Zikir Hari Ahad & Fadhilat Membacanya
Zikir Hari Ahad & Fadhilat Membacanya
Zikir adalah merupakan suatu perkara yang mendekatkan seorang hamba kepada Allah SWT. Setiap hari, umat Islam dianjurkan untuk berzikir kepada Allah SWT.
Terdapat banyak jenis zikir yang anda boleh lafazkan untuk mengingati Allah, salah satunya ialah dengan merujuk Zikir Harian Imam Al Ghazali. Ia merangkumi bacaan zikir untuk setiap hari, Isnin hingga Ahad.
Pada artikel kali ini, berikut dikongsikan Zikir Hari Ahad serta kebaikan mengamalkannya untuk rujukan anda.
BACA JUGA: Zikir Hari Sabtu & Fadhilat Membacanya
Zikir Hari Ahad
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ
Ya Hayyu Ya Qoyyum
Maksudnya: “Wahai yang sentiasa hidup dan sentiasa kekal.”
Atau, anda juga membaca versi yang lebih panjang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ أَبَدًا
Ya Hayyu Ya Qoyyum Bi Rahmatika Astagheeth, Wa Aslih Li Sha’nee Kullahu Wa Laa Takilni Ilaa Nafsi Thorfata ‘Aynin Abada
Maksudnya: “Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekalipun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dari Mu selamanya.”
Huraian
Allah mempunyai nama-nama yang sempurna yang membawa maksud yang sangat luas. Salah satunya ialah,‘Al-Hayyu’ dan ‘Al-Qayyum’.
Al Hayyu bermaksud Yang Maha Hidup, kekal abadi. Ia membawa makna bahawa kewujudan Allah tidak berawal dan tidak pula berakhir, berbeza dengan makhluk ciptaanNya.
Manakala Al Qayyum bermaksud Yang Tidak Bergantung Kepada Makhluknya, berdiri sendiri, kekal. Allah SWT merupakan dzat yang tidak memerlukan pertolongan. Sebaliknya, kitalah sebagai hambaNya yang memerlukan pertolongan Allah.
Kedua-dua nama Allah ini, Al-Hayyu & Al-Qayyum termasuk dalam nama Allah yang agung (ism Allah Al A’zham).
Fadhilat/ Kebaikan
Terdapat banyak fadhilat zikir dengan يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ. Antaranya ialah:
1. Doa Tidak Akan Ditolak
Dari Anas, dia pernah bersama Rasulullah SAW yang dalam keadaan duduk lantas ada seseorang yang solat, kemudian dia berdoa,
“Allahumma inni as-aluka bi-anna lakal hamda, laa ilaha illa anta al-mannaan badii’us samaawaati wal ardh, yaa dzal jalaali wal ikram, yaa hayyu yaa qayyum.
Maksudnya: Ya Allah, aku meminta padaMu kerana segala puji hanya untukMu, tidak ada sesembahan yang berhak disembah kecuali Engkau, Yang Banyak Memberi Kurnia, Yang Menciptakan langit dan bumi, Wahai Allah yang Maha Mulia dan Penuh Kemuliaan, Ya Hayyu Ya Qayyum (Yang Maha Hidup dan Tidak Bergantung pada MakhlukNya)”
Kemudian Nabi SAW bersabda, “Sungguh dia telah berdoa pada Allah dengan nama yang agung di mana siapa yang berdoa dengan nama tersebut, maka akan dimakbulkani. Dan jika diminta dengan nama tersebut, maka Allah akan beri.”
(HR. Abu Daud, no. 1495 dan An-Nasa’i no. 1301 – Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa sanad hadis ini sahih)
2. Doa Yang Diwasiatkan Kepada Puteri Rasulullah SAW, (Fatimah Az Zahra).
Dari Anas bin Malik r.anhu, ia berkata bahawa Nabi SAW bersabda pada Fatimah (puterinya),
“Apa yang menghalangimu untuk mendengar wasiatku atau yang kuingatkan padamu setiap pagi dan petang iaitu ucapkanlah:
يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ أَبَدًا
“Ya Hayyu Ya Qoyyum Bi Rahmatika Astagheeth, Wa Aslih Li Sha’nee Kullahu Wa Laa Takilni Ilaa Nafsi Thorfata ‘Aynin Abada”
Maksudnya: “Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmat Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekalipun sekejap mata tanpa mendapat pertolongan dari Mu selamanya.”
(HR. Ibnu As Sunni dalam ‘Amal Al-Yaum wa Al-Lailah no. 46, An-Nasa’i dalam Al-Kubra, 381: 570, Al-Bazzar dalam musnadnya 4/ 25/ 3107, Al-Hakim 1:545. Sanad hadis ini hasan sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah, no. 227)
3. Menghilangkan Dukacita – Dibaca Ketika Sedih/Mempunyai Masalah
Dari Anas bin Malik, ia berkata, “Nabi SAW ketika dapat masalah berat, beliau membaca:
(عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا كَرَبَهُ أَمْرٌ قَالَ (يَا حَىُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ
Dari Anas bin Malik, ia berkata, “Nabi SAW ketika dapat masalah berat, beliau membaca: “Yaa Hayyu Yaa Qayyum, bi rahmatika as-taghiits” (Maksudnya: Wahai Rabb Yang Maha Hidup, wahai Rabb Yang Berdiri Sendiri tidak memerlukan segala sesuatu, dengan rahmatMu aku minta pertolongan).”
(Hadis Riwayat Tirmidzi no. 3524)
Sumber:
- Rahsia Berdoa Dengan Menyebut Ya Hayyu Ya Qayyum – TZKRH
- Faedah Luar Biasa dari Nama Allah Al Hayyu Al Qayyum – rumaysho