Kad OKU (Kod QR) JKM Baharu: Ciri-Ciri & Cara Penukaran

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Semua pemegang Kad OKU sedia ada digalakkan untuk menukar Kad OKU lama kepada versi baharu (Kod QR) yang mempunyai ciri-ciri kod QR. Permohonan boleh dibuat secara manual di kaunter pejabat JKM atau secara online melalui sistem SMOKU di alamat https://oku.jkm.gov.my/

Berikut adalah info mengenai penggantian kad ini.

Mengenai Kad OKU

Kad OKU merupakan suatu tanda pengenalan diri yang dikeluarkan kepada Orang Kurang Upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menerima manfaat yang disediakan oleh kerajaan.

Pendaftaran OKU juga bertujuan untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi memudahkan perancangan program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan buat golongan Orang Kurang Upaya.

Kategori OKU

Mereka yang bergelar OKU terdiri daripada kategori berikut:

  • Kurang Upaya Pendengaran: Seseorang individu tidak dapat mendengar dengan jelas dengan kedua-dua belah telinga tanpa menggunakan alat bantuan pendengaran atau tidak dapat mendengar langsung walaupun dengan menggunakan alat bantuan pendengaran.
  • Kurang Upaya Penglihatan: Seseorang individu tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad pada kedua-dua belah mata.
  • Kurang Upaya Pertuturan: Seseorang individu tidak boleh bertutur sehingga menyebabkan gangguan dalam berkomunikasi dengan sempurna serta tidak boleh difahami orang yang berinteraksi dengannya.
  • Kurang Upaya Pembelajaran: Seseorang individu mempunyai masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usianya. Contoh OKU pembelajaran adalah seperti Autisme, Sindrom Down, ADHD dan sebagainya.
  • Kurang Upaya Fizikal: OKU fizikal yang bermaksud keadaan di mana berlaku kehilangan separa atau sepenuhnya mana-mana bahagian anggota badan termasuklah kehilangan tangan, kaki, jari tangan atau jari kiri.
  • Kurang Upaya Mental: OKU mental yang melibatkan individu berpenyakit mental teruk yang telah diberi rawatan atau telah diberi diagnosis selama sekurang-kurangnya dua tahun oleh pakar psikiatri. Individu yang mengalami ketidakupayaan jenis ini tidak berupaya untuk berfungsi sama ada sebahagian atau sepenuhnya dalam hal berkaitan diri atau perhubungannya dalam masyarakat.
  • Kurang Upaya Pelbagai: OKU pelbagai iaitu melibatkan individu yang mengalami lebih daripada satu jenis ketidakupayaan.

Ciri-Ciri Kad OKU Baharu

Ciri-ciri Kad OKU baharu ini adalah seperti berikut:

  • Reka bentuk baharu yang lebih praktikal
  • Ciri keselamatan yang ditingkatkan
  • Mudah digunakan bagi urusan rasmi dan pengesahan
  • Kod QR boleh diimbas bagi menentukan pendaftaran OKU

Tempoh Penukaran

Tiada tempoh masa yang ditetapkan dan mereka boleh memohon pada bila-bila masa.

Cara Penukaran Kad

Kad tersebut boleh ditukar menerusi 2 cara iaitu:

  1. Hadir ke mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dengan membawa bersama Kad OKU lama; atau
  2. Permohonan melalui sistem SMOKU di alamat https://oku.jkm.gov.my/

Dokumen yang diperlukan adalah seperti berikut:

  • Sekiranya laporan perubatan sebelum ini telah mengesahkan sub kategori OKU, tidak perlu lagi untuk berjumpa atau mendapatkan pengesahan semula oleh doktor.
  • Borang BPPOKU (Pindaan 2/2019) yang memerlukan pengesahan pegawai/pakar perubatan terutama bagi OKU yang tidak mempunyai kategori dan sub kategori untuk Kad OKU lama yang didaftarkan sebelum tahun 2011.
  • Salinan MyKad/MyKid/Sijil lahir dan Kad OKU lama
  • Gambar pasport berlatar belakang biru sekiranya ingin menukar kepada gambar yang baharu.

Pengesahan Semula Pengamal Perubatan/Pegawai Perubatan/Pakar Perubatan

Penggantian Kad OKU Baharu tidak memerlukan pengesahan semula oleh Pengamal Perubatan / Pegawai Perubatan / Pakar Perubatan dan kelulusan Pendaftar kecuali :

  • Pemegang Kad OKU lama sebelum tahun 2011
  • Terdapat perubahan pada kategori dan sub kategori OKU

Soalan Lazim

Apakah ciri-ciri terbaharu Kad OKU ini?

– Reka bentuk baharu yang lebih praktikal
– Ciri keselamatan yang ditingkatkan
– Mudah digunakan
– Kod QR boleh diimbas bagi pendaftaran OKU

Adakah Kad OKU lama tidak boleh digunakan lagi?

Kad OKU lama boleh digunakan sehingga Kad OKU baru ditukar.

Bilakah tempoh masa kad ini boleh ditukar?

Pemohon boleh membuat permohonan pada bila-bila masa.

Adakah permohonan penukaran ini boleh dibuat secara atas talian?

Ya, pemohon boleh membuat permohonan menerusi pautan https://oku.jkm.gov.my/.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai Kad OKU (Kod QR) JKM yang baharu boleh dirujuk menerusi laman web https://oku.jkm.gov.my/.

Baca juga: Baucar Skim Mesra 2025: Permohonan & Semakan Tuntutan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut