PKSK – Info Penting yang Mak Ayah Kena Tahu Kalau Anak Nak Masuk Sekolah Khusus

contoh soalan pksk
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah perkenalkan satu sistem ujian khas dinamakan PKSK atau Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus untuk pelajar yang ingin memasuki sekolah khusus seperti SBP, SMKA, KV, SMT, MTD dan MRSM.

PKSK ialah satu ujian saringan standard secara berpusat. Sistem ni guna kaedah single entry point.

Maksudnya, pemohon cuma perlu isi satu permohonan online sahaja untuk apply ke mana-mana sekolah khusus yang pelajar minat/nak masuk. Tak payah pening nak hantar borang asing-asing untuk setiap sekolah macam dulu-dulu.

Untuk makluman, permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus dan MRSM bagi Sesi 2027 akan dibuka secara dalam talian mulai 10 Julai hingga 14 Ogos 2026.

Sehubungan itu, pelajar Tahun 6 dan Tingkatan 3 (sesi 2026) yang berminat serta melepasi kriteria kelayakan diwajibkan menduduki ujian PKSK mengikut slot masa yang telah dijadualkan.

Jom rujuk info lebih lanjut di bawah mengenai PKSK, cara mohon, format ujian, tarikh PKSK, persediaan serta tips-tips penting.

Apa itu PKSK? – Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus

Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ialah merupakan ujian yang digunakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi menilai dan memilih pelajar yang layak untuk memasuki sekolah khusus di seluruh negara.

Antara sekolah yang menggunakan PKSK sebagai syarat kemasukan termasuklah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), MRM, KV, SM Teknik serta Maktab Tentera Diraja (MTD).

Ujian ini berfungsi sebagai penilaian wajib untuk semua calon yang berminat melanjutkan pelajaran ke sekolah khas tersebut.

Melalui PKSK, aspek akademik, sahsiah, kemahiran berfikir, serta daya kepimpinan pelajar akan dinilai bagi memastikan hanya calon yang benar-benar berpotensi dipilih.

contoh soalan pksk

Sekolah Mana yang Terlibat dengan PKSK ?

Keputusan ujian ni akan menentukan sama ada pemohon layak atau tidak untuk melangkah masuk ke sekolah-sekolah khusus seperti berikut:

  • Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
  • Sekolah Menengah Teknik (SMT)
  • Kolej Vokasional (KV)
  • Maktab Tentera Diraja (MTD)
  • Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) (ambilan terbaru telah diselaraskan di bawah PKSK mulai sesi 2026/2027)

Pelajar yang memohon kemasukan ke Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 di semua sekolah khusus ini diwajibkan menduduki PKSK sebagai syarat kemasukan rasmi yang utama.

Mohon Sekolah Dulu Ke Jawab Ujian PKSK Dulu?

Ramai mak ayah keliru sama ada anak perlu menduduki ujian dahulu atau memilih sekolah dahulu. Berikut adalah urutan fasa kronologi yang betul:

Fasa 1: Pilih & Mohon Sekolah (10 Julai hingga 14 Ogos 2026)
– Ibu bapa perlu log masuk ke portal KPM untuk mengisi borang permohonan online dan memilih jenis sekolah khusus (contoh: SBP, KV atau MRSM) yang ingin disertai oleh anak.

Fasa 2: Cetak Slip Pusat Ujian (September 2026)
– Selepas permohonan online ditutup, ibu bapa wajib menyemak semula portal untuk mencetak Slip Ambil Ujian yang mengandungi tarikh, masa, dan lokasi sekolah pusat ujian bagi anak anda.

Fasa 3: Menduduki Ujian PKSK (September – Oktober 2026)
– Calon hadir secara fizikal ke pusat pentaksiran yang ditetapkan untuk menjawab ujian berasaskan komputer.

Fasa 4: Semakan Keputusan & Tawaran (Awal 2027)
– KPM akan menyemak markah merit dan mengumumkan nama calon yang berjaya mendapat penempatan ke sekolah khusus pilihan.

Siapa yang Layak Ambil PKSK?

Ujian ni bukan untuk semua pelajar ya. PKSK hanya terbuka kepada dua kumpulan pelajar ni sahaja:

  • Murid Tahun 6 sesi semasa (iaitu, murid berumur 12 tahun pada tahun 2026) yang ingin memohon kemasukan ke Tingkatan 1 di Sekolah Khusus (SBP, SMKA, SMT, KV, MTD, MRSM) bagi tahun 2027.
  • Murid Tingkatan 3 sesi semasa (iaitu, murid berumur 15 tahun pada tahun 2026) yang ingin memohon kemasukan ke Tingkatan 4 di Sekolah Khusus yang sama atau Tahun 1 Sijil Vokasional Malaysia bagi tahun 2027.

Syarat Tambahan Utama:

  • Warganegara Malaysia.
  • Umur calon mestilah murid Tahun 6 (12 tahun – PKSK T1) / Tingkatan 3 (15 tahun – PKSK T4) tahun semasa.
  • Berdaftar dalam Modul Pengurusan Murid KPM (APDM/MOEIS)

Oleh itu, hanya murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 bagi sesi semasa yang layak memohon serta diwajibkan menduduki PKSK sebagai syarat utama untuk kemasukan ke mana-mana Sekolah Khusus bagi sesi 2027/2028.

Bagi sekolah swasta yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai Modul Pengurusan Murid KPM, permohonan ke MRSM hendaklah dibuat terus secara berasingan melalui portal MyMRSM untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).

Apa yang Diuji Dalam PKSK?

Ujian PKSK dinilai sepenuhnya secara digital (menggunakan komputer) dan terbahagi kepada 3 bahagian utama.

BahagianKomponenSoalan/FormatPeratus MarkahTempohCatatan
AKecerdasan Insaniah30 soalan objektif20%90 minitEQ, SQ, SSQ; tiada jawapan betul/salah
BKecerdasan Intelek70 soalan objektif70%90 minitIQ, pengetahuan am, penyelesaian masalah, Math/Sains (qualitatif & kuantitatif), Bahasa Inggeris (10 soalan)
CArtikulasi Penulisan1 karangan (pilih daripada 3 tajuk)10%45 minitKarangan Bahasa Melayu: min 100 patah (T1), 250 patah (T4)
*Nota: Tempoh masa bagi Bahagian A dan Bahagian B digabungkan sekali gus selama 90 minit di dalam sistem paparan komputer.
pksk

Bahagian A: Kecerdasan Insaniah

  • Untuk mengukur karakter dan keperibadian murid (emosi, spiritual, sosial).
  • Skop: EQ (Emotional Quotient), SQ (Spiritual Quotient), SSQ (Social Quotient).
  • Bentuk: 30 soalan objektif, tiada jawapan betul atau salah.
  • Sumbangan Markah: 20%.
  • Contoh Situasi:“Jika rakan sekumpulan anda tidak mahu menyiapkan tugasan bersama, apakah tindakan anda?” – Pelajar perlu memilih jawapan yang menunjukkan ciri kepimpinan, toleransi, dan kematangan emosi yang tinggi.

Bahagian B: Kecerdasan Intelek

  • Mengukur tahap kognitif (IQ), pengetahuan am, serta kemahiran penyelesaian masalah dalam pelbagai subjek termasuk Matematik, Sains, Teknologi, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris.
  • Bentuk: 70 soalan objektif (pilihan berganda).
  • Bahasa Inggeris diuji menerusi 10 soalan khas.
  • Sumbangan markah 70%. Jawapan “betul” diberikan 1 markah, “salah” 0 markah.
  • Contoh Soalan: “Siapakah Perdana Menteri Malaysia yang terkini?” atau “Apakah nama satelit pertama negara?”

Bahagian C: Artikulasi Penulisan

  • Fokus kepada idea, pendapat serta hujah calon.
  • Calon memilih 1 daripada 3 tajuk yang diberikan untuk menghasilkan karangan Bahasa Melayu.
  • Minimum perkataan: 100 untuk Tingkatan 1, 250 untuk Tingkatan 4.
  • Tempoh: 45 minit.
  • Sumbangan markah 10%.
  • Contoh Tajuk Esei:“Cara-cara memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja” atau “Kesan penggunaan gajet secara berlebihan terhadap pelajar”.

TIPS RINGKAS:

  1. Bahagian A: Jawab dengan jujur dan pilih nilai yang paling murni/positif.
  2. Bahagian B: Banyakkan membaca berita isu semasa dan buat latihan soalan KBAT Matematik/Sains.
  3. Bahagian C: Pastikan tulisan kemas, tiada kesalahan ejaan, dan struktur ayat matang.

Tarikh Penting Permohonan Sekolah Khusus 2027 & PKSK

Take note tarikh penting ni!

Tingkatan 1Tingkatan 4 / Tahun 1 SVM
Permohonan Kemasukan Sekolah Khusus10 Julai – 14 Ogos 202610 Julai – 14 Ogos 2026
Pelaksanaan Ujian PKSK12 – 22 Oktober 202621 September – 1 Oktober 2026
Pautan Portal RasmiSPSKT1 KPMSPSKT4 KPM
@ecentral.my

Parents yang nak bagi anak masuk SBP & MRSM tahun 2027, take note tarikh penting ni. Ada 3 tips persediaan Ujian PKSK jugak tau. #permohonansbp2027 #permohonanmrsm #ujianpksk #ujianpksk2027 #sekolahkhusus

♬ original sound – eCentral – eCentral

Panduan Permohonan Sekolah Khusus dan MRSM

Permohonan kemasukan ke Sekolah Khusus dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan dilaksanakan secara dalam talian melalui sistem bersepadu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

  • Sekolah Kerajaan / Bantuan Kerajaan (Berdaftar APDM KPM):
    • Wajib memohon menerusi portal SPSKT1 KPM (T1) atau SPSKT4 KPM (T4).
    • Penggabungan pilihan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), SMKA, SMT, KV, MTD, dan MRSM boleh ditanda secara serentak di dalam borang yang sama.
  • Sekolah Swasta (Tidak Berdaftar APDM KPM):
    • Jika institusi swasta anak anda tidak menggunakan sistem pangkalan data KPM, permohonan ke MRSM sahaja dibuka.
    • Permohonan tersebut mesti diisi secara langsung melalui portal MyMRSM MARA untuk menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM)

Cara Mohon Sekolah Khusus Kemasukan Tingkatan 1 2027/2028

1. Kemas Kini Maklumat Asas (Sebelum Isi Permohonan)

  • Layari portal idMe MOEIS
  • Semak maklumat profil ibu bapa/penjaga dan data peribadi murid Tahun 6. Pastikan alamat rumah, nombor telefon, dan maklumat penjaga utama adalah tepat. Kemaskini semua maklumat yang perlu dikemaskini.

2. Layari Portal Rasmi & Log Masuk Sistem

  • Pergi ke laman web permohonan rasmi KPM untuk Tingkatan 1: SPSKT1 KPM.
  • Masukkan No. MyKid/MyKad murid serta No. MyKad Penjaga Utama/Penjaga Kedua (maklumat mestilah sepadan dengan data dalam sistem idMe/APDM sekolah), kemudian klik butang “Log Masuk”.

3. Semak Maklumat Profil Pemohon

  • Sistem akan memaparkan maklumat murid secara automatik berdasarkan padanan daripada Modul Pengurusan Murid KPM.
  • Jika ada maklumat tidak tepat: Ibu bapa perlu mengemaskini maklumat tersebut di portal pengurusan awam idMe MOEIS dan menghubungi guru kelas sekolah asal untuk pengesahan data.

4. Isi Maklumat Kesihatan, OKU, dan E-mel

  • Nyatakan status penyakit kronik atau alahan pemohon dengan memilih maklumat berkaitan yang dipaparkan pada skrin.
  • Tandakan status Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya berkenaan.
  • Masukkan alamat emel aktif milik ibu bapa atau penjaga untuk memudahkan penerimaan notifikasi sistem.

5. Semak Padanan Sistem Automatik (Data Merit)

Sistem SPSKT1 akan menarik data pencapaian murid secara automatik melalui sistem dalaman KPM:

  • Pentaksiran Bilik Darjah (PBD): Dipadankan terus daripada Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).
  • Kepimpinan & Kokurikulum: Dipadankan daripada pentaksiran PAJSK sekolah.
  • Pentaksiran Psikometrik: Dipadankan daripada e-Profil Kerjaya Murid (SePKM).

6. Pemilihan Sekolah Khusus (Pilihan 1, 2, dan 3)

Anda diberikan sehingga 3 pilihan sekolah khusus. Bagi Pilihan 1 (Wajib):

  • Pilih jenis sekolah khusus pilihan (Sekolah Berasrama Penuh (SBP) / Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) / Maktab Tentera Diraja (MTD) / Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)).
  • Nyatakan minat untuk mengikuti Dual Language Programme (DLP) jika ditawarkan di sekolah tersebut.
  • Pilih pakej mata pelajaran, aliran, atau program pengajian pilihan.
  • Pilih negeri dan nama sekolah pilihan anda (Nama sekolah yang sama tidak boleh diulang pada pilihan sekolah yang lain).
  • Masukkan anggaran jarak (dalam kilometer) dari kediaman rumah ke sekolah pilihan.

7. Pilih Pusat Pentaksiran Ujian PKSK

Seterusnya, pilih lokasi tempat anak anda akan menduduki ujian komputer PKSK fizikal:

  • Pilih Negeri pusat PKSK yang paling dekat dengan kediaman anda.
  • Pilih Daerah Pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
  • Pilih Nama Sekolah Pusat PKSK pilihan (Pusat ujian yang sudah penuh kuotanya tidak akan dipaparkan lagi di dalam sistem).

8. Perakuan Pemohon & Cetak Slip

  • Baca kenyataan perakuan dengan teliti dan tandakan (tick) pada kotak perakuan untuk mengesahkan segala maklumat yang dihantar adalah benar.
  • Klik butang HANTAR / SIMPAN.
  • Cetak Borang Permohonan: Cetak borang permohonan muktamad dan simpan sebagai bukti rujukan rasmi. Anda masih boleh mengemaskini semula pilihan sekolah pada bila-bila masa sehinggalah tarikh tutup sistem online pada 14 Ogos 2026.

NOTA: Untuk panduan permohonan ke MRSM bagi calon yang bersekolah swasta tidak berdaftar KPM, sila rujuk https://mrsm.mara.gov.my/mymrsm/

Cara Mohon Sekolah Khusus Kemasukan Tingkatan 4 2027/2028

1. Semak & Kemas Kini Profil di Portal idMe

  • Sebelum mula mengisi borang permohonan, ibu bapa atau penjaga perlu log masuk ke Sistem Pengurusan Identiti KPM melalui portal idMe MOEIS.
  • Pastikan maklumat peribadi pelajar, alamat rumah terkini, dan profil penjaga utama telah disahkan betul di bawah menu Modul Pengurusan Awam.

2. Log Masuk Portal Rasmi Tingkatan 4

  • Apabila tarikh pendaftaran dibuka (10 Julai – 14 Ogos 2026), layari laman web rasmi: SPSKT4 KPM.
  • Masukkan Nombor MyKad/MyKid murid serta Nombor MyKad Penjaga Utama/Kedua, kemudian klik butang “Log Masuk”.

3. Semak Paparan Maklumat Pemohon

  • Sistem akan memaparkan data peribadi murid secara automatik hasil padanan dari Modul Pengurusan Murid KPM (APDM).
  • Jika ada data salah: Anda tidak boleh menukarnya sendiri. Hubungi guru kelas anak anda dengan segera untuk mengemas kini maklumat di dalam sistem komputer sekolah asal.

4. Isi Maklumat Kesihatan, OKU, dan E-mel

  • Sytem memerlukan pengesahan status penyakit (seperti asma atau alahan) dan status Orang Kurang Upaya (OKU) sekiranya ada.
  • Masukkan alamat emel aktif milik ibu bapa/penjaga untuk urusan hebahan notifikasi.

5. Semakan Padanan Sistem Data Merit Terbina

Markah merit kelayakan akademik dan kokurikulum akan diambil secara automatik oleh sistem dari pangkalan data sekolah:

  • Tahap Penguasaan PBD: Dipadankan terus dari Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).
  • Markah Kokurikulum & Kepimpinan: Dipadankan dari sistem PAJSK.
  • Pentaksiran Psikometrik: Dipadankan melalui e-Profil Kerjaya Murid (SePKM).

6. Pemilihan Sekolah Khusus (Pilihan 1, 2, dan 3)

Pelajar boleh mengisi sehingga 3 pilihan sekolah. Bagi Pilihan 1 (Wajib):

  • Pilih jenis sekolah khusus yang diminati (SBP / SMKA / SMT (SBP-Teknikal) / KV / MTD / MRSM).
    • Tip Penting MTD: Jika berminat ke Maktab Tentera Diraja, anda wajib meletakkannya sebagai Pilihan 1. Jika diletakkan sebagai pilihan ke-2 atau ke-3, sistem akan memadamkan pilihan MTD secara automatik.
  • Tentukan minat mengikuti Dual Language Programme (DLP) serta pilih pakej mata pelajaran/aliran/kursus vokasional yang ditawarkan.
  • Pilih negeri sekolah, nama sekolah pilihan, dan anggaran jarak dari rumah (km).
  • Bagi pilihan sekolah SMKA, SMT, dan KV, anda wajib menandakan pilihan YA/TIDAK untuk tinggal di asrama (tertakluk kepada kekosongan).
  • Nota untuk Pilihan 2 & 3: Anda dibenarkan memilih nama sekolah yang sama dengan Pilihan 1 HANYA JIKA pakej mata pelajaran, kursus, atau aliran yang dipilih adalah berbeza.

7. Pilih Lokasi Pusat Ujian PKSK

Seterusnya, pilih lokasi fizikal di mana pelajar akan menduduki ujian komputer PKSK:

  • Pilih Negeri dan Daerah Pentadbiran PPD pusat PKSK yang paling dekat dengan rumah.
  • Pilih Nama Sekolah Pusat PKSK (Pusat ujian yang kuotanya sudah penuh tidak akan dipaparkan lagi).
  • Penentuan pusat ujian muktamad dikawal selia sepenuhnya oleh Urus Setia KPM.

8. Perakuan Pemohon & Cetak Slip Borang

  • Semak semula semua pilihan kursus dan sekolah. Tandakan (tick) pada kotak pernyataan perakuan pemohon untuk mengesahkan data.
  • Klik butang HANTAR / SIMPAN.
  • Cetak Borang Permohonan: Muat turun dan cetak borang permohonan sebagai salinan rujukan fizikal anda. Sistem online ini bebas dikemas kini semula bila-bila masa sehinggalah tarikh tutup sistem pada 14 Ogos 2026.

NOTA: Untuk panduan permohonan ke MRSM bagi calon yang bersekolah swasta tidak berdaftar KPM, sila rujuk https://mrsm.mara.gov.my/mymrsm/

Semakan Pusat Pentaksiran PKSK

Selepas fasa permohonan ditutup, ibu bapa perlu menyemak lokasi sekolah yang telah ditetapkan oleh KPM untuk anak anda menduduki ujian PKSK.

Untuk membuat semakan, anda boleh rujuk cara-cara berikut:

  1. Layari portal rasmi mengikut tingkatan anak: SPSKT1 KPM (Tingkatan 1) atau SPSKT4 KPM (Tingkatan 4).
  2. Masukkan Nombor MyKad/MyKid Murid dan Nombor MyKad Penjaga Utama.
  3. Klik butang “Semak”.
  4. Skrin akan memaparkan butiran Tarikh Ujian, Masa Sesi (Pagi/Petang), dan Nama Sekolah Pusat Ujian.
  5. Klik butang cetak untuk mendapatkan Slip Menduduki Ujian PKSK. Slip fizikal ini wajib dibawa bersama kad pengenalan murid ke dewan ujian pada hari peperiksaan.

Semakan Keputusan PKSK & Tawaran Kemasukan Sekolah Khusus

Sila ambil perhatian bahawa KPM tidak mengeluarkan pecahan markah merit ujian PKSK secara terbuka. Sebaliknya, sistem terus memaparkan status sama ada murid berjaya ditawarkan tempat ke sekolah pilihan ataupun tidak.

Rujuk cara-cara berikut untuk membuat semakan:

1. Layari Laman Web Semakan

2. Masukkan Maklumat Calon: Masukkan nombor kad pengenalan calon dan butiran lain yang diperlukan pada ruangan yang disediakan.

3. Klik butang “Semak Tawaran”.

  • Jika Berjaya: Sistem akan memaparkan nama Sekolah Khusus yang menawarkan tempat, aliran pakej mata pelajaran, serta Surat Tawaran Rasmi. Ibu bapa perlu memuat turun surat tersebut dan mencetak borang pengesahan setuju terima tawaran sebelum tarikh tamat tempoh.
  • Jika Gagal: Skrin akan memaparkan status tidak berjaya. Walau bagaimanapun, butang “Permohonan Rayuan Online” akan diaktifkan dalam tempoh beberapa minggu untuk memberi peluang kedua kepada calon.

Cara Buat Rayuan Ke Sekolah Khusus & MRSM

Jangan patah semangat jika semakan awal anak anda memaparkan status tidak berjaya. Peluang kedua masih ada melalui proses rayuan.

KPM dan MARA biasanya akan membuka permohonan rayuan sebaik sahaja pendaftaran murid baharu selesai, bagi mengisi kekosongan tempat (floating seats) daripada pelajar yang menolak tawaran asal.

Rujuk cara buat rayuan di bawah:

  1. Layari Portal e-Rayuan
    • Bagi Tingkatan 1, layari pautan https://spskt1.moe.gov.my.
    • Bagi Tingkatan 4, layari pautan https://spskt4.moe.gov.my
    • Calon Sekolah Swasta (MRSM): Log masuk ke sistem MyMRSM MARA dan klik butang rayuan online di dalam portal MARA mengikut garis masa yang ditetapkan.
  2. Klik Butang e-Rayuan
    • Pada laman utama, klik pada butang e-Rayuan seperti yang tertera.
  3. Isi Maklumat Calon dan Penjaga
    • Masukkan nombor kad pengenalan MyKad/MyKid calon serta nombor MyKad Penjaga Utama (yang didaftarkan dalam APDM) untuk memasuki sistem.
  4. Pilih Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
    • Selepas berjaya log masuk, pilih senarai SBP yang diinginkan sebagai pilihan rayuan.

Nota Penting:

  • Maktab Rendah Sains MARA (MRSM): Permohonan rayuan online adalah berasingan dan wajib dibuat terus menerusi portal MyMRSM MARA.
  • Kolej Vokasional & SBP-Teknikal: Urusan permohonan baki ambilan kedua perlu disemak menerusi borang rayuan di portal rasmi BPLTV KPM sebelum menghantar dokumen ke institusi sasaran.
  • Maktab Tentera Diraja (MTD): Tiada sistem butang e-Rayuan terbuka disediakan di dalam portal SPSKT; sebarang pengisian kuota kosong tertakluk kepada saringan fizikal susulan oleh urus setia MTD.

Persediaan Sebelum Mohon Masuk Sekolah Khusus

Bagi pemohon yang ingin memohon kemasukan ke sekolah khusus melalui PKSK, terdapat beberapa perkara yang wajib dipastikan terlebih dahulu.

  • Pastikan maklumat pemohon, ibu bapa dan penjaga telah dikemaskini dalam Modul Pengurusan Murid di pautan https://public.moe.gov.my
  • Rujuk Panduan Permohonan dalam menu Sistem Permohonan Kemasukan ke Sekolah Khusus (SPSKT) untuk memahami proses dengan lebih jelas.
  • Semasa mengisi borang permohonan, dapatkan bantuan daripada ibu bapa, penjaga atau guru. Pemohon tidak digalakkan mengisi borang secara bersendirian.
  • Pastikan semua butiran diisi dengan betul dan lengkap. Kesilapan maklumat adalah tanggungjawab pemohon dan boleh menyebabkan permohonan tidak dipertimbangkan.
  • Pengemaskinian maklumat hanya boleh dibuat sehingga tarikh tutup permohonan. Semak dengan teliti sebelum mencetak borang permohonan.

Persediaan & Tips Penting PKSK

Berikut adalah beberapa tips penting untuk calon yang akan menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) :

  1. Fahami Format Ujian: Ketahui tiga bahagian utama PKSK iaitu Kecerdasan Insaniah (EQ, SQ, SSQ), Kecerdasan Intelek (IQ dan pengetahuan akademik), serta Penulisan Karangan.
  2. Latih Diri dengan Contoh Soalan: Amalkan menjawab soalan objektif dan penulisan karangan. Ini membantu biasakan diri dengan jenis soalan dan masa yang diberikan.
  3. Bawa Dokumen Penting: Pastikan bawa MyKad/MyKid, slip menduduki PKSK, dan alat tulis yang diperlukan pada hari ujian.
  4. Patuhi Waktu Ujian: Hadir di pusat ujian tepat pada masa yang ditetapkan dan ikut arahan staf pusat ujian.
  5. Jaga Kesihatan: Pastikan cukup rehat dan makan sebelum hari ujian supaya fokus dan tenang semasa menjawab.
  6. Pakai Pakaian Sekolah Lengkap: Ikut kod pemakaian sekolah yang ditetapkan untuk kelancaran proses ujian.
  7. Tenang dan Fokus: Urus masa dengan baik ketika menjawab soalan, jangan terburu-buru dan baca soalan dengan teliti.
  8. Semak Maklumat Semasa: Sentiasa rujuk portal rasmi untuk sebarang perubahan atau maklumat terbaru berkaitan PKSK.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut tentang semakan PKSK seperti pusat ujian dan sebagainya, sila rujuk info terkini di:

ATAU, hubungi KPM di talian berikut:

  • Maktab Tentera Diraja : 03-8946 5562
  • Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh : 03-8321 7400
  • Bahagian Pendidikan Islam : 03-8321 7200
  • Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional : 03-8884 5154

Soalan Lazim PKSK

1. Apakah yang dimaksudkan dengan Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK)?

PKSK adalah satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat bagi kemasukan murid ke Tingkatan Satu, Tingkatan Empat dan Tahun Satu, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke Sekolah Khusus secara dalam talian yang menggunakan kaedah single entry point.

2. Apakah yang dimaksudkan dengan Sekolah Khusus?

Sekolah Khusus adalah terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

3. Apa yang dimaksudkan dengan single entry point?

Single entry point bermaksud satu sistem permohonan yang menggunakan platform berpusat secara dalam talian bagi kemasukan ke Sekolah Khusus menggunakan padanan Modul Pengurusan Murid (SPATKPM).

4. Siapakah yang layak memohon dan menduduki PKSK?

Individu yang layak memohon dan menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) adalah warganegara Malaysia yang berdaftar dalam sistem pangkalan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

– Murid Tahun 6: Calon yang ingin memohon kemasukan ke Tingkatan 1.
– Murid Tingkatan 3: Calon yang ingin memohon kemasukan ke Tingkatan 4 atau Tahun 1 Kolej Vokasional.

5. Bagaimanakah saya boleh membuat permohonan PKSK?

Pemohon boleh mengakses sistem permohonan PKSK melalui pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my bagi Tingkatan Empat/Tahun Satu Sijil Vokasiaonal Malaysia (SVM) dan klik menu BORANG PERMOHONAN.

6. Bagaimanakah cara untuk mengakses sistem permohonan PKSK?

Pemohon hanya perlu memasukkan nombor Mykid/Mykad sendiri beserta nombor Mykad/No Pengenalan Diri penjaga utama seperti yang telah didaftarkan dalam Modul Pengurusan Murid (SPATKPM) untuk mengakses sistem permohonan.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan Penjaga Utama?

Penjaga utama ialah penjaga yang didaftarkan di dalam Modul Pengurusan Murid (SPATKPM).

8. Sekiranya maklumat peribadi yang dipaparkan di dalam sistem berbeza daripada maklumat asal, apakah tindakan yang perlu pemohon lakukan?

Ibu bapa/penjaga pemohon perlu mengemas kini maklumat murid dalam Modul Pengurusan Awam melalui Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) di pautan https://idme.moe.gov.my/login. Seterusnya, ibu bapa wajib menghubungi guru kelas sekolah asal untuk tujuan semakan dan pengesahan data. Maklumat yang telah disahkan akan diselaraskan (sync) dan dikemas kini ke dalam sistem permohonan PKSK (SPSKT1 / SPSKT4) dalam tempoh sekitar 12 jam.

9. Selain daripada permohonan secara dalam talian, adakah pemohon juga boleh membuat permohonan secara manual?

Tidak. Pemohon hanya boleh memohon secara dalam talian.

10. Adakah murid masih boleh memohon selepas tarikh tutup permohonan dalam talian?

Tidak.

11. Adakah calon dikenakan bayaran untuk menduduki PKSK?

Tidak.

12. Bolehkah calon menukar tarikh, tempat dan masa menduduki PKSK?

Tidak. Calon dimohon untuk mematuhi tarikh, tempat dan masa yang telah ditetapkan untuk menduduki PKSK.

13. Apakah komponen PKSK dan bagaimana dibahagikan?

PKSK terbahagi kepada tiga komponen iaitu:

Bahagian A (20%) : Kecerdasan Insaniah:
– Emotional Quotient (EQ)
– Spiritual Quotient (SQ)
– Soft Skills Quotient (SSQ)

Bahagian B (70%) : Kecerdasan Intelek (Intelligence Quotient (IQ)):
– Pengetahuan Am
– Penyelesaian Masalah

Bahagian C (10%) : Artikulasi Penulisan

14. Apakah persediaan yang perlu dibuat untuk menduduki PKSK?

Semua calon yang telah membuat permohonan perlu:

– Membuat semakan pusat untuk menduduki PKSK di pautan https://spskt1.moe.gov.my bagi Tingkatan Satu dan https://spskt4.moe.gov.my bagi Tingkatan Empat/ Tahun Satu (SVM).
– Mencetak slip menduduki PKSK untuk dibawa bersama-sama ke Pusat PKSK.
– Membawa MyKid/MyKad ke Pusat PKSK
– Membawa set alat tulis (penggunaan kalkulator adalah pilihan)
– Jam pintar tidak dibenarkan
– Memakai pakaian seragam sekolah ketika menduduki PKSK

15. Adakah murid yang memohon secara dalam talian tetapi tidak menduduki PKSK masih berpeluang untuk ditawarkan ke Sekolah Khusus?

Tidak. Hanya pemohon yang menduduki PKSK sahaja akan dipertimbangkan untuk kemasukan ke Sekolah Khusus.

16. Adakah calon hanya ditawarkan satu tempat sahaja di mana mana sekolah khusus?

YA.

17. Adakah murid dari sekolah swasta boleh memohon ke Sekolah Khusus?

Hanya murid warganegara dari sekolah swasta yang berdaftar dan menggunakan Modul Pengurusan Murid (SPATKPM) boleh memohon.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut