Kematian adalah hakikat yang pasti dihadapi oleh setiap makhluk yang bernyawa. Dalam Islam, menguruskan jenazah bukan sekadar satu tanggungjawab sosial, malah ia merupakan satu Fardu Kifayah.
Berikut adalah panduan lengkap menguruskan jenazah menurut Islam, bermula daripada saat kematian sehingga pengebumian yang dirujuk melalui perkongsian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI.
Menguruskan Jenazah Adalah Fardhu Kifayah
Menguruskan jenazah adalah Fardhu Kifayah. Dalam syariat Islam, status hukum ini membawa maksud yang sangat besar terhadap tanggungjawab sosial sesebuah masyarakat atau komuniti Islam.
Apabila berlaku satu kematian di sesebuah kawasan, kewajipan untuk menguruskan jenazah tersebut (memandikan, mengkafani, mensolatkan, dan mengebumikan) jatuh kepada umat Islam di komuniti tersebut.
Jika ada sebahagian kecil ahli kariah, pihak masjid, atau ahli keluarga yang tampil dan menyelesaikan keempat-empat urusan tersebut, maka gugurlah tanggungjawab seluruh ahli komuniti yang lain.
Sebaliknya, jika semua orang di kawasan tersebut tahu tentang kematian itu tetapi masing-masing mengabaikannya atau membiarkan jenazah begitu sahaja tanpa diurus, maka seluruh umat Islam di kawasan itu menanggung dosa besar.

ORANG YANG BERHAK MENGURUSKAN JENAZAH
Orang yang berhak dan lebih afdal untuk menguruskan jenazah ialah keluarga atau warisnya yang terdekat seperti anaknya sendiri kalau si mati bapanya.
Kalau warisnya tidak ada kemampuan atau pengalaman, bolehlah diminta imam atau bilal atau petugas yang dilantik oleh pihak berkuasa di kawasan tersebut untuk menguruskannya.
PERKARA YANG PERLU DIURUSKAN OLEH WARIS
- Waris yang tertua hendaklah berpakat dan berbincang dengan waris yang lain berhubung dengan perkara yang berkaitan selepas berlaku kematian.
- Melaporkan kematian di balai polis. Sekiranya jenazah itu meninggal di hospital cukup dengan surat kebenaran atau pengesahan dari doktor.
- Menyediakan keperluan untuk urusan memandikan dan mengkafankan jenazah.
- Mengurus urusan pengebumian.
- Menentukan petugas/waris yang akan memandikan dan mengkafankan jenazah.
- Menentukan imam untuk sembahyang jenazah.
- Menguruskan kenderaan untuk jenazah.
Tanda-tanda Kematian
Tanda-tanda kematian sebagaimana yang diperhatikan oleh para ulama’ sejak dahulu lagi adalah seperti berikut:
- Layu kedua telinga dan juga hidungnya (sebelum nazak).
- Keluar peluh yang berlainan, yakni besar-besar dan biasanya berwarna kuning (semasa nazak).
- Bengkok jari tangannya serta hujung tangan dan kaki berwarna biru (telah meninggal kira-kira 5 jam ke atas).
- Pucat tapak tangan.
- Sejuk kaki, betis dan pahanya.
Amalan Sunat yang Perlu Dilakukan Kepada Jenazah
1. Hendaklah kita mengucapkan:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali.”
2. Bersegera melunaskan hutang si mati.
3. Menyampaikan berita kematian kepada kaum kerabat, orang yang tinggal berhampiran dan orang-orang soleh supaya ramai yang akan mensolatkan dan mendoakan jenazah tersebut.
4. Menyegerakan urusan memandikan jenazah.
Perkara Perlu Dilakukan Ke Atas Orang Baru Meninggal
- Buang segala najis/kekotoran yang ada pada jenazah.
- Gantikan semua pakaiannya dan tutup keseluruhan tubuhnya dengan sehelai kain.
- Letakkan di tempat yang agak tinggi dan sesuai.
- Tanggalkan semua perhiasan dan anggota badan yang palsu dan lain-lain.
- Betulkan kedudukan jenazah dan luruskan kakinya serta hadapkan ke arah kiblat.
- Pejamkan mata dan rapatkan mulut jenazah dengan membaca doa seperti di bawah:
بِسْمِ اللهِ وَعَلَى مِلَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَMaksudnya: “Dengan nama Allah dan atas agama Rasulullah.”
- Ikat dagunya dengan perca kain dan simpul di ubunnya supaya mulut tidak terbuka.
- Lembutkan sendi-sendi tangan dan kakinya dengan menggerak-gerakkannya supaya tidak kejang dan kaku.
- Meletakkan kedua tangannya di atas dada dalam kedudukan qiam sepertimana qiam dalam sembahyang.
- Letakkan objek yang sederhana beratnya ke atas perut jenazah supaya tidak kembung.
- Diharuskan meletakkan wangian seperti membakar kemenyan, gaharu atau setanggi.
Apa yang Perlu Dilakukan Jika Berlaku Kematian?
Kewajipan mereka yang masih hidup untuk menguruskan jenazah orang Islam ada empat perkara.
4 Kewajipan Menguruskan Jenazah:
- Memandikan
- Mengkafankan
- Menyembahyangkan
- Mengebumikan
1. Memandikan Jenazah
Memandikan jenazah ialah perbuatan membasuh dan meratakan air ke atas seluruh tubuh badan mayat berkenaan pada lahirnya. Sekaligus menghilangkan segala najis dan kekotoran yang tidak dimaafkan oleh syarak yang terdapat pada tubuh badan lahiriah mayat tersebut.
KATEGORI PEMANDI JENAZAH:
| JENAZAH | PEMANDI JENAZAH |
|---|---|
| Lelaki | Lelaki |
| Wanita | Wanita |
| Kanak-kanak | Lelaki / Wanita |
| Suami | Isteri / Petugas |
| Ayah / Ibu | Anak Lelaki / Wanita & Mahram |
| Anak | Ayah / Ibu / Mahram |
| Khunsa Musykil | Lelaki / Wanita |
PERSEDIAAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MEMANDIKAN JENAZAH:
- Tempat Mandi
- Kain Basahan & Kain Gantian
- Alas (tempat meletakkan jenazah)
- Air Mawar & Sabun
- Baldi, Gayung / Salur Getah
- Kapur Barus & Serbuk Cendana
- Air Mutlak
- Kapas
- Sarung Tangan, Penutup Mulut, Apron
- Putik Kapas
Catatan: Sebelum memandikan jenazah, pastikan dahulu kubur telah digali dan peralatan mengkafanan jenazah telah disediakan.
CARA-CARA MEMANDIKAN JENAZAH:
PERSEDIAAN AWAL
- Sediakan air mutlak secukupnya.
- Sediakan air sabun.
- Sediakan air kapur barus atau air campuran serbuk cendana, kapur barus & air mawar.
- Letakkan jenazah di tempat mandi yang disediakan (tempat yang terlindung daripada pandangan orang).
- Tutup jenazah dengan selapis kain.
MEMULAKAN SIRAMAN
- Mulakan siraman air mutlak dari kepala hingga ke hujung kaki dan seluruh anggota jenazah sambil berniat:
نَوَيْتُ الْغُسْلَ لِهَذَا / لِهَذِهِ الْمَيِّتِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya:“Sahaja aku memandikan jenazah lelaki/wanita ini kerana Allah Taala.”
MEMBERSIHKAN ANGGOTA BADAN
- Gosok celah-celah badan termasuk celah mulut, gigi, lidah, lubang hidung, telinga, kuku, jari, lubang pusat dan bahagian kemaluan menggunakan sabun, perca kain dan putik kapas.
- Cuci dan juraikan rambut dan janggut dengan menggunakan air sabun
MEMBASUH QUBUL DAN DUBUR
- Bersihkan kemaluan jenazah dengan mengangkat sedikit bahagian kepalanya sehingga paras dadanya sambil menekan perutnya secara perlahan-lahan bagi mengeluarkan najis. Dalam masa yang sama jiruskan air mutlak. Ketika membersihkan dubur jenazah hendaklah berniat:
“Sahaja aku mengistinjakkan jenazah ini fardhu kerana Allah Taala.”
MEMBASUH BAHAGIAN HADAPAN
- Basuh sambil meratakan air ke bahagian kanan dari kepala hingga hujung kaki.
- Kemudian basuh pula bahagian kiri sebagaimana sebelah kanan tadi.
MEMBASUH BAHAGIAN KANAN BADAN
- Iringkan jenazah ke kiri untuk membasuh sebelah kanan badan jenazah yang meliputi badan dari bahu sehingga ke hujung kaki.
MEMBASUH BAHAGIAN KIRI BADAN
- Iringkan jenazah ke kanan untuk membasuh sebelah kiri badan jenazah yang meliputi belakang badan dari bahu sehingga ke hujung kaki.
MENGAMBIL WUDHU
- Basuh muka jenazah sambil berniat:
نَوَيْتُ الْوُضُوءَ لِهَذَا / لِهَذِهِ الْمَيِّتِ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya:“Sahaja aku mewudhukan jenazah lelaki/wanita ini kerana Allah Taala.”
- Kemudian basuh kedua tangan dimulakan dengan tangan kanan diikuti tangan kiri.
- Basuh kepala.
- Basuh kedua belah kaki, dimulakan dengan kaki kanan diikuti kaki kiri.
MENJIRUS JENAZAH DENGAN AIR KAPUR BARUS
- Jiruskan bahagian hadapan jenazah dari atas kepala hingga ke hujung kaki dengan menggunakan air kapur barus sebanyak 3 kali.
LAP TUBUH JENAZAH
- Lap tubuh jenazah dengan kain yang bersih dan kering.
- Dengan cara menekapkan kain ke tubuh jenazah secara perlahan-lahan.
- Tutup tubuh jenazah kemudian angkat ke tempat untuk dikafankan.
2. Mengkafankan
Mengkafankan jenazah bermaksud membungkus mayat sehingga menutupi seluruh tubuh badan mayat berkenaan sehingga tidak akan kelihatan kulit badannya sekurang-kurangnya dengan satu lapis kain atau sebaik-baiknya 3 lapis kain bagi jenazah lelaki dan 5 lapis kain bagi jenazah perempuan.
PERSEDIAAN YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGKAFANKAN JENAZAH:
- Kain Kafan – wajib (warna putih – sunat)
- Tali Ikat Kafan – wajib (warna putih – sunat)
- Kapas – sunat (2 gulung kapas bagi jenazah biasa)
- Minyak Wangi – sunat (tanpa alkohol)
- Serbuk Kapur Barus – sunat (ditaburkan di setiap lapisan kain kafan)
- Serbuk Cendana – sunat (ditaburkan di setiap lapisan kain kafan)
- Plastik Lutsinar (kegunaan untuk jenazah HIV & berisiko)
- Tikar
Jenazah Lelaki
CARA-CARA MENYEDIAKAN KAIN KAFAN
- Bentangkan tikar.
- Koyakkan tepi kain dalam 1.5 inci untuk dijadikan tali pengikat jenazah dan juga sebagai tali pengukur panjang jenazah.
- Ukur panjang jenazah dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan dilebihkan 2 kaki dan tandakan dengan menyimpulkan tali tersebut. Berdasarkan ukuran ini, potong 2 helai kain kafan.
- Kemudian potong tali kepada 5 utas iaitu:
- 1-diletakkan di hujung kepala.
- 1-diletakkan di bahagian bahu/dada.
- 1-diletakkan di bahagian pinggang/punggung.
- 1-diletakkan di bahagian lutut.
- 1-diletakkan di hujung kaki.
MENYUSUNKAN KAIN KAFAN
- Bentangkan tikar.
- 5 utas tali pengikat.
- Bentangkan 2 lapis kain.
- Letakkan serban di bahagian kepala.
- Akhir sekali baju.
Jenazah Perempuan
CARA-CARA MENYEDIAKAN KAIN KAFAN
- Bentangkan tikar.
- Koyakkan tepi kain dalam 1.5 inci untuk dijadikan tali pengikat jenazah dan juga sebagai tali pengukur panjang jenazah.
- Ukur panjang jenazah dari hujung kepala hingga hujung kaki dengan dilebihkan 2 kaki dan tandakan dengan menyimpulkan tali tersebut. Berdasarkan ukuran ini, potong 2 helai kain kafan.
- Kemudian potong tali kepada 5 utas iaitu:
- 1-diletakkan di hujung kepala.
- 1-diletakkan di bahagian bahu/dada.
- 1-diletakkan di bahagian pinggang/punggung.
- 1-diletakkan di bahagian lutut.
- 1-diletakkan di hujung kaki.
- Hampar dan susunkan 5 utas tali diikuti dengan 2 helai kain kafan di atas tikar yang disediakan.
- Potong kain kira-kira 3 kaki x 3 kaki untuk sediakan tudung. Potong lebar 1 inci dan panjang 5 inci di kiri kanan kain sebagai tali pengikat.
- Letakkan kain tudung di bahagian kepala.
- Potong kain dengan 2 kali ukuran bahu hingga ke bawah punggung, kemudian lipatkan dua dan buatkan lubang pada bahagian tengah lipatan untuk kepala jenazah.
- Bentangkan baju di atas kain tudung tadi.
- Untuk buat kain sarung, potong kain mengikut ukuran dari pusat ke hujung kaki jenazah.
- Bentangkan kain sarung di atas baju iaitu antara pusat hingga kaki jenazah.
MENYUSUNKAN KAIN KAFAN
- Bentangkan tikar.
- 5 utas tali pengikat.
- Bentangkan 2 lapis kain.
- Letakkan kain tudung di bahagian kepala.
- Bentangkan baju.
- Letakkan kain sarung.
CARA-CARA MENGKAFANKAN JENAZAH (Lelaki & Wanita)
- Hamparkan kain kafan yang telah disusun.
- Letakkan kapas sepanjang 3 kaki dari bahu hingga ke punggung jenazah. Taburkan serbuk cendana, kapur barus dan minyak wangi.
- Letakkan jenazah yang telah siap dimandikan di atas kapas.
- Qiamkan jenazah dan letakkan kapas pada seluruh anggota badannya terutama pada bahagian sendi, bahagian berlubang dan anggota sembahyang.
- Pakaikan kain sarung (jenazah wanita) dengan membawa kain di bahagian atas ke tubuh jenazah, manakala kain atas dibawa ke bahagian bawah dengan cara diselitkan bawah badan jenazah.
- Pakaikan baju.
- Pakaikan serban / tudung di bahagian kepala jenazah.
- Cara memakaikan serban hanya dengan melilitkan di kepala dari arah kanan ke kiri.
- Cara pemakaian tudung ianya perlu diikat di bawah dagu kemudian selempangkan ke bahagian dada kanan dan kiri jenazah dan diselitkan di bawah badan jenazah.
- Mulakan mengkafan dengan cara:
- Membungkus jenazah dari sebelah kiri ke kanan.
- Memulakan dari bahagian muka ke bahagian kaki.
- Kemudian ambil kain sebelah kanan bawa ke bahagian kiri dan selitkan di bawah badan jenazah.
- Seterusnya buat seperti yang dinyatakan pada lapisan kain yang seterusnya.
- Ikat jenazah dengan 5 utas tali dengan cara:
- Simpulan yang mudah dibuka.
- Simpulkan ikatan di bahagian kiri jenazah.
- Untuk sementara jangan diikat pada bahagian kepala bagi memberi peluang untuk waris menatap wajah jenazah buat kali terakhir.
- Kemudian boleh lah diikat dan dibawa ke tempat solat jenazah.
3. Menyembahyangkan
Hukum solat jenazah adalah fardu kifayah ke atas umat Islam sepertimana menguruskan kematian juga.
Dalam melaksanakan solat jenazah, yang paling utama ialah dikerjakan secara berjemaah dan harus dijadikan tiga saf (barisan) dan sekurang-kurangnya setiap satu saf dua orang.
Bagi orang perempuan dibolehkan mengikuti berjemaah bersama-sama dengan orang lelaki atau boleh mendirikan solat ke atas jenazah setelah disolatkan oleh orang lelaki.
Solat jenazah dibolehkan dilakukan di dalam masjid, surau atau di tempat lain yang memungkinkan solat berjemaah dengan syarat tempat itu luas dan bersih.
SYARAT SAH SOLAT JENAZAH
- Jenazah yang beragama Islam.
- Jenazah berada pada sesuatu tempat tertentu.
- Jenazah telah siap dimandikan atau ditayamumkan.
- Jenazah berada di hadapan para jemaah yang akan mengerjakan solat ke atasnya.
- Jenazah bukan dari orang yang mati syahid dari peperangan menentang orang kafir.
- Hendaklah bahagian anggota jenazah yang disolatkan itu merupakan bahagian anggota yang terbesar.
RUKUN SOLAT JENAZAH
Solat jenazah berbeza dengan solat-solat yang lain kerana cara mengerjakannya hanya dengan berdiri dan takbir empat kali tanpa rukuk dan sujud, juga tidak perlu azan dan iqamat.
Rukun Solat Jenazah terdiri daripada 7 perkara iaitu:
- Niat.
- Qiyam (berdiri betul) bagi yang berkuasa. Jika uzur, boleh dikerjakan dengan duduk.
- Takbir empat kali, termasuk Takbiratul Ihram.
- Membaca surah al-Fatihah selepas ucapan takbir yang pertama.
- Selawat ke atas nabi Muhammad SAW selepas takbir yang kedua.
- Doa khusus bagi jenazah selepas takbir yang ketiga.
- Salam selepas takbir yang keempat.

CARA MENGERJAKAN SOLAT JENAZAH
LAFAZ NIAT
Lafaz niat solat jenazah lelaki persendirian:
- أُصَلِّي عَلَى هَذَا الْمَيِّتِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الْكِفَايَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Maksudnya: “Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah ini dengan empat takbir fardu kifayah kerana Allah Taala.”
Lafaz niat solat jenazah wanita persendirian:
- أُصَلِّي عَلَى هَذِهِ الْمَيِّتَةِ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ فَرْضَ الْكِفَايَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
- Maksudnya: “Sahaja aku berniat mendirikan solat ke atas jenazah ini dengan empat takbir fardu kifayah kerana Allah Taala.”
TAKBIR
TAKBIR YANG PERTAMA
Membaca lafaz:
اللَّهُ أَكْبَرُ
- Maksudnya: “Allah Maha Besar.”
Kemudian dilanjutkan dengan membaca surah al-Fatihah.
TAKBIR YANG KEDUA
- Membaca lafaz seperti pada takbir pertama kemudian dilanjutkan dengan membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Cara bacaan selawat boleh diambil daripada mana-mana selawat cuma afdhal dibaca seperti tahiyyat akhir. (rujuk gambar)

TAKBIR YANG KETIGA
- Selepas takbir yang ketiga hendaklah membaca doa untuk memohonkan ampun pada si mati: (rujuk gambar)

TAKBIR YANG KEEMPAT
- Selepas mengangkat takbir yang keempat hendaklah membaca doa seperti berikut: (rujuk gambar)

4. Mengebumikan Jenazah
CARA MEMBAWA JENAZAH
- Dengan diusung. Afdal dilakukan oleh lelaki.
- Bawa dengan cara hormat dan mulia.
- Sunat berjalan kaki.
- Sunat didahulukan kepala jenazah.
- Jenazah wanita atau khunsa sunat ditutup atasnya.
- Makruh membawa api kecuali jika gelap.
- Tidak iringi jenazah dengan tangisan, bunyi bising dan bercakap-cakap hal dunia.
- Jenazah kanak-kanak kecil boleh dibawa dengan cara mengendongnya.
Sebelum bergerak meninggalkan perkarangan rumah dalam perjalanan ke tanah perkuburan, disunatkan membaca 3 kali surah al-Fatihah, iaitu selepas melangkah selangkah diikuti dengan membaca surah al-Fatihah dan begitulah sehingga tiga langkah.
PENYEDIAAN KUBUR
- Sekurang-kurangnya kubur itu dapat menghindar bau jenazah dan terhindar daripada diselongkar binatang.
- Liang lahad (satu lubang berbentuk parit kecil yang digali di sebelah kiblat dalam kubur yang dapat memuatkan jenazah itu).
- Jika tanah kubur keras (tanah liat) : Afdal.
- Jika tanah itu berair : Ditanam bersama keranda.
- Menjaga kehormatan jenazah. Jika terjumpa tulang jenazah lama hendaklah ditanam semula.
CARA MENURUNKAN JENAZAH
- Sunat meletakkan kepala usungan di kaki kubur.
- Mendahulukan kepala jenazah.
- Sunat membaca doa ketika meletakkan jenazah.
- Wajib menghalakan muka jenazah ke arah kiblat.
- Sunat meletakkan jenazah dalam keadaan lambung kanannya di bawah (dalam keadaan mengiring).
- Hendaklah dibuka ikatan-ikatan kain kafan dan diselakkan dari pipi kanannya serta ditemukan pipinya itu dengan tanah supaya si mati dalam keadaan merendah diri.
- Wajib menutup liang lahad dengan papan.
- Sunat ditinggikan tanah kadar sejengkal setelah ditimbus jenazah.
- Sunat diletakkan tanda dengan sesuatu benda di bahagian kepala dan kaki kubur.
AMALAN SUNAT SETELAH JENAZAH DIKEBUMIKAN
- Dijiruskan air sejuk yang bersih suci ke atas kubur.
- Duduk sebentar di sisi kubur walau sesaat dan berdoa untuk si mati.
- Dibacakan talkin.
Talkin
Sunat membaca talkin jika mayat itu berakal dan baligh, walaupun gila selepas baligh. Amalan talkin adalah amalan yang bersandarkan kepada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Daripada Usman, katanya: “Apabila sudah selesai mengebumikan jenazah, Nabi Muhammad berdiri, berhenti di atasnya lalu berkata, mintalah keampunan untuk saudaramu dan mintalah baginya tetap jawapan kerana sesungguhnya dia sekarang sedang disoal.”
(Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
Daripada Dumrah bin Habib bin Sohib melaporkan:
“Mereka menyukai apabila diratakan kubur dan manusia berpaling daripadanya bagi disebut di atas kuburnya, Hai fulan! Katakanlah lailahaillallah sebanyak 3 kali; Hai fulan! Katakanlah Allah Tuhanku, Islam agamaku dan Nabi Muhammad SAW Nabiku.”(Riwayat oleh Said bin Mansur)
Talkin dibacakan sebaik sahaja tanah sudah diratakan. Pembaca talkin duduk membelakangkan kiblat iaitu berhadapan dengan muka si mati yang menghadap kiblat.
Talkin boleh dibaca dalam bahasa Arab ataupun bahasa yang difahami masyarakat setempat. Lebih baik sekiranya dibaca dalam bahasa Arab sehingga akhirnya (tidak termasuk doa akhir talkin), seterusnya baca terjemahannya dalam bahasa yang difahami penduduk.
BACAAN TALKIN UNTUK JENAZAH LELAKI DAN PEREMPUAN








URUSAN SELEPAS KEMATIAN
- MEMBAYAR HUTANG: Sekiranya ahli waris tidak mampu hendak membayar hutang, maka mereka hendaklah meminta si pemiutang untuk menghalalkannya.
- MENUNAIKAN WASIAT: Hendaklah menunaikan wasiat si mati tanpa mengubah atau memindanya walau sedikit. Ia perlu dilaksanakan selagi wasiat itu tidak bercanggah dengan syariat dan jika tidak ditunaikan maka ahli waris yang terdekat adalah berdosa.
- MEMBAYAR FIDYAH: Menggantikan solat dan puasa si mati yang tidak ditunaikan pada waktunya dan tidak sempat mengqada’nya.
Terdapat banyak khurafat yang menjadi kepercayaan dan amalan masyarakat kita yang dikaitkan dengan kematian. Mudah-mudahan kita tidak terikut-ikut dengan kepercayaan-kepercayaan karut itu. Di antara contoh-contoh khurafat ialah:
- Badi jenazah.
- Orang yang mati kembali semula bertemu orang yang hidup secara sedar.
- Jamuan kenduri untuk roh.
- Diletakkan kitab al-Quran di atas perut jenazah.
- Meletakkan jamuan di perkuburan.
Muat Turun Panduan Pengurusan Jenazah Jawi
Sila imbas untuk muat turun buku digital di poster atau klik pautan : https://online.anyflip.com/fwwgm/ehks/mobile/index.html

Soalan Lazim Panduan Menguruskan Jenazah
Hukumnya adalah Fardu Kifayah. Ini bermakna jika sebahagian penduduk atau kariah telah melaksanakannya, maka gugurlah dosa ahli komuniti yang lain. Namun, jika tiada seorang pun yang menguruskannya, seluruh penduduk di kawasan tersebut akan menanggung dosa.
Keluarga atau waris terdekat si mati (contohnya anak kandung bagi jenazah bapanya). Sekiranya waris tiada kemampuan atau pengalaman, urusan boleh diserahkan kepada imam, bilal, atau petugas kariah yang dilantik.
Boleh. Mengikut ketetapan syarak, jenazah lelaki mesti dimandikan oleh lelaki dan jenazah wanita oleh wanita. Walau bagaimanapun, pasangan suami isteri atau mahram terdekat diberikan pengecualian hukum untuk menguruskan jasad pasangan masing-masing.
Sebaik-baiknya adalah 3 lapis kain bagi jenazah lelaki dan 5 lapis kain bagi jenazah perempuan (merangkumi kain sarung, baju, tudung, dan dua lembar kain luar).




