7 Pembaharuan & Inisiatif Kerajaan Yang Akan Dilaksana Mulai Julai 2026

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Perubahan dan dasar Kerajaan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat.

Berikut dikongsikan serba sedikit tentang beberapa pengumuman terkini oleh Kerajaan serta inisiatif dan pembaharuan yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026.

1. Tiada Lagi Caj ATM RM1

Caj RM1 untuk pengeluaran wang tunai antara bank di semua Mesin Teler Automatik (ATM) dan Mesin Kitar Semula Pintar (SRM) di seluruh negara telah dimansuhkan sepenuhnya. Langkah itu membolehkan pemegang kad debit Malaysia mengeluarkan wang tunai secara percuma tanpa mengira bank pengeluar kad.
Inisiatif tersebut melibatkan lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara. Pengecualian caj berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet).

2. Harga Diesel Bersubsidi Turun Ke RM2.10 dengan Kaedah Baharu Pelaksanaan BUDI Diesel

Mulai 1 Julai, harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), sekali gus menyeragamkan pelaksanaan subsidi diesel di seluruh negara, harga runcit dan harga bersubsidi diesel serta kaedah subsidi.

Sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai 27 Jun 2026 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.

Di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan. Had kelayakan ini boleh digunakan secara fleksibel mengikut keperluan sebenar penerima bagi pembelian diesel bersubsidi atau RON95 bersubsidi, tertakluk kepada baki kelayakan bulanan masing-masing.

Layari budimadani.gov.my untuk maklumat lanjut.

3. Tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah SKDS dibuka

Kerajaan bersetuju membuka ruang permohonan tuntutan bayaran balik tunai diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) mulai 1 Julai ini bagi membantu syarikat pengangkutan darat awam dan barangan yang masih belum menerima fleet card. Kemudahan itu membolehkan syarikat yang layak menuntut perbezaan harga diesel yang dibeli pada harga runcit tanpa subsidi dengan harga diesel bersubsidi SKDS yang sepatutnya dinikmati sementara menunggu fleet card.

Penggunaan fleet card di bawah SKDS akan berkuatkuasa selaras pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mulai 1 Julai 2026.

Sumber: KPDN

4. Baucar Buku MADANI

Penebusan Baucar Buku MADANI 2026 dijangka mula dilaksanakan pada Julai ini secara digital, membolehkan lebih dua juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mendapatkan bahan bacaan dengan lebih mudah dan telus.

Inisiatif ini melibatkan pelajar daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan peruntukan keseluruhan RM210 juta.

Penebusan akan dibuat secara dalam talian menerusi platform yang dikendalikan Perbadanan Kota Buku bagi memastikan ketelusan pelaksanaan serta mengelakkan penyalahgunaan baucar. Pastikan anda bersedia dan lakukan penebusan melalui
https://mall.bookcapital.com.my/

5. KWSP Tamatkan Kaunter Bayaran Fizikal

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan satu perubahan besar apabila perkhidmatan kaunter bayaran caruman di semua cawangan seluruh negara akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Julai 2026. Langkah itu selaras dengan usaha mempercepatkan transformasi digital, di mana urusan bayaran caruman akan dialihkan kepada saluran elektronik dan alternatif yang lebih pantas serta mudah diakses.

Bagaimanapun, KWSP menegaskan bahawa penutupan ini hanya melibatkan kaunter penerimaan bayaran caruman dan pengeluaran resit, manakala semua kaunter perkhidmatan lain masih beroperasi seperti biasa untuk urusan pencarum. Selepas tarikh tersebut, pencarum dan majikan boleh membuat bayaran melalui pelbagai saluran termasuk i-Akaun KWSP, perbankan internet, kaunter ejen bank, Terminal Layan Diri (SST) serta Pasukan Mobile KWSP.

Sumber: The Star

cauman kwsp

6. Permohonan Sekolah Khusus Akan Dibuka

Permohonan ke Sekolah Khusus Kementerian Pendidikan (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi sesi 2027 akan dibuka secara dalam talian mulai 10 Julai 2026 – 14 Ogos 2026

Terbuka kepada:

  • Murid Tahun 6 (Tingkatan 1)
  • Murid Tingkatan 3 (Tingkatan 4)
  • Murid Tahun 1 SVM

Semak syarat dan buat permohonan melalui portal yang disediakan.

7. MITI Tetapkan Syarat Baharu EV CBU bermula 1 Julai

Bermula 1 Julai, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengetatkan syarat import bagi semua Kenderaan Elektrik siap dipasang sepenuhnya (CBU) di Malaysia. Setiap pengimportan EV CBU mesti mematuhi dua syarat utama:

  • Nilai Kos, Insurans dan Tambang (CIF): Minimum RM200,000.
  • Output Kuasa Motor: Sekurang-kurangnya 180 kW (bersamaan ≈ 245 PS) ke atas.

Garis panduan baharu ini menggantikan peraturan sebelum ini (harga jualan minimum RM250,000 dan kuasa 200 kW) serta terpakai untuk semua model baharu dan sedia ada dalam pasaran. Langkah ini dijangka menstabilkan harga dalam pasaran automotif tempatan, namun harga runcit beberapa model EV dijangka boleh meningkat sehingga melebihi RM300,000.

Rujuk berita penuh https://www.bernamabiz.com/news-bm.php?id=2553615

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut