Apakah punca buasir terjadi dan bagaimana cara nak kecutkan buasir luar dan dalam?
Anda yang pernah atau sedang mengalami masalah buasir pasti tertanya-tanya apakah puncanya dan mencari cara merawat buasir, kan?
Buat pengetahuan anda, buasir adalah salur darah vena yang membesar di bahagian bawah rektum dan dubur.
Ia boleh memberi masalah apabila ia menjadi bengkak atau keradangan.
Jom ikuti perkongsian kami untuk ketahui mengenai penyakit ini dengan lebih lanjut.
Pengenalan Apa Itu Buasir
Buasir atau dikenali juga sebagai hemorrhoids terjadi apabila salur darah yang berdekatan dengan dubur menjadi bengkak.
Buasir boleh diklasifikasikan kepada dua kategori bergantung kepada lokasinya iaitu buasir luaran atau buasir dalaman.
Antara gejala buasir yang biasa dialami oleh pesakit adalah:
- lendir yang mengalir daripada buasir
- bengkak
- gatal
- berdarah atau sakit semasa membuang air besar
- ketidakselesaan serta panas atau pedih pada dubur
Jenis Buasir
Terdapat 2 jenis buasir yang boleh berlaku iaitu buasir dalaman dan luaran.
Buasir dalaman (Internal hemorrhoid)
Pembengkakan saluran darah berlaku di bahagian dalam lapisan rektum.
Biasanya, pesakit mengadu berlakunya pendarahan selepas membuang air besar namun tiada rasa sakit.
Ada juga pesakit yang mengadu bahawa terasa seperti ‘sesuatu’ yang terkeluar dari dubur selepas membuang air besar.
Buasir luaran (External hemorrhoid)
Saluran darah bengkak yang berlaku di bahagian luar rektum dan bawah kulit di dubur.
Biasanya, pesakit akan mengadu rasa pedih, panas atau mempunyai pendarahan semasa hendak membuang air besar.
Kesakitan ini turut berlaku disebabkan saluran darah tersumbat oleh darah beku.
Tahap Buasir
Buasir terbahagi kepada empat tahap, bergantung kepada keparahan dan gejala yang dialami.
Buasir Tahap 1
Tahap pertama merupakan peringkat awal di mana salur darah dalam dubur membengkak tetapi tidak terkeluar.
Pesakit biasanya mengalami pendarahan ringan ketika membuang air besar.
Gejala utama: pendarahan semasa atau selepas membuang air besar.
Tiada rasa sakit yang ketara.
Buasir Tahap 2
Pada tahap kedua, buasir akan terkeluar semasa meneran tetapi boleh masuk semula dengan sendiri.
Benjolan di dubur yang keluar selepas buang air besar, juga kemudiannya boleh hilang begitu sahaja.
Ia juga mungkin disertai dengan rasa tidak selesa dan pendarahan.
Buasir Tahap 3
Tahap ketiga pula menyaksikan buasir terkeluar dan perlu ditolak masuk secara manual.
Kesakitan dan ketidakselesaan semakin ketara.
Buasir Tahap 4
Tahap keempat adalah yang paling serius, di mana buasir sentiasa berada di luar dubur dan tidak boleh ditolak masuk.
Ia sering menyebabkan kesakitan berpanjangan, bengkak, dan risiko komplikasi seperti jangkitan.
Memerlukan rawatan perubatan segera, selalunya pesakit perlu melalui pembedahan.
Pemeriksaan awal oleh doktor amat penting untuk menentukan tahap buasir dan rawatan yang sesuai.
Rawatan boleh merangkumi ubat-ubatan, perubahan gaya hidup, atau pembedahan bergantung kepada tahap dan keadaan pesakit.
Mencegah buasir daripada menjadi lebih serius adalah kunci utama dalam pengurusan penyakit ini.
Punca Buasir dan Faktor Risiko
Terdapat beberapa punca buasir dan faktor yang boleh menyebabkan terjadinya masalah ini.
Pada awalnya, pengkaji merumuskan punca buasir berkait dengan tabiat, sikap, adat dan kehidupan sedentari dapat mempengaruhi terjadinya masalah buasir.
Hasil kajian kemudiannya mendapati punca buasir juga disebabkan faktor risiko seperti:
- kelemahan graviti pada dinding pembuluh darah
- kehamilan
- sembelit
- duduk lama di dalam tandas
- pengaruh genetik
- meneran semasa membuang air besar
Berikut penerangan lebih terperinci mengenai punca buasir atau faktor risiko, yang berkait rapat dengan keadaan yang mengakibatkan penambahan tekanan kepada saluran darah di rektum atau dubur.
Punca Buasir #1 Kehamilan
Janin yang membesar boleh menyebabkan tekanan pada bahagian dubur.
Tekanan daripada rahim yang membesar boleh mengganggu aliran darah dan menyebabkan buasir.
#2 Cirit-birit
Individu yang mengalami cirit-birit kronik juga cenderung untuk mengalami buasir.
Cirit-birit yang berpanjangan boleh merengsakan tisu di sekitar dubur dan menyumbang kepada pembentukan buasir.
#3 Hubungan Kelamin Melalui Dubur
Aktiviti seksual yang melibatkan dubur juga boleh mendedahkan seseorang kepada punca buasir.
Punca Buasir #4 Angkat Berat
Aktiviti mengangkat objek berat berulang kali boleh mengakibatkan tekanan kepada saluran darah di dubur sehingga menyebabkan buasir.
#5 Diet Kurang Serat
Individu yang kurang mengambil serat dalam diet harian cenderung untuk alami buasir.
Diet rendah serat menyebabkan punca buasir di mana najis menjadi keras dan sukar untuk dikeluarkan.
#6 Makanan Pedas Melampau
Selain itu, punca buasir disebabkan makanan pedas melampau boleh menjejaskan kesihatan tubuh badan.
Pengambilan cili secara berlebihan akan memberi kesan tidak baik terhadap kesihatan terutamanya sistem penghadaman dan boleh menjadi salah satu punca buasir.
#7 Genetik Punca Buasir
Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah alami buasir juga cenderung untuk turut alaminya.
#8 Duduk Terlalu Lama di Tandas
Penggunaan tandas duduk pada jangka masa yang lama boleh memberikan risiko buasir yang lebih tinggi berbanding tandas cangkung.
Ini disebabkan oleh posisi duduk yang lama semasa membuang air besar boleh memberi tekanan yang lebih kepada saluran darah di dubur berbanding penggunaan tandas cangkung.
#9 Punca Buasir: Penuaan
Otot sekitar dubur menjadi lemah dengan usia, meningkatkan risiko buasir.
#10 Obesiti
Berat badan berlebihan memberi tekanan tambahan pada kawasan pelvis dan dubur.
Kurang aktiviti fizikal punca buasir no 11
Gaya hidup tidak aktif menjadi punca buasir di mana tabiat ini melambatkan proses pencernaan dan meningkatkan risiko sembelit.
12. Kurang minum air
Kekurangan cecair dalam badan menyumbang kepada sembelit dan najis kering.
#13. Meneran semasa membuang air besar
Meneran terlalu kuat boleh meningkatkan tekanan pada salur darah di kawasan dubur.
Cara Merawat Buasir dan Mencegah Buasir
Terdapat beberapa langkah yang anda boleh lakukan untuk mengelakkan punca buasir serta mengurangkan simptomnya iaitu :
Elakkan Sembelit
- Pastikan anda lebihkan pengambilan makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan bijirin. Sekiranya ingin makan roti dan bijirin, pilihlah yang mengandungi bijirin penuh dan makanan kecutkan buasir.
- Lebihkan pengambilan air kosong, sebaiknya 8 gelas sehari. Anda juga boleh campurkan air kosong dengan chia seed untuk tingkatkan pengambilan serat harian.
- Elakkan pengambilan julap yang boleh menyebabkan cirit-birit sehingga boleh membuatkan punca buasir lebih teruk. Sekiranya perlu, anda boleh mengambil julap yang mengandungi serat yang tinggi seperti Fybogel yang bertujuan untuk mengelakkan sembelit.
Kurangkan Rasa Sakit Pada Dubur
Terdapat pelbagai cara untuk kurangkan rasa sakit akibat punca buasir, antaranya :
- Mandi dengan air suam
- Ambil pil tahan sakit seperti aspirin, ibuprofen atau paracetamol.
- Sekiranya terdapat pembengkakan, anda boleh gunakan ais untuk surutkan bengkak atau duduk di dalam besen berisi garam.
- Anda juga boleh gunakan produk krim sapuan atau supisotori yang berada di pasaran untuk merawat buasir.
NOTA:
Kerap kali, buasir akan hilang dengan sendiri ataupun dengan rawatan yang minimum. Namun begitu, komplikasi yang mungkin timbul daripada penyakit buasir adalah seperti thrombosis (darah beku di dalam salur darah), jangkitan kuman, ulser, bernanah dan hilang kawalan terhadap pembuangan najis.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Kebiasaannya, buasir boleh hilang jika anda mengelakkan punca buasir dengan mengamalkan langkah pencegahan seperti dinyatakan di atas.
Walau bagaimanapun, anda perlu dapatkan nasihat doktor sekiranya ia berterusan dan mengganggu aktiviti harian anda.
Doktor akan mendiagnosis masalah dan mengenal pasti punca buasir anda serta mencadangkan rawatan yang sesuai dengan tahap buasir yang berlaku.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, myhealth.gov.my, Root Of Science