IC Hilang Apa Nak Buat? Ini Kadar Denda & Prosedur Permohonan MyKad Online

ic hilang online
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

IC hilang apa nak buat? Ini yang anda perlu tahu sama ada anda pernah hilang kad pengenalan kali pertama, kedua, ketiga atau seterusnya.

IC, MyKad atau kad pengenalan adalah salah satu dokumen peribadi yang perlu kita bawa ke mana-mana.

Disebabkan boleh dibawa ke mana-mana, maka lagi senanglah IC hilang!

MyKad yang disalahguna oleh orang yang tak bertanggungjawab boleh membahayakan kita.

Macam mana pun anda hilang IC tersebut, tindakan perlu dilakukan secepatnya untuk mendapatkan kad pengenalan baru.

Permohonan Gantian MyKad Secara Online

Jika anda pertama kali kehilangan MyKad, anda boleh memohon kad pengenalan gantian secara online tau!

Melalui penambahbaikan perkhidmatan sistem atas talian, Jabatan Pendaftaran Negara menawarkan perkhidmatan tersebut melalui pautan https://gantianmykad.jpn.gov.my/

Hanya 4 jenis permohonan penggantian yang dibenarkan bagi sistem ini iaitu :
1) Gantian Kerosakan Fizikal Kad
2) Gantian Kerosakan Cip
3) Gantian Biasa
4) Gantian Hilang Kali Pertama (Kecuaian)

Cara Permohonan Gantian IC Hilang Online

Untuk memohon kad pengenalan baru secara online, sila rujuk langkah di bawah:

  1. Semua pengguna yang baru pertama kali menggunakan sistem MyKadGanti mesti mendaftar terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk log masuk kepada sistem.
  2. Bagi pendaftaran baru atau sedia ada, pada laman utama sila klik pautan “Daftar akaun sekarang” seperti yang dipaparkan (Maklumat pendaftaran akan ditunjukkan pada halaman yang seterusnya).
  3. Pengguna baru perlu mengisi dengan lengkap dan tepat semua maklumat yang diperlukan bagi proses pendaftaran.
  4. Pengguna baru akan menerima makluman pendaftaran yang akan dihantar ke emel yang didaftarkan.
  5. Pemohon perlu klik pada pautan yang diberi sebagai pengesahan pendaftaran.
  6. Setelah klik pada pengesahan pendaftaran yang diemelkan, pemohon akan dipaparkan ke halaman utama web, di sini pemohon perlu mencipta kata laluan, mengesahkan kata laluan dan teks pengesahan (CAPTCHA) bagi proses pengaktifan akaun pengguna.
  7. Pemohon akan dipaparkan ke notifikasi pengaktifan kata laluan berjaya, di sini pemohon klik seterusnya untuk log masuk kali pertama.
  8. Sebagai pengguna baru sistem, pengguna perlu memasukkan No MyKad atau emel dan kata laluan yang telah didaftarkan.
  9. Setelah pengguna berjaya log masuk,di halaman utama, pengguna akan dipaparkan rekod permohonan MyKad yang pernah dipohon secara atas talian.
  10. Bagi tujuan permohonan gantian. Sila klik pada Permohonan di menu utama atau pada pautan “Mohon di sini”.
  11. Pengguna akan dipaparkan laman Akuan Penafian. Klik pada butang “Setuju” untuk meneruskan permohonan.
  12. Bagi tujuan permohonan penggantian, pengguna perlu memasukkan semua butiran maklumat permohonan yang diperlukan.
  13. Sekiranya permohonan gantian memerlukan perbayaran, pemohon/pengguna akan di redirect kan ke Payment Gateway.
  14. Pengguna boleh samada untuk klik pada Menu “Rekod Transaksi “ atau klik pautan klik sini untuk melihat status kemaskini permohonan.
  15. Sila cetak resit pembayaran dan bawa bersama untuk mengambil kad pengenalan baru anda di kaunter.

Rujuk manual penuh di SINI: https://mykadganti.jpn.gov.my/mykadganti/public/manual/manual_myganti_2018.pdf

Waktu operasi Sistem Gantian MyKad atas talian JPN adalah seperti berikut :

  • Isnin hingga Jumaat : 8.00 pagi hingga 4.30 petang
  • Sabtu dan Ahad : Sistem ditutup
  • Cuti Umum : Sistem ditutup

Tempoh masa kutipan MyKad bagi transaksi permohonan dalam talian yang berjaya adalah berbeza bergantung kepada pilihan pusat kutipan seperti berikut :

  • Selepas tempoh 30 minit di Ibu Pejabat JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ibu Pejabat Negeri dan semua Cawangan UTC.
  • Selepas tempoh 5 hari waktu bekerja di JPN cawangan Semenanjung Malaysia
  • Selepas tempoh 7 hari waktu bekerja di JPN cawangan Sabah dan Sarawak

Baca juga: Kenyalang Gold Card (KGC): Permohonan & Manfaat Untuk Warga Emas

Perlukah Buat Laporan Polis Jika MyKad Hilang?

Anda disarankan agar bersegera ke balai polis untuk membuat laporan MyKad hilang.

Salinan laporan polis itu boleh digunakan sementara anda belum membuat kad pengenalan baru dan perlu dikemukakan kepada JPN semasa permohonan kad pengenalan baru.

Sediakan Dokumen Untuk Memohon Kad Pengenalan

Bagi kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian atau kecurian, laporan polis dengan butiran penting kehilangan kad pengenalan sudah mencukupi.

Dokumen lain juga perlu disediakan bergantung kepada golongan pemohon atau kehilangan akibat bencana alam seperti kad kebajikan untuk golongan orang kurang upaya atau miskin daif, atau surat pengesahan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat atau Pejabat Daerah bagi kehilangan kad pengenalan akibat bencana alam.

Kadar Denda IC Hilang / Caj Membuat Kad Pengenalan Baru

Caj yang dikenakan bagi mengganti kad pengenalan bergantung kepada berapa kali permohonan telah dibuat.

Buat kad pengenalan bagi kali pertama akan dikenakan bayaran RM 110.00, RM 310.00 untuk kali kedua dan RM 1010.00 bagi ketiga.

JPN mengambil berat akan isu ini dan menggalakkan orang ramai untuk menjaga dokumen tersebut sebaik mungkin.

Waktu Operasi dan Temujanji untuk ke JPN

Anda boleh semak pejabat JPN yang beroperasi di pautan https://www.jpn.gov.my/.

Permohonan Gantian MyKAD Melalui Telefon

Anda boleh memohon gantian MyKad melalui perkhidmatan talian telefon dengan menghubungi 03-8880 8066.

Permohonan ini adalah khas untuk Gantian MyKad Biasa atau Cip / Kad Rosak.

Bayaran permohonan RM10 akan dikenakan semasa pengambilan kad.

Permohonan dan pengambilan MyKad hanya boleh dilakukan oleh Pemilik MyKad sendiri sahaja.

Pemohon di bawah 18 tahun perlu ditemani ibu / bapa atau penjaga yang sah semasa membuat kutipan.

MyKad sedia dikutip di semua Pejabat Percetakan Teragih dalam masa 30 minit selepas selesai permohonan.

Sebarang perubahan maklumat bagi alamat, agama, pindaan nama dan gambar tidak dibenarkan.

Caj hilang akan dikenakan jika pemohon tidak kemukakan MyKad lama semasa pengambilan MyKad di kaunter.

Maklumat Lanjut

Dengan panduan yang diberikan, semoga sedikit sebanyak dapat membantu urusan penggantian kad pengenalan yang hilang. Jangan melambatkan prosedur penggantian kad pengenalan dan ikutilah langkah di atas.

Buat laporan polis, atur temujanji dan sediakan dokumen yang diperlukan supaya urusan lebih lancar di JPN nanti.

Sila hubungi Jabatan Pendaftaran Negara untuk maklumat lanjut di talian berikut:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut