TVET Tahfiz MARA: Bidang Pengajian & Syarat Kemasukan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebelum ini telah memperkenalkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz MARA di institusi pendidikan milik mereka.

Program ini ditawarkan kepada para hufaz di institusi di bawah MARA iaitu GIATMARA, IKM, KKTM dan UniKL.

Tujuan program ini diwujudkan adalah bagi memberikan peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran, pada masa sama meneruskan pengajian hafazan sepanjang pengajian.

Program TVET Tahfiz MARA Di Seluruh Negara

Sehingga kini, hanya 4 institusi pendidikan MARA yang menawarkan program ini di seluruh negara.

Namun, MARA kini merancang memperluaskan program TVET Tahfiz dengan memperbanyakkan kursus jangka pendek bersifat pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja beberapa sektor teknikal negara.

Perluasan program itu merangkumi bidang-bidang seperti:

  • Elektrik
  • Automotif
  • Reka bentuk fesyen
  • Media digital
  • Perabot
  • Penyaman udara
  • Perancah
  • Hiasan dalaman
  • Bangunan
  • Percetakan dan pengiklanan

Selain itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pula kini terlibat dalam kerjasama dengan Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) untuk mengiktiraf pelajar Hufaz Profesional Ulul Albab melalui perakuan sijil tahfiz bertahap selain dalam perancangan untuk menghantar pelajar ke universiti Islam terkemuka melalui program mobiliti pelajar jangka pendek.

Untuk mencapai hasrat tersebut, MARA menerusi GiatMara dalam hala tuju sehingga 2030 akan memperbanyakkan program TVET Tahfiz yang dijalankan bawah konsep GiatMara Vocational Technical Hub (GVTH), sebuah kolaborasi kemahiran bersama komuniti, pelajar sekolah, agensi, dan pemain industri utama, ke institusi tahfiz di seluruh negara.

Bidang Pengajian TVET Tahfiz MARA

Bidang pengajian yang ditawarkan bagi program ini adalah seperti berikut:

  • Diploma Teknologi Penyejukan dan Penyaman Udara – IKM Besut
  • Diploma Kompetensi Kimpalan – IKM Lumut
  • Diploma Teknologi Automotif Komersial – IKM Jasin
  • Diploma Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan (Radiologi dan Pengimejan) – KKTM Ledang

    Syarat Kemasukan

    Syarat kemasukan ke program ini adalah seperti berikut:

    1. Berumur 18 tahun sehingga 40 tahun.
    2. Pemohon berminat dalam bidang teknikal.
    3. Pemohon sihat tubuh badan.
    4. Pemohon menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk.

    Maklumat Lanjut

    Maklumat lanjut mengenai TVET Tahfiz MARA, sila layari laman web https://www.mara.gov.my.

    Bantu kami share artikel ini:

    eCentral Newsletter

    Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!