Penting: Tahap Penyakit Buah Pinggang (Chronic Kidney Disease) dari Tahap 1 hingga Tahap 5, dan Tanda-Tandanya
Buah pinggang merupakan organ penting yang ada dalam tubuh badan.
Ia berperanan dalam mengekalkan imbangan cecair badan dengan melakukan proses penapisan dan penyingkiran metabolit dan galian dari darah dan seterusnya menyingkirkannya.
Oleh itu, sangat penting untuk kita menjaga dan mengambil tahu tentang kesihatan buah pinggang kita.
Ini kerana, keadaan buah pinggang yang tidak baik boleh merosakkan badan dan seterusnya mampu membahayakan nyawa kita.
Berikut merupakan pengenalan berkenaan tahap penyakit buah pinggang (dari tahap 1 hingga tahap 5) dan tanda-tandanya.
Untuk ketahui lebih lagi berkenaan penyakit ini, teruskan pembacaan anda sehingga ke penghujung.
Apa itu Chronic Kidney Disease? (CKD)
Buah pinggang merupakan antara organ penting dalam badan kita yang membantu kita dalam melakukan perkara-perkara berikut:
- Menyingkir sisa buangan
- Mengawal jumlah cecair
- Membersihkan dan menapis darah
- Mengawal tekanan darah
- Menyediakan penghasilan sel darah merah
- Membantu dalam memastikan tulang sihat
Penyakit buah pinggang kronik atau Chronic Kidney Disease (CKD) pula merupakan penyakit berbahaya yang terjadi apabila fungsi ginjal merosot atau menurun secara beransur-ansur.
Penyakit ini boleh menyebabkan kematian jika tiada langkah pencegahan atau rawatan dilakukan ke atas pesakit.
Oleh itu, amat penting untuk anda tahu tahap dan tanda-tanda penyakit ini, agar langkah berjaga-jaga dapat diambil dari awal.
Tahap Penyakit Buah Pinggang
Untuk pengetahuan anda, tahap penyakit buah pinggang ini terbahagi kepada lima tahap dan ianya bergantung pada Kadar Penurasan Glomerular atau glomerular filtration rate (GFR).
Lagi rendah GFR bermaksud lagi teruk kesihatan buah pinggang anda:
- Penyakit buah pinggang Tahap 1
- Pada tahap ini kerosakan buah pinggang adalah pada tahap paling rendah, di mana buah pinggang anda masih lagi boleh melakukan fungsi normal.
- Bacaan GFR pesakit adalah 90 dan ke atas.
- Penyakit buah pinggang Tahap 2
- Pada tahap kedua, kerosakan buah pinggang yang berlaku akan menyebabkan kehilangan fungsi buah pinggang yang ringan.
- Bacaan GFR bagi pesakit tahap dua adalah kurang dari 90 iaitu di antara 89 ke 60.
- Penyakit buah pinggang Tahap 3
- Tahap 3 ini terbahagi kepada dua tahap iaitu:
- Tahap 3A
- Pada tahap ini, pesakit akan kehilangan fungsi buah pinggang ringan hingga sederhana.
- Bacaan GFR pada tahap ini ialah di antara 59 hingga 45.
- Tahap 3B
- Pesakit akan kehilangan fungsi buah pinggang sederhana hingga teruk pada tahap ini.
- Bacaan GFR pada tahap ini ialah di antara 44 hingga 30.
- Tahap 3A
- Tahap 3 ini terbahagi kepada dua tahap iaitu:
- Penyakit buah pinggang Tahap 4
- Pada tahap ini fungsi buah pinggang adalah dalam keadaan yang teruk.
- Pesakit yang berada pada tahap ini mungkin mengalami anemia, tekanan darah tinggi, penyakit tulang atau penyakit jantung.
- Tanda-tanya penyakit seperti mudah penat, loya, kerap kencing dan sebagainya juga akan mula berlaku pada tahap ini.
- Bacaan GFR pada tahap ini ialah di antara 29 hingga 15.
- Penyakit buah pinggang Tahap 5
- Tahap ini merupakan tahap terakhir, bermakna buah pinggang pesakit tidak lagi berfungsi.
- Bacaan GFR pada tahap ini ialah bawah 15.
Tanda-Tanda Penyakit Buah Pinggang
Gejala penyakit buah pinggang bergantung kepada tahap dan peringkat penyakit itu.
Pada peringkat awal penyakit buah pinggang, pesakit biasanya tidak menunjukkan apa-apa gejala.
Oleh itu, pesakit tersebut mungkin tidak sedar bahawa mereka telah berpenyakit.
Pada peringkat akhir, tanda sakit buah pinggang berikut mungkin berlaku :
- Sentiasa rasa letih: Apabila buah pinggang tidak berfungsi dengan baik, toksin dan bendalir berlebihan akan berkumpul dalam badan. Ini boleh menyebabkan rasa letih melampau, lesu, dan kurang tenaga walaupun selepas berehat.
- Susah bernafas: Pengumpulan cecair dalam paru-paru akibat kegagalan buah pinggang boleh menyebabkan sesak nafas. Selain itu, kekurangan sel darah merah (anemia) juga boleh menyumbang kepada pernafasan yang pendek dan cepat letih.
- Bengkak kaki, terutamanya pada waktu malam / berdiri yang berpanjangan: Buah pinggang yang lemah tidak dapat membuang lebihan garam dan air dengan baik, menyebabkan pengekalan cecair di kaki dan buku lali. Bengkak ini sering lebih ketara selepas berdiri lama atau menjelang malam.
- Kekejangan otot: Ketidakseimbangan elektrolit seperti kalsium, natrium, dan magnesium akibat kerosakan buah pinggang boleh menyebabkan otot menjadi tegang dan kejang. Kekejangan ini boleh berlaku secara tiba-tiba, terutama pada waktu malam.
- Rasa loya / muntah berterusan: Penumpukan bahan buangan dalam darah boleh merangsang bahagian otak yang mengawal rasa mual. Ini menyebabkan pesakit kerap berasa loya dan muntah, terutama pada peringkat lanjut penyakit buah pinggang.
- Tekanan darah tidak terkawal: Buah pinggang memainkan peranan penting dalam mengawal tekanan darah. Jika ia rosak, hormon dan keseimbangan cecair dalam badan terganggu, menyebabkan tekanan darah sukar dikawal walaupun dengan ubat.
- Kerap kencing: Buah pinggang yang rosak boleh menyebabkan anda membuang air kecil dengan lebih kerap, terutamanya pada waktu malam. Ini mungkin juga disertai dengan air kencing yang tidak lawas atau terasa tidak puas.
- Kulit kering dan gatal: Fungsi buah pinggang yang menurun boleh menyebabkan ketidakseimbangan mineral dan pengumpulan toksin, yang menjadikan kulit menjadi kering, kasar, dan gatal. Gatal ini biasanya berpanjangan dan tidak lega walaupun selepas digaru.
- Air kencing berdarah atau berbuih: Darah dalam air kencing mungkin menunjukkan kerosakan pada penapis buah pinggang. Jika air kencing berbuih, ia menandakan kehadiran protein berlebihan yang tidak sepatutnya keluar melalui air kencing.
*NOTA: Tahap dan tanda-tanda penyakit ini hanya sebagai pengetahuan dan rujukan anda, pemeriksaan berkala di hospital masih perlu dilakukan bagi mengetahui tahap kesihatan buah pinggang anda.
Baca juga: Kalori Defisit : Maksud, Cara Kiraan dan Tips Diet