Pemegang Kad OKU yang berdaftar secara sah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) layak menikmati 70 keistimewaan yang merangkumi bantuan kewangan, pengecualian cukai, dan kemudahan khas yang disediakan oleh pelbagai kementerian, agensi kerajaan, serta rakan strategik sektor swasta di Malaysia.
Ramai yang menyangka Kad OKU hanya sekadar untuk tujuan pendaftaran atau rekod data sahaja.
Namun hakikatnya, ia adalah satu ‘kunci’ besar yang membuka pintu kepada pelbagai kemudahan, bantuan kewangan, dan sokongan moral demi kesejahteraan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia.
Tampil mendaftar Kad OKU bukan bermakna kita mahu menagih simpati, tetapi ia adalah hak mutlak yang dijamin undang-undang untuk membantu golongan berkeperluan khas ini berdikari dan hidup dengan lebih selesa.
Jom kita semak senarai penuh 70 Keistimewaan Pemegang Kad OKU di Malaysia (2026) di bawah dan tolong sebar-sebarkan agar tiada lagi insan yang memerlukan terlepas pandang!

Senarai 70 Keistimewaan Pemegang Kad OKU di Malaysia (2026)
Berikut ialah senarai 70 keistimewaan pemegang kad OKU mengikut agensi:
A. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
1. Elaun Pekerja OKU (EPOKU): Elaun sebanyak RM450 sebulan untuk OKU yang bekerja.
2, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB): Bantuan sebanyak RM300 sebulan untuk OKU yang tidak berupaya bekerja.
3. Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar Dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT): Bantuan sebanyak RM500 sebulan untuk OKU terlantar, pesakit kronik terlantar, atau tidak terlantar.
4. Bantuan Modal Asas 2 Years Exit Programme (2YEP): RM5,000 untuk membantu OKU memulakan perniagaan.
5. Bantuan Alat Tiruan/Sokongan: Bantuan bagi membeli alat tiruan/sokongan berdasarkan kadar sebenar alat dengan had maksimum RM20,000 sekaligus.
6. Elaun Peserta Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK): Elaun bulanan sebanyak RM300 sebulan untuk peserta di PPDK.

7. Perkhidmatan jagaan, pemulihan dan latihan kepada OKU di 11 institusi:
| INSTITUSI | JUMLAH |
|---|---|
| Taman Sinar Harapan | 8 |
| Bengkel Terlindung | 2 |
| Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi | 1 |
| JUMLAH | 11 |

8. Subsidi Yuran Pembelajaran Kanak-Kanak Autisme: bantuan kewangan secara sekali beri (one-off) berjumlah RM1,000 kepada kanak-kanak autisme yang dihantar ke pusat yang memberikan perkhidmatan terapi atau Program Intervensi Awal (EIP).
9. TASKA OKU – menyediakan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak OKU:

| TASKA | KATEGORI OKU | LOKASI | PENGENDALI |
|---|---|---|---|
| TASKA ANISD (Anak Istimewa Sindrom Down) | Sindrom Down | Presint 11, Putrajaya | Persatuan Taska Anak Istimewa Sindrom Down |
| TASKA Mesra Cheshire Kota Kinabalu | Fizikal | Kota Kinabalu, Sabah | Persatuan Rumah Dan Perkhidmatan Cheshire Sabah |
| TASKA Semangat Maju | Pembelajaran | Ipoh, Perak | Persatuan Untuk Insan Bermasalah Intelek Perak |
| TASKA Autisme Sibu | Autisme | Sibu, Sarawak | Persatuan Autisme Sibu |
| TASKA Istika Jaya | Pendengaran | Puchong Jaya, Selangor | Persekutuan Orang Pekak Malaysia |
| Little Leaders Childcare Centre | Pembelajaran | Shah Alam, Selangor | Persatuan Taska Tadika dan Pusat Jagaan Negeri Selangor |
| Taska Mesra Chesire Sandakan | Pembelajaran | Sandakan, Sabah | Persatuan Rumah Dan Perkhidmatan Cheshire Sabah |
| Taska Istimewa (OKU) Rumah Amal Kulim | Pembelajaran | Kulim, Kedah | Rumah Amal Kulim |
| Taska Ikhlas (OKU) | Pembelajaran | Ayer Keroh, Melaka | Persatuan Insan Berkeperluan Khas |
| Taska OKU Auliya | Pembelajaran | Kubang Kerian, Kelantan | Pertubuhan Cakna Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan |
| Taska OKU Aulad | Pembelajaran | Kota Bharu, Kelantan | Persatuan Intervensi Awak dan Pendidikan Sindrom Down Kota Baru |
10. Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) – sebuah pusat sehenti yang menyediakan perkhidmatan saringan dan pengesanan awal, intervensi multidisiplin, sokongan keluarga serta pusat informasi Autisme.

11. Perkhidmatan Job Coach – menyediakan sokongan pekerjaan kepada OKU dalam memastikan pekerja OKU kekal berada di pasaran pekerjaan terbuka. Job Coach merupakan individu yang dilatih dalam memberi sokongan kepada OKU. Job Coach juga merupakan penghubung antara OKU dan majikan dengan menyediakan sokongan untuk kedua-dua belah pihak bagi pengekalan OKU di tempat kerja.

12. Pusat Kehidupan Berdikari atau Independent Living Centre (ILC) – menyediakan perkhidmatan untuk memperkasa OKU bertujuan memastikan kesediaan OKU untuk hidup lebih berdikari.
Perkhidmatan yang disediakan adalah:
i. Kaunseling Rakan Sebaya (Peer Counseling).
ii. Program Hidup Berdikari (Independent Living Programme).
iii. Pembantu Peribadi (Personal Assistant).
iv. Perkhidmatan Sokongan, Informasi Dan Advokasi.
Lokasi:

| ILC | LOKASI | PENGENDALI |
|---|---|---|
| ILC@PLPP | Bangi | Pertubuhan Peduli OKU Selangor. |
| ILC MILAD | Petaling Jaya | Pertubuhan Malaysian Independent Living Association For Disabled (MILAD) |
| ILC Rawang | Rawang | Pertubuhan Independent Living & Training Centre (ILTC) |
| ILC Chesire Sabah | Kota Kinabalu | Persatuan Rumah Dan Perkhidmatan Cheshire |
| ILC SSCIA | Sibu | Pertubuhan Sibu Spinal Cord Injury Association |
| ILC Permai | Sintok | Pertubuhan Mahasiswa Istimewa (PERMAI) UUM |
| ILC PT OKU USM | Kubang Kerian | Pertubuhan Transformasi OKU USM Kelantan |
B. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
13. Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK): Elaun RM150 sebulan bagi murid OKU di sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah KPM.
14. KWAPM: Bantuan tambahan untuk Murid Berkeperluan Khas (MBPK) dalam kategori miskin tegar bagi mengelakkan keciciran.
15. Rancangan Makanan Tambahan (RMT) & Susu: Makanan dan susu percuma untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 6 (pemegang kad OKU, kecuali murid asrama).
16. Kemudahan Asrama: Percuma yuran makanan asrama dan bantuan pengangkutan/perjalanan.
17. Pembantu Pengurusan Murid (PPM): Pembantu guru yang menjaga kebajikan, keselamatan, dan pengurusan diri MBPK.
18. Guru Resos: Guru pembimbing khas untuk membantu kesediaan MBPK masalah penglihatan di sekolah harian.
19. Pusat Perkhidmatan (3PK): Menyediakan khidmat saringan, penilaian, dan terapi (psikologi, terapi cara kerja, pertuturan, audiologi, fisioterapi) untuk anak berusia 4 tahun ke atas.
20. Pusat PERMATA Kurnia: Khidmat intervensi awal dan bimbingan keluarga khusus untuk kanak-kanak autisme (umur 2–6 tahun).
21. Program Pendidikan Khas: Hak mengikuti Program Pendidikan Khas, Integrasi, atau Inklusif untuk peluang pendidikan yang sama rata. – Sekolah Pendidikan Khas/ Program Pendidikan Khas Integrasi/ Program Pendidikan Inklusif (PPI).
22. Masa Tambahan: Kelonggaran masa menjawab peperiksaan berdasarkan kelulusan Lembaga Peperiksaan (LP) / Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).
23. Alatan Sokongan Peperiksaan: Akses kepada mesin Braille, kertas soalan cetakan besar, komputer, CCTV, kanta, khidmat pembaca/jurutulis atau guru pendamping mengikut keperluan individu.
C. Jabatan Pengajian Tinggi (JPT)
24. Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) ialah RM3,100 bagi semua mod pengajian, peringkat pengajian dan Institusi Pengajian.
25. Diskaun Yuran Universiti Swasta: Potongan yuran pengajian sebanyak 50% daripada Open University Malaysia (OUM), Wawasan Open University, dan Asia e-University.
26. Saluran Khas Pengambilan ke IPTA: Kemasukan ke universiti awam melalui saluran khas berlandaskan syarat kelayakan minimum (tanpa perlu bersaing dalam kategori biasa) serta penyesuaian kemudahan pengajian di universiti.
D. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) / Pelepasan Cukai Pendapatan (Bermula Tahun Taksiran 2025)
27. Pelepasan Individu OKU: Pelepasan cukai tambahan sebanyak RM7,000 bagi pembayar cukai individu OKU.
28. Pelepasan Anak OKU: Pelepasan cukai sebanyak RM8,000 bagi anak OKU yang belum berkahwin.
29. Pelepasan Anak OKU Melanjutkan Pengajian: Pelepasan tambahan sehingga RM16,000 jika anak OKU berumur 18 tahun ke atas melanjutkan pengajian tinggi sepenuh masa di dalam atau luar negara.
30. Pelepasan Alat Sokongan Asas: Pelepasan cukai sehingga RM6,000 bagi pembelian alat sokongan (seperti kerusi roda, alat pendengaran, mesin hemodialisis) untuk kegunaan diri sendiri, pasangan, anak, atau ibu bapa OKU yang berdaftar dengan JKM.
E. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
31. Pengecualian Caj Rawatan: Pengecualian bayaran rawatan pesakit luar dan pesakit dalam bagi wad Kelas Tiga di hospital kerajaan, termasuk pengecualian caj pendaftaran kes rujukan serta bayaran pakar dan ubat-ubatan.
32. Pemeriksaan OKU Percuma: Pemeriksaan kesihatan tanpa bayaran untuk pengesahan pendaftaran OKU bagi individu yang mempunyai rekod rawatan sedia ada, penerima bantuan kerajaan, rujukan program outreach, atau yang mempunyai kecacatan fizikal yang jelas.
33. Implan & Prostesis Percuma: Diberikan secara percuma bagi peralatan kesihatan yang tersenarai dalam senarai pembelian hospital (APPL), tertakluk kepada peruntukan.
34. Pengecualian Caj Rawatan Harian (Daycare): Bebas daripada bayaran perkhidmatan Daycare di fasiliti KKM.
35. Rawatan Ke Rumah (Domisiliari): Perkhidmatan susulan kesihatan di rumah (rawatan fisioterapi/terapi carakerja) bagi pesakit OKU terlantar serta rawatan paliatif untuk pesakit kronik.
36. Program PDK Ku Sihat & MENTARI: Program saringan kesihatan di PDK di bawah JKM serta sokongan pemulihan kesihatan mental di pusat MENTARI.
37. Bantuan Kecemasan: Hak keutamaan mendapat bantuan dan perlindungan semasa bencana alam atau situasi berisiko.
38. Latihan Penjaga: Latihan kemahiran menguruskan OKU terlantar melalui Caregiver Programme serta latihan fizikal di hospital/klinik rehabilitasi terpilih.
F. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) / Sektor Awam
(Terpakai untuk penjawat awam/pesara yang mempunyai tanggungan OKU)
39. Pelepasan Waktu Bekerja: Pelepasan selama 1 jam sehari kepada penjawat awam yang mempunyai anak OKU bagi urusan harian anak.
40. Waktu Bekerja Fleksi (WBF): Kelonggaran mengatur jadual kerja bagi menguruskan sesi terapi atau intervensi anak OKU.Bekerja Dari Rumah (BDR): Kemudahan bertugas dari rumah bagi pegawai OKU atau yang menjaga anak OKU yang memerlukan penjagaan rapi.
41. Kebenaran Tinggal Pejabat: Kebenaran meninggalkan pejabat seketika dalam waktu bekerja untuk tujuan rawatan, terapi atau penyelenggaraan alat sokongan.
42. Pembiayaan Alat Bantuan: Kemudahan permohonan kos alat bantuan kesihatan (implan koklea, kerusi roda, anggota palsu, alat bantuan pernafasan) untuk diri sendiri atau anak OKU tanggungan tanpa had umur.
43. Pencen Terbitan Sepanjang Hayat: Pemberian pencen terbitan sepanjang hayat kepada anak OKU tanggungan penjawat awam/pesara yang meninggal dunia (tertakluk kepada syarat ketidakupayaan kekal berlaku sebelum berumur 21 tahun).
44. Insurans Perjalanan Luar Negara: Perlindungan insurans ke luar negara (persendirian) dengan perlindungan pampasan sehingga RM300,000 bagi hilang upaya kekal akibat kemalangan.
45. Peluang Pekerjaan: Dasar peruntukan 1% peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam khusus untuk OKU.
G. Kementerian Pengangkutan & Mobiliti Awam
46. Pengecualian Cukai Jalan: Pengecualian bayaran cukai jalan bagi kenderaan milik OKU sendiri, atau kenderaan milik ibu/bapa/penjaga/pasangan OKU.
47. Pengecualian Duti Eksais Kenderaan: Pengecualian 100% duti eksais bagi pembelian kenderaan untuk OKU fizikal yang boleh memandu (syarat: berdaftar sebagai OKU, mempunyai lesen memandu sah, kenderaan tidak boleh dipindah milik dalam tempoh 5 tahun, dan dihadkan kepada satu kenderaan bagi setiap 5 tahun).
48. Diskaun Bas Ekspres: Diskaun 10% hingga 50% tertakluk kepada polisi syarikat bas masing-masing untuk perjalanan jarak jauh antara bandar/bahagian.
49. Diskaun 50% bagi bas henti-henti (stage bus): sama ada perjalanan dalam bandar/luar bandar.
50. Tambang Percuma Pengangkutan Awam:
- Pas MyRailLife: Perjalanan percuma KTM Komuter (Lembaga Klang, Utara) dan KTM Shuttle Timuran.
- Pas OKU SMILE: Tambang percuma di semua jenis kereta api dan bas kendalian Prasarana (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, LRT, MRT, Monorel).
51. Parking Khas: Penyediaan petak parkir khas yang berukuran standard khusus untuk pemandu OKU Fizikal.
52. Perkhidmatan Penerbangan: Malaysia Airlines dan Firefly telah melaksanakan inisiatif khas antaranya seperti, tawaran diskaun istimewa kepada penumpang dengan kad OKU yang sah semasa proses pembelian tiket melalui pusat panggilan (call center) dan pejabat tiket bagi perjalanan dalam Malaysia.
H. Pengecualian Yuran Dokumen & Pendaftaran Perniagaan
53. Pasport Malaysia: Pengecualian penuh daripada pembiayaan bayaran permohonan dan memperbaharui Pasport Malaysia ke luar negara.
54. Dokumen JPN: Pengecualian bayaran gantian MyKad.
55. Pendaftaran Perniagaan (SSM): Pengecualian bayaran pendaftaran dan pembaharuan perniagaan berbentuk milikan tunggal atau perkongsian milik OKU serta pengecualian pendaftaran syarikat.
I. Perumahan, Pelancongan, Sukan & Aksesibiliti
56. Sewa rumah DBKL: Kemudahan sewa rumah dengan kadar bulanan yang rendah oleh DBKL.
57. Zoo Negara: Tiket masuk percuma dan tempat letak kereta percuma bagi pemandu OKU.
58. Keretapi Bukit Bendera, Pulau Pinang: Tiket masuk percuma untuk laluan biasa mahupun laluan pantas (fastlane) bagi warganegara.
59. Kemudahan akses di bangunan awam: kewajipan penyediaan ram, laluan kerusi roda, lif khas dan tandas khas di bawah peruntukan undang-undang bangunan (UKBS 1984).
J. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) & agensi-agensi di bawahnya.
Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
60. Peluang Latihan Kemahiran Berkelulusan Sijil: Golongan OKU boleh menyertai latihan kemahiran di Pusat Bertauliah bagi memperoleh sijil rasmi seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM), atau Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM).
61. Pengiktirafan Pengalaman Kerja (PPT): Bagi OKU yang sudah mempunyai kemahiran atau pengalaman bekerja di mana OKU boleh memohon untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) tanpa perlu mengikuti kelas teori formal sepenuhnya.
Jabatan Tenaga Manusia (JTM)
62. Pendidikan & Kebajikan Pelajar OKU: Pelajar OKU (berumur 17 hingga 35 tahun) yang menyertai kursus di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC), JMTI (Institut Teknikal Jepun Malaysia), atau Proton Institute layak menerima keistimewaan berikut:
- Elaun Sara Hidup: Diberikan sebanyak RM300 sebulan sepanjang tempoh pengajian.
- Yuran & Kemudahan Percuma: Tiada sebarang bayaran dikenakan untuk yuran pengajian, asrama, serta makan dan minum (semuanya disediakan secara percuma).
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
63. Penempatan & Padanan Kerja (MYFutureJobs): Pencari kerja OKU boleh mendaftar di portal MYFutureJobs.
64. Karnival Pekerjaan & Temu Duga Khas: PERKESO mempertemukan pencari kerja OKU secara terus dengan majikan yang menawarkan kerja inklusif.
65. Penempatan Kontrak MySTEP: OKU berpeluang mendapatkan pekerjaan mengikut kadar skim MySTEP.
66. Program Kebolehpasaran (Career Launchpad Programme – CLP OKU): Menyediakan latihan kemahiran insaniah (soft skills), latihan kemahiran teknikal, dan sokongan penempatan kerja.
67. Pengurusan Hilang Upaya (Return to Work – RTW): Membantu pekerja yang mengalami kecederaan atau penyakit untuk menjalani pemulihan jasmani atau vokasional agar boleh kembali bekerja dan berdikari.
68. Manfaat Cukai Majikan: Majikan yang menggajikan OKU di bawah program ini layak menuntut pengecualian cukai pendapatan dua kali (double deduction) daripada LHDN.
69. Program MENTARI/RESTART: Memberi sokongan pemulihan kesihatan mental berasaskan komuniti melalui rawatan, rehabilitasi dan sokongan sosial agar individu dapat kembali berfungsi dalam kehidupan harian dan pekerjaan.
70. Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SPS): Memberikan perlindungan bagi OKU yang bekerja sendiri sekiranya berlaku kemalangan.
Muat Turun 70 Keistimewaan OKU (PDF)
Anda boleh muat turun PDF 70 keistimewaan pemegang kad OKU di bawah:
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim 70 Keistimewaan Pemegang Kad OKU
Untuk maklumat lanjut dan info terkini mengenai manfaat pemegang kad OKU di Malaysia, sila rujuk:
- Portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Senarai Kemudahan dan Keistimewaan OKU
- Facebook Jabatan Kebajikan Masyarakat
SOALAN LAZIM
Kad OKU dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai kekurangan atau hilang keupayaan. Terdapat 7 kategori OKU yang diiktiraf iaitu:
– Kurang Upaya Pendengaran
– Kurang Upaya Penglihatan
– Kurang Upaya Pertuturan
– Kurang Upaya Fizikal
– Kurang Upaya Pembelajaran (termasuk Autisme, Down Syndrome, ADHD, Disleksia)
– Kurang Upaya Mental
– Kurang Upaya Pelbagai (Multiple Disabilities)
Tidak automatik. Pendaftaran Kad OKU dan permohonan bantuan kewangan bulanan (seperti EPOKU, BTB, atau BPT) adalah dua perkara berbeza. Kelayakan untuk menerima elaun bulanan tertakluk kepada syarat-syarat tambahan, terutamanya had pendapatan isi rumah dan tahap kefungsian individu tersebut yang akan dinilai oleh pegawai JKM.
Ya, betul. Di bawah skim Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pencen Terbitan Sepanjang Hayat akan diberikan kepada anak OKU tanggungan penjawat awam atau pesara yang meninggal dunia. Syarat utamanya adalah ketidakupayaan kekal tersebut mestilah telah berlaku dan disahkan sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun.
Untuk menikmati perjalanan 100% percuma di Lembah Klang dan rangkaian kereta api terpilih, pemegang kad perlu memohon pas khas seperti:
– Pas OKU SMILE: Untuk tambang percuma bagi semua tren (LRT, MRT, Monorel) dan bas kendalian Prasarana.Pas – MyRailLife: Untuk perjalanan percuma KTM Komuter dan KTM Shuttle Timuran
Ya, sangat membantu. Ibu bapa yang mempunyai anak OKU belum berkahwin layak mendapat pelepasan cukai sebanyak RM8,000. Jika anak OKU tersebut melanjutkan pengajian tinggi di dalam atau luar negara mengikut syarat LHDN, pelepasan tambahan akan dinaikkan sehingga RM16,000 bagi tahun taksiran berkenaan.
Anda boleh memulakan pendaftaran secara dalam talian (online) menerusi Sistem MyDaftar OKU di portal rasmi JKM.




