Naik Lagi! Ini Harga Baru Roti Gardenia Mulai 1 September 2022

ROTI GARDENIA NAIK HARGA MULAI 1 SEPTEMBER 2022

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) akan menyemak semula harga bagi produk-produk Gardenia berkuat kuasa 1 September 2022 ini.

Sebelum ini, sebuah notis menjadi tular di media sosial memperlihatkan senarai perubahan harga produk-produk Gardenia berkenaan.

Gardenia menjelaskan kenaikan itu kerana pihaknya seperti perniagaan lain, berhadapan cabaran pasca COVID-19 termasuk pematuhan kepada keperluan keselamatan kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, katanya, bencana banjir melanda Shah Alam pada Disember tahun lalu, serta krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Mei lalu memberikan kesan ketara kepada kos operasi.

“Dalam beberapa bulan ini, Gardenia terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi yang mengalami kenaikan 25 peratus, serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus) tepung gandum, gluten, susu skim, penggalak roti dan bahan-bahan pembungkusan roti.

“Selain itu, terdapat faktor luar kawalan kami ini, pelaksanaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan, turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia.

“Hasil semakan dan analisa terperinci, serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia menyemak semula harga runcit bagi produknya berkuat kuasa 1 September,” katanya.

Gardenia juga berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan bekalan optimum dan harga berpatutan untuk semua produk.

Dalam pada itu, rata-rata di media sosial ramai yang turut mengeluh kerana sebelum ini, Gardenia sudah menaikkan harganya pada 1 Disember 2021 membabitkan kenaikan 30 sen untuk Original Classic 400g dan 45 sen untuk Original Classic Jumbo 600g.

Senarai Harga Baru Roti Gardenia Mulai 1 September 2022

Umumnya, pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak tujuh peratus atau 20 sen, berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

Sumber: Facebook

Berikut disenaraikan harga baru Roti Gardenia yang berkuatkuasa 1 September 2022 :

  • Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3.00
  • Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4.00
  • Rangkaian Gardenia Toast’em daripada RM5.00 kepada RM5.50
  • Gardenia Twiggies daripada RM1.80 kepada RM2.00
  • Gardenia Waffles daripada RM1.40 kepada RM1.50
  • Roti Krim Gardenia daripada RM1.00 kepada RM1.10

*Roti Gardenia Bonanza Keluarga masih dikekalkan pada harga RM2.75 sebuku, harga mampu milik untuk roti putih dengan berat 500 gram

Baca juga: Cara Self Check In Malaysia Airlines Secara Online

Bantu kami share artikel ini: