Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS): Sejarah, Uniform, Logo

Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) merupakan salah satu pilih badan uniform yang popular di peringkat sekolah rendah.

Perkataan “Tunas” itu menggambarkan bahawa keanggotan TKRS ini hanyalah terhad untuk para pelajar sekolah rendah sahaja berbanding Kadet Remaja Sekolah (KRS) yang dibuka keanggotaannya untuk pelajar sekolah menengah.

Seperti unit badan beruniform yang lain di sekolah, TKRS mempunyai identitinya yang tersendiri baik dari segi pakai uniform, logo, lagu dan sebagainya.

Sejarah Penubuhan TKRS

Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) telah mula diasaskan pada 15 Mac 1999.

Sekolah yang menjadi sekolah pertama (perintis) menubuhkan TKRS ialah Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Kuala Lumpur yang sekarang ini dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Setapak Indah.

TKRS ditubuhkan oleh En. Wan Mohd. Ariffin bin Wan Hussin  khas untuk murid-murid sekolah rendah seperti mana Kadet Remaja Sekolah untuk pelajar-pelajar sekolah menengah sahaja.

Penubuhan Tunas Kadet Remaja Sekolah secara rasminya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelajaran YB Dato’ Noh b. Omar di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah Darul Aman pada 26 Mac 2006.

Sementara itu, Kadet Remaja Sekolah (KRS) telah ditubuhkan lebh awal dan diasaskan oleh En. Muhammad Thani Bin Sha’aban di Sekolah Menengah Raja Abdullah, Jalan Kepong, Kuala Lumpur pada 27 Jun 1987.

Pada mulanya KRS ini dikenali sebagai Kadet Putera Islam Malaysia (KPIM) yang merupakan pasukan beruniform kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Islam SMRA (PERWIRA).

Cogan Kata Tunas Kadet Remaja Sekolah

Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) menggunakan cogan kata “ILMU IMAN AMAL”.

  • ILMU : Asas keintelektualan dan ketrampilan ahli TKRS.
  • IMAN : Keimanan yang mendalam merupakan asas pembinaan diri.
  • AMAL : Penghayatan dan perlakuan gaya hidup sihat yang berterusan merupakan natijah daripada kekuatan intelektual dan disiplin diri.

Logo TKRS

logo tunas kadet remaja sekolah

Gambar di atas merupakan logo rasmi Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) dan berikut merupakan maksud di sebalik logo TKRS:

  • Perisai melambangkan benteng ketahanan diri daripada gejala yang tidak sihat.
  • Bulan dan bintang melambangkan Agama Islam sebagai agama rasmi Negara Malaysia.
  • Dua tangkai padi bersilang melambangkan resmi padi iaitu berilmu dan berketrampilan serta matang dan rasional dalam semua tindakan.
  • Buku yang terbuka dan rehal melambangkan peranan institusi pendidikan yang mementingkan tradisi ilmu untuk semua tanpa mengira keturunan dan kaum, agama dan latar belakang budaya ke arah melahirkan bangsa Malaysia selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
  • Warna hijau melambangkan alam sekitar yang sihat.
  • Warna merah melambangkan keperwiraan dan sedia berjuan mempertahankan negara yang tercinta.
  • Warna kuning melambangkan warna diraja yang menjadi tonggak kedaulatan Negara Malaysia.
  • Warna putih melambangkan keikhlasan serta kesucian.

Bendera TKRS

bendera tkrs

Gambar di atas merupakan bendera rasmi Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS).

Warna Hijau melambangkan

  • Tunas muda/remaja yang masih boleh dibentuk.
  • Laluan hidup yang jelas untuk masa depan.
  • Alam sekitar merupakan sebahagian daripada kurikulum
  • KRS/TKRS.

Pakaian uniform TKRS

pakaian tunas kadet remaja sekolah

Berikut merupakan panduan pemakaian rasmi pakaian uniform Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS):

Lelaki

  • Beret berwarna Sherwood Dark Green.
  • Baju kemeja lengan pendek warna hijau muda ( L 109 )
  • Seluar sekolah. (Ukuran kaki 20 cm – 30 cm)
  • Tali wisel merah.
  • Tali pinggang kanvas warna hijau berkepala emas dengan
  • logo KRS.
  • Kasut Kulit/PVC Hitam Bertali dan Berstokin Hitam

Perempuan

  • Beret berwarna Sherwood Dark Green.
  • Baju kemeja labuh paras bawah punggung, berlengan panjang dan warna hijau muda ( L 109 ).
  • Seluar /Kain Sekolah.
  • Tali wisel merah.
  • Kasut Kulit/PVC Hitam Bertali dan Berstokin Hitam
    *Pemakaian Telekung mini berwarna Sherwood Dark Green.

Artikel berkaitan: SOP Pemakaian Uniform & Baju Sukan Sekolah KPM 2024

Lagu Tunas Kadet Remaja Sekolah

Kadet Remaja Sekolah
Menuju satu ikatan bersaudara
Bersatu menjulang keamanan negara
Menjayakan Ilmu, Iman dan Amal

Marilah kita membina peribadi
Membentuk insan yang kreatif
Ke arah kecemerlangan diri
Sepanjang masa yang berterusan

Remaja , sambutlah cabaran
Menjadi bangsa Malaysia
Maju dan cemerlang
Remaja berwawasan
Jangan kita lupa kepada pencipta

Remaja , hayati budaya
Ilmu, Iman dan Amal
Kekalkan di hati , dan jiwamu
Wawasan Kadet Remaja Sekolah

Sumber: Buku Panduan TKRS KPM

Bantu kami share artikel ini: