Kencing Tak Lawas : Punca, Jenis dan Kaedah Rawatan

Masalah kencing tak lawas atau urinary incontinence merupakan suatu masalah yang membuatkan ramai rasa tidak selesa.

Meskipun ia sering dikaitkan dengan penuaan, kencing tidak lawas sebenarnya boleh berlaku kepada semua jantina daripada pelbagai lapisan usia. Kebanyakan pesakit juga mungkin sukar untuk rawat penyakit ini kerana berasa malu untuk bercakap mengenai keadaan mereka.

Ada juga sesetengah pesakit yang merasakan Ia bukan masalah yang besar dan ia boleh pulih dengan sendiri.

Jika ia tidak ditangani dengan baik, ia bukan sahaja boleh memberi kesan kepada tahap kesihatan, malah ia juga boleh menjejaskan emosi dan psikologi seseorang.

Walau bagaimana pun, masalah ini masih boleh diatasi walaupun ketika di usia tua. Ikuti perkongsian kami untuk ketahui dengan lebih lanjut.

kencing tak lawas

Jenis Kencing Tak Lawas / Urinary Incontinence

Ramai pesakit yang mengalami urinary incontinence akan mengalami masalah kawalan kencing.

Kadang kala, mereka tidak mampu menahan kencing dengan baik dan mudah ‘terlepas’ sebelum sempat ke tandas.

Terdapat beberapa jenis urinary incontinence iaitu :

i) Stress Incontinence

Masalah ini berlaku apabila terdapatnya tekanan pada kawasan pundi kencing apabila seseorang bersenam, ketawa, mengangkat sesuatu yang berat, batuk atau bersin.

ii) Urge Incontinence

Pesakit dengan urge incontinence mudah merasakan hendak kencing secara tiba-tiba dan mudah mengalami kebocoran urin.

Kadangkala, mereka juga mungkin perlu ke tandas dengan lebih kerap terutamanya pada waktu malam.

kencing tak lawas

iii) Overflowing Incontinence

Pesakit sering alami kebocorang urin disebabkan pundi kencing yang tidak dapat dikosongkan sepenuhnya.

iv) Functional Incontinence

Pesakit alami masalah dari segi mental atau fizikal sehingga menjejaskan pergerakan untuk ke tandas bagi membuang air.

Ini boleh disebabkan isu kognitif seperti dementia, Alzheimer, masalah otot seperti arthritis atau masalah saraf seperti strok atau kerosakan saraf tunjang.

v) Combination Incontinence

Gabungan dua jenis urinary incontinence yang berbeza.

Punca

Masalah urinary incontinence biasanya berlaku apabila otot dan saraf yang membantu fungsi pundi kencing mengalami masalah.

Bagi wanita, kehamilan, melahirkan anak dan menopaus boleh menjadi punca kepada kencing tidak lawas.

kencing tak lawas

Selain itu, terdapat beberapa punca kencing tidak lawas antaranya :

Berat Badan Berlebihan

Individu dengan masalah berat badan badan akan mengalami tekanan pada kawasan pundi kencing. Lama kelamaan otot pada kawasan tersebut akan menjadi lemah.

Sembelit

Individu yang sering alami sembelit juga cenderung untuk mengalami masalah kawalan pundi kencing.

Aktiviti meneran ketika membuang air besar boleh mencetuskan stres dan tekanan pada otot pundi kencing dan lantai pelvis. Ini juga boleh mengakibatkan kawasan otot kawasan tersebut menjadi lemah.

Kecederaan Pada Saraf

Masalah kesihatan seperti diabetes atau sklerosis berbilang boleh mengakibatkan pesakit alami kecederaan saraf di kawasan pundi kencing, urethra atau lantai pelvis.

Pembedahan

Prosedur pembedahan yang melibatkan organ peranakan wanita seperti hysterectomy boleh mengakibatkan kecederaan pada kawasan lantai pelvis terutamanya jika pembedahan tersebut melibatkan pembuangan uterus.

Jangkitan Saluran Kencing

Urinary incontinence juga boleh berlaku disebabkan jangkitan saluran kencing atau UTI.

Jangkitan ini boleh mengakibatkan iritasi pada kawasan pundi kencing dan seterusnya boleh mendorong seseorang untuk alami ketidakselesaan dan rasa kuat untuk membuang air kecil.

Diagnosis dan Rawatan Untuk Atasi Kencing Tidak Lawas

Sekiranya anda mengalami masalah ini, anda perlulah berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Untuk mendapatkan diagnos yang tepat, doktor akan bertanya beberapa soalan berkenaan simptom, sejarah perubatan dan ubat-ubatan yang sedang diambil.

Doktor juga akan buat beberapa ujian seperti :

  • Ujian urin
  • Ujian darah
  • Ujian untuk menguji sejauh mana anda mampu mengosongkan pundi kencing

Doktor juga akan meminta anda untuk mencatat masa anda perlu ke tandas dan bila anda alami kebocoran urin.

Informasi ini perlu dicatat bagi membantu doktor melakukan diagnosis dan memberikan rawatan yang tepat.

Rawatan pula akan diberikan mengikut jenis kencing tak lawas yang dialami. Sekiranya pesakit alami kencing tidak lawas yang serius, doktor mungkin akan mengesyorkan gabungan jenis rawatan bergantung kepada keperluan.

Pada fasa awal, doktor akan mencadangkan beberapa kaedah yang kurang invasif seperti perubahan dari segi gaya hidup, senaman lantai pelvis (senaman kegel) atau melakukan latihan pundi kencing.

Sekiranya tidak berkesan, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan atau mencadangkan prosedur lain seperti pembedahan.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa produk atau alatan yang dapat membantu lelaki dan wanita yang mengalami masalah kencing tak lawas untuk jalani aktiviti harian dengan lebih selesa seperti :

  • Seluar atau pad penyerap
  • Kateter
  • Alat yang diletakkan dalam vagina atau uretra untuk mengelakkan kebocoran urin.

Meskipun alatan ini tidak dapat merawat masalah kencing tidak lawas, namun ia dapat membantu anda mengawalnya dengn baik sementara anda menerima rawatan.

Cara Mencegah Kencing Tak Lawas

Lakukan Senaman Kegel

Senaman ini dapat membantu menguatkan kembali otot pada lantai pelvis.

Namun, ia boleh menyebabkan masalah kencing tak lawas semakin teruk jika tidak dilakukan dengan betul. Anda dinasihatkan untuk dapatkan panduan doktor terlebih dahulu.

Latih Pundi Kencing

Sekiranya anda ingin terkencing, cuba jarakkan masa membuang air dengan menetapkan waktu tertentu untuk ke tandas.

Dengan cara ini, anda dapat melatih diri untuk menyimpan urin pada kadar yang optimum sebelum pergi ke tandas lagi.

Turunkan Berat Badan

Sekiranya anda obes, cuba turunkan berat badan. Ini boleh mengurangkan tekanan berlebihan pada pundi kencing.

Berhenti Merokok

Dengan berhenti merokok, anda bukan sahaja dapat mengelakkan masalah pundi kencing, malah anda juga boleh menurunkan risiko penyakit lain.

Walau apa pun punca masalah kencing tak lawas yang dialami, pastikan anda dapatkan nasihat daripada doktor.

Daripada situ, anda akan didiagnos secara tepat dan diberikan rawatan yang sesuai dengan masalah yang dialami.

Sumber : Hellodoktor, healthline

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!