Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Jika Sijil Perakuan Nikah anda hilang atau rosak, anda boleh mendapatkan semula salinan rasmi (cabutan sijil nikah) daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tempat pernikahan anda didaftarkan dahulu.

Prosedur asasnya adalah sama, namun setiap negeri mempunyai sedikit perbezaan dari segi sistem dalam talian (online) atau keperluan dokumen.

Jom rujuk cara dapatkan semula sijil nikah hilang lebih terperinci di bawah.

Apa itu Sijil Perakuan Nikah?

Sijil Perakuan Nikah (atau sering dipanggil sijil nikah) ialah dokumen rasmi dan sah di sisi undang-undang yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) sebagai bukti bertulis bahawa sesuatu perkahwinan orang Islam telah sah didaftarkan.

Sijil ini mengandungi maklumat penting seperti nama suami isteri, tarikh dan tempat akad nikah, nama wali, nama saksi, serta jumlah mas kahwin.

Dokumen ini bukan sekadar sekeping kertas, ia adalah dokumen asas yang sangat penting untuk pelbagai urusan rasmi sepanjang kehidupan perkahwinan anda seperti:

  • Pendaftaran Kelahiran Anak: Untuk urusan membuat Sijil Kelahiran (Sijil Beranak) anak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
  • Kemasukan Wad Bersalin: Sebagai dokumen wajib semasa pendaftaran ibu mengandung untuk bersalin di hospital.
  • Pendaftaran Sekolah Anak: Digunakan sebagai dokumen sokongan untuk kemasukan anak ke sekolah rendah atau menengah
  • Tuntutan Mahkamah Syariah: Menjadi bukti utama untuk urusan tuntutan nafkah, hak penjagaan anak (hadhanah), atau kes perceraian
  • Pembahagian Harta Pusaka: Diperlukan untuk pengurusan harta sepencarian dan pembahagian harta mengikut sistem faraid.
  • Pinjaman Perumahan Bersama: Diperlukan oleh pihak bank untuk kelulusan pembiayaan hartanah gabungan suami isteri (joint loan).
  • Tuntutan Insurans dan Takaful: Untuk proses pendaftaran nama pasangan sebagai penama atau semasa membuat tuntutan pampasan
  • Kemudahan Kebajikan Pekerja: Digunakan untuk permohonan Surat Jaminan Jabatan (GL) perubatan pasangan atau permohonan kuarters kerajaan.
  • dan sebagainya.

Kalau hilangm, bagaimana? Jangan risau, ada cara untuk dapatkannya semula.

    Cara Dapatkan Semula Sijil Nikah Hilang

    Secara umum untuk semua negeri di Malaysia, cara untuk mendapatkan semula Sijil Perakuan Nikah yang hilang adalah dengan memohon Cabutan Sijil Nikah (Salinan Rasmi).

    Urusan ini mesti dilakukan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tempat anda bernikah dahulu, bukannya mengikut tempat tinggal anda sekarang. Rekod anda tidak akan dijumpai jika anda pergi ke pejabat agama di negeri lain.

    4 Cara Mudah Dapatkan Sijil Nikah Hilang
    1. Hadir ke Kaunter: Pergi ke PAID/Pejabat Kadi daerah tempat anda nikah dahulu pada hari bekerja.
    2. Isi Borang: Minta dan lengkapkan Borang Permohonan Salinan/Cabutan Sijil Nikah.
    3. Bayar Fi Proses: Sediakan wang tunai sekitar RM20 hingga RM50 untuk yuran cetakan sijil baharu (kadar bayaran adalah mengikut negeri).
    4. Tunggu Siap: Sijil nikah salinan rasmi yang baharu biasanya akan siap diproses dalam tempoh 5 hingga 10 hari bekerja.
    Dokumen Diperlukan

    Sebelum gerak ke pejabat agama, pastikan anda sudah siapkan dokumen ini:

    • Kad Pengenalan (MyKad): Asal dan salinan fotokopi (suami atau isteri).
    • Surat Akuan Sumpah Kehilangan: Singgah ke mana-mana pejabat Pesuruhjaya Sumpah terdekat untuk buat surat akuan rasmi menyatakan sijil nikah anda telah hilang. (Ini adalah syarat wajib bagi majoriti negeri)
    • Maklumat Pernikahan: Tarikh tepat nikah, nama penuh pasangan, dan nama masjid tempat akad nikah. Jika ada gambar salinan sijil yang lama dalam telefon lagi baik.

    Anda juga boleh rujuk cara dapatkan semula Sijil Nikah yang hilang mengikut negeri di bawah:

    Johor

     Jika Sijil Perakuan Nikah anda hilang, hadir ke Pejabat Kadi Daerah di kawasan tempat pernikahan didaftarkan untuk membuat permohonan cabutan carian perkahwinan.

    Rekod perkahwinan yang telah didaftarkan boleh disemak melalui saluran yang betul bagi tujuan pengesahan dan urusan berkaitan.

    APA PERLU BUAT?

    • Hadir ke Pejabat Kadi Daerah di kawasan tempat akad nikah didaftarkan.
    • Buat permohonan cabutan carian perkahwinan bagi mendapatkan pengesahan rekod perkahwinan yang berdaftar.
    • Sediakan dokumen pengenalan diri yang berkaitan semasa membuat permohonan.
    Cara Dapatkan Semula Sijil Nikah Hilang
    Sumber: Bahagian Undang Undang Syariah, JAINJ

    Wilayah Persekutuan

    Pemohon yang kehilangan/rosak Sijil Nikah/Cerai/Ruju’ yang berdaftar di Wilayah Persekutuan boleh mendapatkan salinan Sijil Daftar Nikah/Cerai/Ruju’ dengan mengisi Borang Permohonan Pemeriksaan Daftar Perkahwinan (Nikah/Cerai/Ruju’) di Kaunter BPPK JAWI dengan melampirkan dokumen-dokumen berikut:

    SALINAN ASAL (BAYARAN RM 50.00)

    • Surat Akuan Sumpah daripada Pesuruhjaya Sumpah beragama Islam / Laporan Polis
    • Surat Wakil Kuasa dan Salinan Kad Pengenalan Wakil (jika berkaitan)
    • Salinan Kad Pengenalan / Pasport Suami/Isteri
    • Salinan Surat atau Kad Perakuan Nikah/Cerai/Ruju’

    Permohonan akan diproses dalam masa 10 hari bekerja

    SALINAN (BAYARAN RM 20.00)

    • Surat Wakil Kuasa dan Salinan Kad Pengenalan Wakil (jika berkaitan)
    • Salinan Kad Pengenalan / Pasport Suami/Isteri
    • Salinan Surat atau Kad Perakuan Nikah/Cerai/Ruju’

    Permohonan akan diproses dalam masa 5 hari bekerja.

    Cara Dapatkan Semula Sijil Nikah Hilang
    Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI

      Maklumat Lanjut

      Untuk maklumat lanjut dan info terkini mengenai sijil nikah, anda boleh layari:

      Soalan Lazim Cara Dapatkan Semula Sijil Nikah Hilang

      Adakah saya perlu bernikah semula sekiranya sijil nikah hilang?

      Tidak perlu. Perkahwinan anda tetap sah di sisi undang-undang dan hukum syarak. Kehilangan sijil fizikal tidak membatalkan status perkahwinan kerana rekod asal anda masih tersimpan selamat di dalam pangkalan data Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

      Bolehkah saya memohon salinan di pejabat agama berhampiran rumah saya sekarang?

      Tidak boleh. Anda wajib memohon di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) tempat anda mendaftarkan pernikahan dahulu.

      Berapakah anggaran yuran untuk mendapatkan sijil nikah baharu?

      Antara RM20 hingga RM50 bagi setiap salinan rasmi, bergantung kepada ketetapan jabatan agama negeri masing-masing.

      Berapa lamakah tempoh masa untuk sijil baharu siap dicetak?

      Antara 5 hingga 14 hari bekerj, bergantung pada lokasi/negeri masing-masing.

      Kalau saya langsung tak ingat tarikh nikah atau nombor sijil, macam mana?

      Jangan risau. Pegawai pejabat agama boleh buat carian guna Nombor Kad Pengenalan (IC) anda atau pasangan untuk mengesan semula rekod tersebut.

      Penulis