awal yang sekitar RM460,000, sekaligus memberikan kejutan positif kepada peminat.

Sebagai perbandingan, Ioniq 5 N dijual pada harga RM443,888, menjadikan perbezaan harga antara kedua-dua model N ini hanya sekitar RM6,000.

Untuk makluman, kedua-dua model ini dijual secara indent atau made-to-order, bermakna ia tidak tersedia secara stok sedia ada di semua showroom.

Pelanggan yang berminat hanya boleh membuat pesanan di pengedar N terpilih yang buat masa ini terhad kepada Sime Darby Auto Hyundai di Selangor dan Kuala Lumpur, Goh Brothers Motor di Pulau Pinang, serta Heng Lian Enterprise di Kuching, Sarawak.

Sebagai sebahagian daripada pakej pelancaran terhad, pembeli awal akan menerima kotak dinding pengecas AC percuma atau baucar JomCharge bernilai RM1,800, cenderamata N bernilai sehingga RM2,000, serta kadar faedah serendah 1.97 peratus setahun.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Hyundai.

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut