Matriks Pembelajaran Malaysia Tahun 4 dan Tingkatan 3

Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Pelaksanaan sistem penilaian pendidikan negara kini memasuki fasa baharu dengan pengenalan Matriks Pengukuran Pembelajaran Malaysia! Mulai tahun 2026, ada peperiksaan ‘besar’ untuk murid Tahun 4, manakala peperiksaan besar ini akan bermula pada tahun 2027 untuk murid Tingkatan 3.

Pendekatan ini memberi penekanan kepada pengukuran tahap penguasaan pembelajaran murid secara lebih tersusun, berperingkat dan berfokus, selaras dengan usaha memperkukuh kualiti pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Siapa yang akan sediakan soalan?
Apakah format penilaian?
Bagaimana peperiksaan ini akan dijalankan?
Bila peperiksaan ini akan berlangsung?
Bagaimana cara penilaian keputusan / gred?
Jom kami kongsikan lebih lanjut tentang Matriks Pembelajaran Malaysia ini.

Pengenalan Matriks Pembelajaran Malaysia

Matriks Pengukuran Pembelajaran Malaysia merupakan pendekatan baharu penilaian pembelajaran yang diperkenalkan oleh kerajaan bagi memperkukuh sistem pendidikan negara di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pendekatan ini menumpukan kepada pengukuran tahap penguasaan pembelajaran murid secara lebih menyeluruh, berfokus dan sistematik, selari dengan hasrat untuk melahirkan murid yang benar-benar menguasai asas ilmu sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.

Rancangan Pendidikan Malaysia matriks pembelajaran malaysia
Kredit: FB Kementerian Pendidikan Malaysia

Perdana Menteri memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan pendekatan baharu penilaian pembelajaran melalui Matriks Pengukuran Pembelajaran Malaysia.

Pelaksanaan ini dimulakan dengan Pengukuran Pembelajaran Tahun Empat pada tahun 2026 dan diikuti Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga pada tahun 2027.

Menurut beliau, pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan intervensi dibuat secara lebih tersasar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan keberkesanan sistem pendidikan negara.

peperiksaan tahun 4 & ttingkatan 3 matriks pembelajaran malaysia
Kredit: FB Anwar Ibrahim

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 (Mulai 2026)

Pengukuran Pembelajaran Tahun 4 akan dilaksanakan bermula tahun 2026 dan melibatkan murid sekolah rendah. Pengukuran ini merangkumi empat mata pelajaran teras, iaitu:

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains

Pelaksanaan pengukuran ini bertujuan menilai tahap penguasaan asas murid pada peringkat awal, supaya kelemahan dapat dikesan lebih awal dan langkah penambahbaikan dapat dilakukan sebelum murid melangkah ke Darjah Lima dan Darjah Enam.

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tingkatan 3 (Mulai 2027)

Bagi peringkat sekolah menengah pula, Pengukuran Pembelajaran Tingkatan 3 akan diperkenalkan mulai tahun 2027. Pengukuran ini melibatkan lima mata pelajaran utama, iaitu:

  • Bahasa Melayu
  • Bahasa Inggeris
  • Matematik
  • Sains
  • Sejarah

Pengukuran ini bertujuan menilai tahap penguasaan murid sebelum mereka melangkah ke peringkat menengah atas, sekali gus membantu menyediakan asas akademik yang lebih kukuh.

matriks pembelajaran malaysia
Kredit: FB Fadlina Sidek

Ditadbir Secara Berpusat oleh Lembaga Peperiksaan

Kedua-dua Pengukuran Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan.

Pendekatan pentadbiran berpusat ini bertujuan memastikan keseragaman, ketelusan serta kebolehpercayaan dalam sistem penilaian pendidikan negara.

Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh sistem penilaian yang lebih menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada peperiksaan semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penguasaan sebenar pembelajaran murid.

Fokus Kepada Intervensi Awal dan Kualiti Pendidikan

Kerajaan turut menjelaskan bahawa pendekatan Matriks Pengukuran Pembelajaran Malaysia ini membolehkan Kementerian Pendidikan mengenal pasti tahap penguasaan murid lebih awal.

Dengan itu, intervensi dapat dibuat secara lebih berfokus dan tersasar untuk membantu murid yang memerlukan sokongan tambahan.

Kerajaan juga memahami kegelisahan sesetengah pihak terhadap pelaksanaan pendekatan baharu ini, namun menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan merupakan sebuah kementerian yang cekap dan sentiasa memikirkan masa depan pendidikan negara.

Penilaian awal ini memberi ruang kepada murid untuk memperbaiki kelemahan dalam tempoh dua tahun sebelum melangkah ke Tingkatan Satu, sekali gus memastikan mereka lebih bersedia dari segi akademik dan emosi.

Soalan Lazim (FAQ) Matriks Pembelajaran Malaysia Tahun 4 dan Tingkatan 3

Berikut dikongsikan penerangan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tentang Matriks Pembelajaran Malaysia serta soalan lazim berkaitan pelaksanaannya:

Mengapa Matriks Pembelajaran Malaysia (MPM) dilaksanakan untuk murid Tahun 4?
Ini antara persoalan masyarakat selepas YAB Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan MPM untuk murid Tahun 4 dan Tingkatan 3.

Baik, saya terangkan begini.

Matriks Pembelajaran Tahun 4 ialah pentaksiran bertujuan menilai pencapaian murid dari segi literasi, numerasi dan kemahiran asas saintifik. Manakala Matriks Pembelajaran Tingkatan 3 pula menilai pencapaian murid dari kemahiran bahasa, pengetahuan, aplikasi, penaakulan dan kemahiran proses saintifik.

Pelaksanaan Matriks Pembelajaran Tahun 4 membolehkan pencapaian murid dinilai bagi merangka program intervensi literasi dan numerasi. Ia mendukung Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan kurikulum baharu persekolahan.

Ini bermakna ruang untuk intervensi boleh dilaksanakan semasa murid berada di Tahun 5 dan 6 serta membantu persediaan murid sebelum memasuki sekolah menengah, dan bagi menghadapi pentaksiran peringkat antarabangsa seperti SEA-PLM, TIMSS dan PISA.

Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 dilaksanakan secara berpusat namun bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi. Justeru, pelaksanaannya tidak memberi tekanan, sebaliknya membuka peluang untuk mengenal pasti ruang tambah baik bagi meningkatkan pencapaian murid.

Sumber: Facebook rasmi Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek

matriks pembelajaran malaysia tingkatan 3 dan tahun 4
1. Apakah itu Matriks Pengukuran Pembelajaran Malaysia?

Ia merupakan satu penilaian kebangsaan untuk melihat tahap sebenar penguasaan murid dalam kemahiran teras pembelajaran.
Ia bertujuan membantu sekolah dan guru memahami keperluan murid dengan lebih tepat supaya sokongan boleh diberikan lebih awal dan bersasar.

2. Bila Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 mula dilaksanakan?

Matriks Pembelajaran Tahun 4 akan dilaksanakan mulai tahun 2026.
Bagi Tingkatan 3 pula, ia akan dilaksanakan mulai tahun 2027.

3. Mengapa Matriks Pengukuran Pembelajaran Tahun 4 dilaksanakan?

– Menilai pencapaian murid bagi merangka program intervensi literasi dan numerasi.
– Mendukung RPM 2026-2035 dan kurikulum baharu persekolahan.
– Membolehkan intervensi dilaksanakan semasa Tahun 5 dan Tahun 6.
– Persediaan murid sebelum memasuki sekolah menengah.
– Persediaan murid menghadapi peperiksaan peringkat antarabangsa seperti SEA-PLM, TIMSS dan PISA.

4. Mengapa Matriks Pengukuran Pembelajaran Tahun 4 dilaksanakan?

– Menilai pencapaian murid dalam aspek kemahiran bahasa, pengetahuan, aplikasi, penaakulan dan kemahiran proses saintifik.
– Merupakan elemen yang diambil kira dalam penentuan pakej mata pelajaran ke Tingkatan 4.
– Pemilihan aliran yang bersesuaian sama ada akademik atau kemahiran.

5. Apakah mata pelajaran yang terlibat dalam Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Tahun 4 – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik
Tingkatan 3 – Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik dan Sejarah

Nota: Bahasa Cina dan Bahasa Tamil bagi murid di Sekolah Jenis Kebangsaan

6. Siapa yang menyediakan instrumen pentaksiran dan panduan penskoran Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Instrumen pentaksiran dan panduan penskoran disediakan dan dicetak oleh Lembaga Peperiksaan (LP).Matriks Pembelajaran Tahun 4

7. Adakah guru perlu menyediakan instrumen Ujian Akhir Sesi Akademik bagi mata pelajaran dalam Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Tidak. Mata pelajaran yang terlibat tidak ditadbir dalam Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA).

8. Bilakah Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 akan diadakan dalam tempoh sesi persekolahan?

Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 akan dilaksanakan sebelum berakhirnya sesi persekolahan tahun semasa.Matriks Pembelajaran Tahun 4

9. Apakah bentuk instrumen (format peperiksaan) Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Instrumen pentaksiran mengandungi item berbentuk objektif dan subjektif dalam satu kertas.

10. Apakah status instrumen Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Instrumen pentaksiran berstatus terbuka dan akan diserahkan kepada murid bagi tujuan intervensi selepas tamat penskoran.
Matriks Pembelajaran Tahun 4

11. Apakah kaedah penggredan yang digunakan untuk Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Penggredan dilaksanakan menggunakan penetapan standard dengan gred ditentukan berdasarkan julat markah yang sama setiap tahun.

12. Bagaimana keputusan dapat disemak dan diterima?

Slip pelaporan pencapaian murid dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan (LP) dan dicetak oleh sekolah.

13. Bagaimanakah kaedah pelaksanaannya di sekolah?

Pelaksanaan pentaksiran dikendalikan oleh Ketua Pengawas Pentaksiran dari sekolah lain dan Pengawas Pentaksiran dari sekolah asal.

14. Bagaimanakah pengurusan penskoran dilaksanakan?

Pengurusan penskoran dilaksanakan secara berperingkat melibatkan Ketua Pentaksir Kebangsaan (KPK), Ketua Pentkasir Negeri (KPN), Ketua Pentaksir Kawasan (KPKw) dan Pentaksir Mata Pelajaran (PMP).

15. Adakah pencapaian murid dalam Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 digunakan untuk kemasukan ke Sekolah Khusus?

Tidak. Kemasukan murid ke Sekolah Khusus akan terus menggunakan kaedah sedia ada melalui Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK).

16. Bagaimanakah penyediaan instrumen Matriks Pembelajaran bagi Calon Berkeperluan Pendidikan Khas yang berada dalam arus perdana?

LP menyediakan instrumen pentaksiran bagi calon tersebut.

17. Pihak manakah yang menyediakan Jadual Waktu Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3?

Jadual Waktu Matriks Pembelajaran Tahun 4 dan Tingkatan 3 akan disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan (LP).

Maklumat Lanjut Matriks Pembelajaran Malaysia

Untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan sistem pendidkan negara, anda boleh rujuk pada portal rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia, atau laman sosial berikut:

Muat turun juga Ringkasan Eksekutif Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut