Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Cara Daftar Simkad kini telah diperketatkan demi keselamatan pengguna bagi mengekang jenayah siber, aktiviti penipuan dalam talian (scam), serta penyalahgunaan identiti.

Langkah drastik ini diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan setiap talian selular yang aktif di dalam negara mempunyai identiti pemilik yang sah dan boleh dijejak.

Jom rujuk 4 cara mudah daftar simkad di bawah.

Apa Itu Simkad?

Simkad atau Kad SIM ialah cip kecil dalam telefon yang berfungsi sebagai “kad pengenalan” peranti anda untuk menyambung ke rangkaian syarikat telekomunikasi.

Tanpa cip ini, telefon anda tidak akan mendapat isyarat (line) untuk membuat panggilan telefon, menghantar mesej, atau melayari internet menggunakan data selular.

Dulu pendaftaran kad SIM adalah jauh lebih mudah, longgar, dan tidak seketat sekarang.

Pembeli hanya perlu mengemukakan kad pengenalan fizikal di kaunter untuk pekerja kedai menyalin maklumat, tanpa perlukan pengesahan identiti digital yang rumit.

Tetapi disebabkan oleh banyak kes penipuan dan jenayah siber berlaku, MCMC kini mewajibkan penggunaan sistem keselamatan tinggi seperti menggunakan MyDigital ID dan mengetatkan had pemilikan nombor bagi melindungi pengguna.

4 Langkah Mudah Daftar Kad SIM Prabayar – Cara Daftar Simkad

Proses pendaftaran kad SIM prabayar di Malaysia wajib melalui 4 langkah mudah yang telah ditetapkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Standard Mandatori bagi Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar.

Individu yang mendaftar kad SIM prabayar perlu melengkapkan empat (4) langkah mudah seperti berikut:

Langkah 1: Pemilihan Kaedah Pendaftaran

Pengguna perlu memilih sama ada ingin melakukan pendaftaran secara fizikal di kaunter pengedar sah atau secara kendiri (self-registration) melalui aplikasi rasmi syarikat telekomunikasi (telco).

  • Pendaftaran Bantuan: verifikasi menggunakan Pembaca MyKad dan Cap Jari /Pembaca Pasport dan Pengecaman Wajah.
  • Pendaftaran Kendiri: e-verifikasi melalui MyDigital ID.
Cara Daftar Simkad
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 

Langkah 2: Sediakan Dokumen Pengenalan Diri

Pengguna wajib mengemukakan dokumen pengenalan diri asli yang sah, seperti MyKad bagi warganegara Malaysia atau Pasport bagi bukan warganegara. Salinan dokumen atau gambar fotostat tidak lagi diterima.

Ini dokumen yang diperlukan:

(a) Warganegara Malaysia / Pemastautin Tetap / Pemastautin Sementara:

  • Kad Pengenalan (“MyKad”);
  • Kad Pengenalan Angkatan Tentera Malaysia (“MyTentera”);
  • Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (“MyPR”); atau
  • Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (“MyKAS”).

(b) Bukan Warganegara (pekerja atau pelajar):

  • Pasport dari negara asal; dan
  • Permit kerja; atau
  • Pas pelajar.

(c) Bukan Warganegara (pelancong) yang melawat Malaysia kurang daripada tiga (3) bulan:

  • Pasport dari negara asal; dan
  • Dokumen visa (jika berkaitan).

(d) Bukan Warganegara – Pemegang Dokumen IMM13:

  • Dokumen IMM13 asal (disahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia).
Cara Daftar Simkad
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 

Langkah 3: Pengesahan Identiti

Identiti pembeli akan disemak dan disahkan melalui proses keselamatan biometrik terkini serta penyepaduan identiti digital bagi menghalang kes kecurian data atau pemalsuan nama.

Untuk pendaftaran bantuan di pusat perkhidmatan atau pengedar sah, pengesahan identiti akan dilakukan menggunakan:

  • Warganegara Malaysia / Pemastautin Tetap / Pemastautin Sementara: Pembaca MyKad dengan pengesahan biometrik (cap jari).
  • Bukan Warganegara Malaysia: Pembaca pasport dengan pengesahan biometrik (pengecaman wajah).
  • Bukan Warganegara – Pemegang Dokumen IMM13: Penyerahan dokumen IMM13 yang disahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan dokumen asal ditunjukkan semasa pendaftaran.

Manakala, untuk Pendaftaran Kendiri melalui Platform Sah Pemberi Perkhidmatan, pengesahan identiti menggunakan:

  1. Pengimbasan Dokumen Pengenalan dengan pengesahan e-verifikasi melalui MyDigital ID serta Pengesahan Berbilang Faktor (Multi-Factor Authentication).
Cara Daftar Simkad
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 

Langkah 4: Pengesahan Pendaftaran

  • Selepas data disemak silang dan disahkan berjaya, pengguna akan menerima notifikasi atau mesej pengesahan rasmi daripada pihak telco sebelum talian diaktifkan sepenuhnya.
Cara Daftar Simkad
Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 

Ringkasnya, anda perlu bawa dokumen pengenalan diri yang asal untuk daftar simkad di pusat perkhidmatan atau perlu ada MyDigital ID untuk pendaftaran simkad secara kendiri.

Mudah je, kan?

Nak daftar Mydigital ID, rujuk sini: MyDigital ID – Cara Daftar & Login Semua App Kerajaan (2026)

Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Cara Daftar Simkad 2026

Dapatkan info terkini dan maklumat lanjut mengenai proses pendaftaran kad SIM prabayar melalui laman web rasmi MCMC dan ikuti juga Facebook Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

SOALAN LAZIM

Mengapakah mekanisme pendaftaran dalam talian (self-registration) diubah?

Kaedah pendaftaran kendiri lama yang hanya memerlukan muat naik gambar dokumen didapati terdedah kepada manipulasi gambar palsu. Sistem baharu kini mewajibkan integrasi e-verifikasi MyDigital ID dan Pengesahan Berbilang Faktor (MFA) bagi memastikan individu yang mendaftar ialah pemilik sah identiti tersebut.

Berapakah had maksimum kad SIM prabayar yang boleh dimiliki oleh seorang individu?

Mulai tahun 2026, warganegara Malaysia dan pemastautin tetap dihadkan untuk mendaftar maksimum dua (2) nombor prabayar sahaja bagi setiap syarikat telekomunikasi (telco).

Adakah pelancong asing boleh mendaftar nombor tanpa had?

Tidak. Pengguna asing atau pelancong dihadkan kepada maksimum dua (2) nombor prabayar secara keseluruhan di Malaysia (merangkumi semua telco), dan talian pelancong akan ditamatkan secara automatik selepas tempoh tiga (3) bulan.

Apakah jenis dokumen yang sah diterima untuk mendaftaran di kaunter fizikal?

Pembeli wajib menunjukkan dokumen asal seperti MyKad, MyTentera, MyPR, MyKAS (bagi warga tempatan/penduduk), Pasport asal bersama permit kerja/pas pelajar (bagi warga asing), atau dokumen IMM13 asal yang disahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Salinan fotostat tidak diterima sama sekali.

Bagaimanakah pengesahan biometrik dijalankan di pusat perkhidmatan telco?

Untuk warga tempatan, pengesahan dilakukan menerusi mesin pembaca MyKad dengan imbasan cap jari. Bagi warga asing pula, pengesahan dilakukan menggunakan mesin pembaca pasport yang disepadukan dengan sistem pengecaman wajah.

Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang
PENULIS