Cara Tukar Nama Tanah – Dokumen Diperlukan & Prosedur yang Perlu Anda Tahu

Cara Tukar Nama Tanah
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Cara Tukar Nama Tanah sebenarnya tak susah mana pun. Yang penting anda tahu dokumen yang diperlukan dan juga prosedur apa yang perlu dilakukan.

Pertukaran nama tanah atau pindah milik selalunya dibuat atas beberapa sebab, sama ada kes jual beli, pembahagian harta pusaka, atau pemberian kasih sayang antara ahli keluarga.

Jom baca info lebih lanjut mengenai cara tukar nama tanah di bawah dan dokumen diperlukan.

Nak Tukar Nama Tanah Perlukan Peguam ke?

Jawapannya adalah TIDAK WAJIB.

Berdasarkan portal rasmi Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), semua urusan pindah milik tanah boleh diproses sendiri tanpa melantik peguam.

Walau bagaimanapun, kebenaran untuk menguruskan sendiri ini tertakluk kepada situasi dan jenis transaksi tanah tersebut.

Situasi yang BOLEH Dibuat Sendiri (Tanpa Peguam)

Anda boleh pergi terus ke Pejabat Tanah sekiranya urusan melibatkan:

  • Pindah Milik Kasih Sayang: Pemberian sukarela tanpa balasan wang antara ahli keluarga terdekat (suami kepada isteri, isteri kepada suami, atau ibu/bapa kepada anak).
  • Tiada Hutang Bank: Tanah tersebut bebas daripada sebarang sekatan, tiada tunggakan, dan tidak digadaikan kepada mana-mana institusi kewangan.
  • Saksi Percuma: Proses menandatangani Borang 14A boleh disaksikan terus di hadapan Pentadbir Tanah atau Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah secara percuma.

Situasi yang WAJIB / SANGAT DISARANKAN Guna Peguam

Undang-undang atau pihak ketiga akan mewajibkan pelantikan peguam sekiranya berlaku keadaan berikut:

  • Melibatkan Pinjaman Bank (Loan): Jika pembeli menggunakan pinjaman bank untuk membeli tanah, atau tanah tersebut masih mempunyai baki hutang (perlu proses Discharge of Charge / Lepas Gadaian).
  • Transaksi Jual Beli Komersial: Melibatkan penyediaan Perjanjian Jual Beli (SPA) yang rumit, pengurusan wang pertaruhan (deposit), serta pembayaran cukai keuntungan harta tanah (CKHT).
  • Mempunyai Sekatan Kepentingan: Tanah yang mempunyai status sekatan (contoh: “Tanah ini tidak boleh dipindah milik tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Negeri”) atau terdapat tuntutan Kaveat.

Dokumen Penting Yang Wajib Ada

Dokumen yang diperlukan untuk membuat pemindahan hak milik tanah ialah:

Untuk dimuat naik dalam Sistem STAMPS & MyTax

Dokumen diperlukaan untuk muat naik secara digital bagi tujuan penilaian cukai/duti setem:

  • Borang 14A (Salinan): Selesai ditandatangani dan disaksikan pegawai sah.
  • Salinan IC: Pemberi dan Penerima.
  • Bukti Hubungan (Jika kes Kasih Sayang): Sijil Kelahiran (Ibu/Bapa ke Anak) ATAU Sijil Nikah (Suami ke Isteri).
  • Surat Perjanjian Jual Beli (SPA) (Jika kes Jual Beli)

Untuk di bawa ke Kaunter Perserahan

Dokumen fizikal wajib dibawa ke kaunter untuk proses tukar nama pada geran:

  • Geran Tanah Asal: Dokumen fizikal (bukan salinan).
  • Borang 14A Asal: Yang telah ditandatangani.
  • Sijil Setem Digital LHDN: Bukti bayaran / pengecualian duti setem.
  • Salinan IC (Depan/Belakang): Pemberi dan Penerima.
  • Resit Cukai Tanah Semasa: Sudah dibayar (Baki RM0).
  • Resit Cukai Pintu Semasa: Sudah dibayar (Baki RM0).

Dokumen Sampingan (Jika Berkenaan Sahaja)

Dokumen ini tidak perlu dibawa kecuali jika kes anda memenuhi syarat di bawah:

  • Surat Kebenaran Pindah Milik (Consent): Wajib jika geran tanah ada sekatan kepentingan (“Tanah ini tidak boleh dipindah milik tanpa kebenaran…”).
  • Surat Pelepasan Gadaian (Discharge of Charge): Wajib daripada bank jika tanah tersebut baru selesai habis bayar pinjaman.
  • Surat Akuan Berkanun (Surat Sumpah)
  • Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney – PA): Diperlukan jika pemilik asal uzur/berada di luar negara dan diwakili oleh orang lain.

    Prosedur & Cara Tukar Nama Tanah 2026

    Langkah 1: Sedia & Isi Borang 14A Secara Fizikal

    • Dapatkan Borang 14A (Surat Cara Pindah Milik) daripada Pejabat Tanah.
    • Isi borang menggunakan pen dakwat hitam. Sediakan juga dokumen sokongan seperti geran asal, salinan IC pemberi/penerima, dan resit cukai tanah semasa.

