Senarai Harga Beras Putih Malaysia Madani 1KG, 5KG & 10KG

Beras Putih Malaysia Madani diperkenalkan bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini bermula 1 Mac ini.

Berikut merupakan senarai harga rasmi beras putih (harga siling) yang ditetapkan oleh kerajaan:

  • 1KG – RM3.50
  • 5KG – RM15.50
  • 10KG – RM30

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Dalam masa sama, beliau juga berkata, pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras bagi disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac ini.

Tiada lagi beras putih bergred tempatan (warna kod ungu) dan beras putih import (warna kod biru muda) di kampit beras putih keluaran pemborong beras bermula tarikh tersebut.

Beras Putih Malaysia Madani

beras putih malaysia madani

Semua jenis pembungkusan beras dan warna sedia ada dipasaran akan dibenarkan sehingga stok pengampitan di peringkat pemborong habis.

Selepas ini, pembungkusan Beras Putih Malaysia Madani akan diselaras menggunakan reka bentuk yang kini di peringkat lakaran.

“Ketetapan ini dibuat selepas mengambil kira tiada kenaikan harga beras putih selama 18 tahun dengan perkara ini sudah dibentang dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, harga kawalan maksimum beras Super Spesial Tempatan lima peratus (SST5) di peringkat runcit ialah RM2.60 sekilogram seperti termaktub dalam peruntukan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).

Syed Abu Hussin Hafiz berkata penetapan harga siling Beras Putih Malaysia Madani itu juga muncul sebagai mekanisme menoktahkan tindakan pemanipulasian bekalan beras putih tempatan.

Ini kerana, katanya, segelintir pengeluar sebelum ini dikenal pasti mencampurkan beras putih tempatan dengan kampit beras putih import, bertujuan meraih keuntungan lebih.

“Tindakan ini berpunca akibat tiada kawalan harga ditetapkan bagi bekalan beras putih import, menyebabkan harga barangan berkenaan sentiasa tinggi selain didorong faktor lonjakan harga import akibat kenaikan harga beras global.

“Ia menyebabkan label beras putih tempatan akhirnya ditukar kepada beras putih import atau ia dicampur dan sebagainya, menyebabkan bekalannya sukar didapati di pasaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!