Mandi Bunga : Khasiat Tradisional, Pantang Larang, Hukum Dalam Islam

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Mandi bunga merupakan salah satu rawatan tradisional yang popular.

Walaupun ia kini sudah diperluaskan sebagai rawatan alternatif di spa dan pusat kecantikan, ritual ini masih menjadi pilihan utama khususnya bagi masyarakat Melayu.

Ia sering dianggap mampu menaikkan seri wajah dan popular dalam kalangan wanita muda dan yang bakal berkahwin.

Disebabkan amalan ini telah diwarisi sejak turun temurun, ia turut berkait dengan adat mistik dan kebudayaan silam.

Mungkin sesetengah orang juga tak tahu yang amalan mandi bunga tidak hanya terhad pada orang Melayu, malah orang India dan Cina turut mempercayai keperluan dan kepentingan ritual ini.

Namun, mereka mempunyai tujuan yang berbeza.

mandi bunga
Sumber : Utusan

Manfaat dan Khasiat Tradisional Mandi Bunga

Bagi orang Melayu, antara khasiat mandi bunga yang sering diperkatakan adalah ia mampu membantu seseorang menaikkan aura dan kecantikan wajah.

Di samping itu, ada juga yang mandi bunga untuk mempercepatkan jodoh.

Dalam ritual ini, tujuh jenis bunga sering digunakan dalam mandian. Setiap satunya dipercayai mempunyai semangat tersendiri yang kononnya dapat membantu ‘pesakit’ mencapai tujuan yang diingini.

Tujuh bunga yang dimaksudkan adalah bunga sundal malam, jasmin, kenanga, melur dan mawar. Ia juga dicampurkan dengan sintok dan limau purut sebagai bahan ketujuh.

mandi bunga
Sumber : pantangplus.com

Sementara itu, kaum India dan Cina pula mengamalkannya bagi mengekalkan kesihatan serta nasib yang baik.

Dari sudut saintifik, bau harum serta warna bunga boleh menjadi terapi dalam mandian. Ia dilihat mampu memberi kesan positif khususnya dari sudut kesihatan jiwa dan emosi melalui rangsangan saraf pada hidung yang mampu membaiki mood serta sensori.

Apabila seseorang berasa bahagia dan tenang, hormon endofin akan dirembeskan. Ini seterusnya boleh mengurangkan stres dan meningkatkan aura positif bagi seseorang.

Limau nipis yang turut dicampurkan dalam air mandian pula mampu membekalkan kelembapan pada kulit kerana mengandungi vitamin C dan D.

Walaupun zaman kini semakin moden, namun masih ramai yang percaya kepada amalan ini.

Ada juga yang sanggup merantau dan mencari pengamal perubatan tradisional di kawasan kampung demi mencapai tujuan masing-masing.

Mandi Bunga Untuk Pengantin

Amalan mandi bunga juga cukup popular dalam kalangan wanita yang bakal berkahwin kerana ia dikatakan mampu menaikkan seri pengantin.

Sesetengah tempat juga memanggil ritual ini sebagai mandi sintok kerana sintok atau pokok beluru yang digunakan adalah bagi ‘memohon izin’ kepada makhluk halus agar majlis perkahwinan (bagi bakal pengantin) akan berjalan dengan lancar.

Sesetengah tempat juga memanggilnya sebagai mandi sintok kerana sintok atau pokok beluru yang digunakan adalah bagi ‘memohon izin’ kepada makhluk halus agar majlis perkahwinan (bagi bakal pengantin) akan berjalan dengan lancar.

mandi bunga
Sumber : The Star

Pantang Larang

Seperti kebanyakan amalan tradisional, mandi bunga turut mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Ia biasanya bersifat subjektif dan tertakluk kepada pengamal perubatan tradisional itu sendiri.

Antara pantang larangnya adalah ‘pesakit’ tidak boleh membersihkan sendiri air mandian yang telah digunakan.

Di samping itu, terdapat juga pengamal yang hanya melakukan upacara mandi ini pada bulan Safar sahaja kerana percaya bulan itu sahaja yang tiada unsur malang.

Hukum Mandi Bunga Dalam Islam

Walau bagaimanapun, tujuan mandi bunga bagi umat Islam perlulah diperbetulkan.

Memetik perkongsian daripada portal Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya ia mempunyai unsur syirik, khurafat dan sebagai ikhtiar mendapat jodoh, maka ia adalah haram.

Sebaliknya, ia dibolehkan bagi tujuan kesihatan, kesegaran badan dan terapi memulihkan semangat semata-mata.

Ini adalah kerana sebagai umat Islam, kita hanyalah boleh meminta kepada Allah SWT. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Ghafir ayat 60,


وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Sekarang anda sudah tahu amalan ini sebenarnya mempunyai maksudnya tersendiri. Walaupun kini anda masih boleh mengamalkannya, namun pastikan ia bebas daripada tujuan dan upacara yang melanggar akidah sebagai umat Islam.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan, Berita Harian (1), (2)

Baca Juga : Bunga Harum Sundal Malam : Nama Saintifik dan Kegunaan

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});