    Langkah 2: Pergi ke Pejabat Tanah untuk Sesi Penyaksian Tandatangan

    • Pemilik asal (pemberi) dan pemilik baharu (penerima) wajib hadir bersama di hadapan pegawai yang sah, seperti Pentadbir Tanah di Pejabat Tanah atau Majistret untuk menandatangani Borang 14A tersebut.

    Langkah 3: Urusan e-CKHT & Portal Stamps LHDN

    • Isi e-CKHT: Log masuk ke portal MyTax LHDN. Pengisytiharan cukai keuntungan tanah melalui menu e-CKHT adalah mandatori,
    • Buka Portal Stamps LHDN. Isi maklumat dan muat naik dokumen (Borang 14A yang telah disaksikan dan surat perjanjian jual beli yang telah dimatikan setem) ke sistem STAMPS untuk penilaian duti setem.
    • Tunggu 3-5 hari untuk mengetahui nilai tafsiran stamp duty yang kena bayar.
    • Selepas bayaran duti setem dibuat (atau mendapat sijil pengecualian bagi kes kasih sayang), LHDN akan mengeluarkan Sijil Setem Digital.

    NOTA: Anda wajib mendaftarkan Borang 14A yang telah disaksikan ke Pejabat Tanah dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh borang ditandatangani.

    Langkah 4: Imbasan Biometrik e-Selamat & Penyerahan Dokumen

    • Bawa semua dokumen lengkap (Geran asal, Borang 14A yang telah dicap setem, dan Sijil Setem) ke kaunter Pejabat Tanah untuk urusan pindah milik.
    • Pemberi dan penerima mesti melakukan pengesahan cap jari biometrik melalui sistem e-Selamat di kaunter untuk mengesahkan identiti tulen dan mengelakkan kes pemalsuan hak milik (bergantung kepada polisi Pejabat Tanah (PTG) negeri masing-masing).

    Langkah 5: Bayaran Yuran & Pengeluaran Geran Baharu

    • Jelaskan yuran pendaftaran perserahan di kaunter Pejabat Tanah.
    • Selesai.

    Borang 14A

    Berikut ialah contoh Borang 14A yang wajib disi untuk proses tukar nama geran tanah dalam bentuk PDF:

    Maklumat Lanjut

    Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, anda boleh merujuk atau hadir terus ke agensi-agensi kerajaan berikut:

    1. Portal Rasmi: Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG).
    2. Hadir ke Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri atau Pejabat Tanah Daerah (PTD) di mana tanah anda itu berada.
    3. Hadir ke mana-mana Cawangan LHDN yang berdekatan dengan anda (khususnya bahagian Setem dan Cukai Keuntungan Harta Tanah.
    4. Untuk urusan Surat Sumpah (Akuan Berkanun): Sila hadir ke mana-mana pejabat Pesuruhjaya Sumpah (Commissioner for Oaths) berlesen.

    Soalan Lazim Cara Tukar Nama Tanah

    Bolehkah saya tukar nama tanah jika geran asal hilang?

    Tidak boleh. Anda wajib mempunyai Geran Tanah Asal (Hakmilik Keluaran) untuk urusan pindah milik. Jika hilang, pemilik lama perlu membuat laporan polis dan memohon geran baharu (ganti) di Pejabat Tanah terlebih dahulu sebelum proses tukar nama boleh dibuat.

    Berapa lama tempoh masa untuk geran baharu siap?

    Bagi tanah bebas sekatan, pendaftaran boleh selesai seawal 1 hari bekerja. Walau bagaimanapun, proses cetakan dan penyerahan geran fizikal baharu biasanya mengambil masa antara 2 minggu hingga beberapa bulan bergantung kepada piagam pelanggan Pejabat Tanah negeri masing-masing.

    Bolehkah tukar nama tanah jika pemilik asal sudah meninggal dunia?

    Tidak boleh terus guna Borang 14A. Anda tidak boleh menggunakan kaedah pindah milik biasa jika pemilik asal telah tiada. Urusan ini mesti melalui proses Pembahagian Harta Pusaka terlebih dahulu di Pejabat Pusaka Kecil (JKPTG) atau Mahkamah untuk mengeluarkan Surat Kuasa Mentadbir sebelum nama waris boleh dimasukkan ke dalam geran.

    Adakah e-CKHT dan e-Selamat itu perkara yang sama?

    Bukan. Kedua-duanya adalah sistem yang berbeza:
    – e-CKHT: Sistem pengisytiharan cukai digital di portal MyTax LHDN.
    – e-Selamat: Sistem pengesahan biometrik (imbasan cap jari) di kaunter Pejabat Tanah untuk menyemak identiti pemberi dan penerima bagi mengelakkan kes penipuan tanah.

    Follow eCentral di WhatsApp Channel
    Ikut