NCD kereta merupakan salah satu elemen paling penting dalam insurans kenderaan yang sering diabaikan oleh pemilik kereta di Malaysi dan ramai yang tidak sedar bahawa diskaun tanpa tuntutan ini boleh dipindahkan ke kereta baharu sekiranya anda memahami prosedur yang betul.
Apabila anda menukar kereta lama dengan kereta baharu, kadar diskaun anda tidak semestinya kembali kepada sifar seperti yang disangka oleh kebanyakan orang.
Sebenarnya, anda boleh mengekalkan kadar maksimum 55% jika anda mengikuti langkah-langkah yang betul dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh syarikat insurans.
Memahami Konsep Asas NCD dan Kepentingannya

Diskaun Tanpa Tuntutan atau lebih dikenali sebagai NCD (No Claim Discount) adalah satu sistem ganjaran yang diberikan oleh syarikat insurans kepada pemandu yang tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh perlindungan.
Sistem ini bermula dengan kadar 0% pada tahun pertama dan meningkat secara berperingkat sehingga mencapai kadar maksimum 55% selepas lima tahun tanpa tuntutan.
Kepentingan utama diskaun ini adalah untuk mengurangkan kos premium insurans tahunan anda secara signifikan.
Sebagai contoh, jika premium asas insurans kereta anda adalah RM2,000 setahun, dengan kadar diskaun 55%, anda hanya perlu membayar RM900 sahaja.
Penjimatan sebanyak RM1,100 ini sudah tentu sangat bermakna terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada hari ini.
Hakikatnya, diskaun ini melekat pada pemilik kenderaan dan bukan pada kenderaan itu sendiri, yang bermaksud ia boleh dipindahkan kepada kereta baharu selagi pemiliknya adalah orang yang sama.
Mitos paling besar dalam kalangan pemilik kereta adalah apabila anda upgrade ke kereta baru, diskaun anda akan kembali ke 0 peratus dan ini boleh menyebabkan premium insurans jadi jauh lebih mahal.
Ramai menyangka apabila kereta lama dijual, NCD kereta akan hilang atau kembali kepada kosong dan tidak boleh dituntut lagi.
| Tahun | Kadar NCD |
| Tahun Pertama | 0% |
| Selepas 1 tahun tanpa claim | 25% |
| Selepas 2 tahun tanpa claim | 30% |
| Selepas 3 tahun tanpa claim | 38.33% |
| Selepas 4 tahun tanpa claim | 45% |
| Selepas 5 tahun tanpa claim dan seterusnya | 55% |
Syarat-Syarat untuk Memindahkan NCD Kereta

Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk memindahkan NCD kenderaan anda.
- Pemilik bagi kereta baru dan kereta lama mestilah orang yang sama – Anda tidak boleh memindahkan NCD kereta daripada kereta anda ke kereta keluarga atau rakan.
- Kedua-dua kenderaan mestilah dalam jenis dan kategori yang sama – Anda tidak boleh memindahkan NCD kereta daripada kenderaan persendirian ke kenderaan syarikat atau komersial, dan sebaliknya. Pemindahan NCD kereta daripada kereta ke motosikal juga tidak dibenarkan kerana kadar NCD untuk motosikal dihadkan pada 25% manakala kadar NCD kereta boleh meningkat setiap tahun sehingga maksimum 55%.
Syarat lain yang penting ialah NCD kenderaan hanya boleh dipindahkan kepada kenderaan yang didaftarkan di bawah pemegang polisi yang sama. ia bukan sesuatu yang boleh diberikan kepada orang lain.
Syarat pemindahan juga boleh bergantung pada kelas kenderaan dan keperluan syarikat insurans. Jadi, semak dengan syarikat insurans sebelum membeli polisi baharu.
Proses Memindahkan NCD Kereta

Proses memindahkan NCD kereta adalah mudah jika anda tahu langkahnya.
- Langkah pertama ialah semak berapa NCD yang anda ada dan pastikan maklumat NCD kereta anda betul sebelum meneruskan pembelian insurans.
- Langkah kedua ialah maklumkan kepada syarikat insurans bahawa anda mahu withdraw atau keluarkan NCD kereta daripada polisi lama.
Jika anda masih memiliki dan menginsuranskan kereta lama, NCD pada polisi tersebut akan dikeluarkan dan polisi lama boleh memerlukan bayaran premium tambahan untuk baki tempoh perlindungan.
Jika kenderaan lama sudah dijual, polisi tersebut boleh dibatalkan dan syarikat insurans boleh memproses pengeluaran NCD kereta. Selepas proses ini selesai, syarikat insurans akan memberikan pengesahan atau surat pengeluaran NCD.
- Langkah ketiga ialah gunakan NCD kereta pada kereta baharu. Selepas NCD dikeluarkan daripada kenderaan lama, anda boleh minta NCD tersebut digunakan pada polisi kereta baharu.
- Langkah terakhir ialah semak NCD dalam polisi baharu. Sebelum membuat bayaran, semak sebut harga atau polisi baharu.
Pastikan peratus NCD yang digunakan adalah sama seperti yang anda jangkakan. Contohnya, jika anda mempunyai NCD 55%, pastikan sebut harga menunjukkan NCD 55% selepas proses pemindahan selesai.
Baca lagi: Insurans Kereta: Fahami Maksud 1st Party, 3rd Party dan Komprehensif
Kesilapan Biasa yang Perlu Dielakkan

Ramai pemilik kereta membuat andaian bahawa diskaun NCD akan berpindah secara automatik apabila mereka membeli kereta baharu.
Tanggapan ini sama sekali tidak benar kerana anda perlu memohon pemindahan secara aktif daripada syarikat insurans.
Satu lagi kesilapan biasa adalah tidak menyemak kadar diskaun yang betul dalam sebut harga insurans kereta baharu. Pastikan kadar yang tertera dalam polisi baharu sama dengan kadar yang anda miliki sebelum ini.
Ada juga yang terlupa untuk mendapatkan surat pelepasan daripada syarikat insurans lama yang boleh menyukarkan proses pemindahan kemudian.
Selain itu, sesetengah pemilik kereta tidak menyedari bahawa mereka hanya boleh menggunakan satu diskaun maksimum untuk satu kereta pada satu masa.
Jika anda memiliki dua kereta, anda perlu memilih kereta mana yang ingin menggunakan kadar diskaun tertinggi anda. Strategi terbaik adalah dengan menggunakan diskaun pada kereta yang mempunyai premium tertinggi untuk memaksimumkan penjimatan.




