Jangkitan Kuman Paru-Paru : Maksud, Simptom & Cara Mencegah

Mungkin sebelum ini masyarakat kurang peka tentang jangkitan kuman paru-paru atau pneumonia sebelum berlakunya pandemik Covid-19.

Namun, ia merupakan salah satu penyakit berbahaya yang membelenggu rakyat Malaysia.

Mungkin ramai juga yang tak tahu bahawa penyakit ini adalah antara tiga penyebab kematian utama di Malaysia selama lebih daripada satu dekad.

Jadi, dalam perkongsian kali ini, kami ingin berkongsi dengan lebih lanjut mengenai jangkitan kuman paru-paru.

jangkitan kuman paru-paru
Sumber : MayoClinic

Apa Itu Jangkitan Kuman Paru-Paru / Pneumonia?

Memetik perkongsian daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, jangkitan kuman paru-paru juga dikenali sebagai pneumonia.

Jangkitan ini boleh menyebabkan kantung udara kecil dalam paru-paru (alveoli) dipenuhi dengan cecair dan nanah.

Ia boleh berpunca daripada kulat (fungus), bakteria, virus, tibi dan lain-lain.

Ini seterusnya menyebabkan pesakit mengalami kesukaran bernafas akibat pengambilan oksigen yang terhad.

Sumber : news-medical.net

Simptom Jangkitan Paru-Paru

Pesakit boleh menunjukkan beberapa simptom jangkitan kuman paru-paru ini antaranya :

  • Tekanan darah menurun
  • Jantung berdegup laju
  • Sakit sendi dan otot terasa sakit atau lemah
  • Loya atau muntah
  • Masalah berkaitan paru-paru seperti batuk/berkahak, sesak dada, sesak nafas dan batuk berdarah
  • Kulit kelihatan kebiru-biruan
  • Demam panas
  • Menggigil atau kesejukan
  • Kurang selera makan
jangkitan kuman paru-paru
Sumber : KKM

Cara Mencegah Pneumonia

Sekiranya tidak dirawat, jangkitan kuman paru-paru ini boleh mengancam nyawa lebih-lebih lagi bagi golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang menghidap penyakit komorbid.

 Sebagai langkah berjaga-jaga, anda boleh cegah pneumonia atau jangkitan paru-paru menerusi kaedah berikut :

1. Imunisasi

Walaupun rata-rata bayi yang lahir di Malaysia telah diberikan vaksin pneumococcal, namun warga emas serta orang dewasa berisiko tinggi disarankan untuk mengambil vaksin ini untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Anda boleh semak di pautan ini untuk semak klinik berdekatan yang menawarkan vaksin pneumococcal.

Sumber : vaxcare.com

2. Amalkan Gaya Hidup Sihat Pemakanan Seimbang

Untuk mengelakkan dari jangkitan kuman paru-paru anda digalakkan untuk mengamalkan diet sihat kaya dengan serat, buah-buahan beri (strawberi, blueberry) dan sayuran berdaun hijau.

Elakkan makanan berproses, tinggi kandungan garam serta minuman dan makanan bergula.

Anda turut disarankan untuk amalkan senaman atau aktiviti fizikal serta tangani stres sebaiknya.

3. Pastikan Persekitaran Bersih dan Selamat

Disebabkan negara sudah bersedia untuk beralih ke fasa endemik, anda tetap disarankan untuk menjaga jarak dan terus menggunakan pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Amalkan cucian tangan secara kerap sebaik sahaja tiba di rumah.

Anda juga boleh bersihkan permukaan yang sering disentuh bagi mengelakkan penyebaran bakteria, kuman dan virus.

Untuk lindungi diri dan keluarga, anda turut dinasihatkan untuk berhenti merokok serta-merta.

Sumber : Healthline

Walaupun penyakit ini berisiko tinggi bagi kanak-kanak dan warga emas, namun orang dewasa juga tidak terkecuali untuk alaminya.

Tambahan pula dengan norma baharu dalam kehidupan harian, kita perlu menyesuaikan diri untuk berjaga-jaga dengan penularan penyakit seperti batuk, selsema, Covid-19 dan macam-macam lagi.

Sekiranya anda atau ahli keluarga mengalami simptom jangkitan kuman paru-paru seperti yang dinyatakan, segeralah dapatkan bantuan perubatan segera.

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, preventpneumonia.com.my

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!