Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang dan Tips Diet Mesra Ginjal

Hakikatnya, tiada penawar bagi masalah buah pinggang kronik. Namun, gaya hidup sihat dapat membantu mengehadkan perkembangan penyakit ini.

Oleh itu, terdapat beberapa makanan untuk pesakit buah pinggang yang sesuai untuk diambil.

Ayuh kita semak bersama-sama.

Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang

1. Kacang Macadamia

Kebanyakan kekacang tidak sesuai untuk diambil pesakit buah pinggang kerana kandungan fosforusnya yang tinggi.

Wala bagaimanan pun, anda boleh mengambil kacang macadamia.

Ia bukan sahaja mengandungi potassium dan fosforus yang lebih rendah daripada badam atau kacang tanah, malah ia mampu membekalkan mineral penting seperti kalsium, lemak sihat, zat besi dan magnesium.

2. Buah-Buahan Beri

Blueberries atau beri biru padat dengan khasiat antioksida yang dikenali sebagai anthocyanin.

Ia bertindak dalam melindungi tubuh daripada penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya.

Dengan kandungan sodium, fosforus dan potassium yang rendah, ia juga merupakan pilihan yang baik buat pesakit buah pinggang.

Terdapat juga satu lagi jenis beri yang baik untuk buah pinggang iaitu cranberry.

Kandungan antioksida yang di dalamnya dipercayai mampu mencegah jangkitan buah pinggang serta saluran kencing (UTI).

3. Cendawan Shiitake

Selain tinggi dengan kandungan protein tumbuhan dan serat, cendawan shiitake juga mampu membekalkan mineral penting seperti selenium, mangenese serta vitamin B.

Ia juga mengandungi kadar potassium, sodium dan fosforus yang lebih rendah daripada kebanyakan jenis cendawan lain.

Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang

4. Kubis dan Kubis Bunga

Dua jenis sayuran ini merupakan antara makanan untuk pesakit buah pinggang yang baik.

Sebuah kajian mendapati kubis mampu mengawal paras gula dalam darah, mengurangkan risiko kerosakan buah pinggang dan hati serta dapat membantu mencegah obesiti.

Kubis bunga pula tinggi dengan serat dan mampu membekalkan pelbagai nutrisi penting seperti vitamin K dan folat.

Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang

5. Tauhu

Tauhu adalah alternatif protein yang baik untuk pesakit buah pinggang kerana ia mengandungi fosforus, potassium dan protein yang lebih rendah berbanding ayam atau daging.

Makanan Untuk Pesakit Buah Pinggang

Tips Pemakanan Untuk Pesakit Buah Pinggang  

1. Kurangkan Pengambilan Makanan Bergaram

Diet yang tinggi kandungan sodium boleh menyebabkan seseorang rasa cepat dahaga. Ini seterusnya akan menyebabkan kandungan air berlebihan di dalam badan.

Pada masa yang sama, ia juga boleh menyumbang kepada peningkatan tekanan darah.

Untuk elakkan sodium, kurangkan pengambilan daging yang diproses, makanan dijeruk atau segera serta bahan perasa dalam masakan seperti sos tiram, kicap dan kiub perisa.

2. Kurangkan Potassium

Walaupun buah-buahan dan sayur-sayuran baik untuk tubuh, namun tidak semuanya boleh dimakan oleh pesakit buah pinggang.

Mereka perlulah elakkan buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi potassium seperti :

  • Pisang
  • Kentang
  • Kurma
  • Durian
  • Air kelapa
  • Bayam
  • Sawi
  • Oren
  • Kailan

Sebaliknya, pesakit boleh lebihkan pengambilan :

  • Kangkung
  • Nanas
  • Brokoli
  • Epal
  • Jambu air
  • Terung
  • Tembikai

3. Kawal Pengambilan Protein

Pesakit buah pinggang kronik perlulah kurangkan pengambilan protein kerana ia boleh membuatkan buah pinggang bekerja dengan lebih keras dan boleh menjurus kepada kerosakan yang lebih teruk. 

Kurangkan makanan seperti ikan, ayam, daging merah dan telur.

4. Hadkan Pengambilan Cecair

Bergantung kepada tahap penyakit buah pinggang, doktor mungkin akan menyarankan untuk mengawal pengambilan air.

Oleh itu, elakkan makanan pedas atau masin yang boleh menyebabkan anda haus atau minum air berlebihan.

Untuk membantu anda mengesan berapa banyak air yang telah diminum, anda boleh menggunakan botol pengukur standard.

Pesakit juga boleh kumur mulut, kunyah gula-gula getah bebas gula atau hisap ais batu kecil sebagai alternatif.

5. Kurangkan Pengambilan Fosfat / Fosforus

Individu yang mengalami masalah buah pinggang tidak mampu untuk mengeluarkan garam fosfat berlebihan dalam badan.

Apabila kandungan fosfat meningkat dalam darah, ia boleh menyebabkan masalah salur darah dan risiko tulang rapuh.

Antara makanan tinggi fosfat yang perlu dikurangkan adalah produk berasaskan coklat, malta, bijirin penuh, beras perang, kerang dan kuning telur.

Walaupun terdapat beberapa makanan yang perlu dikurangkan, namun terdapat pelbagai alternatif yang boleh diambil bagi memenuhi nutrisi harian bagi pesakit buah pinggang.

Diharap perkongsian ini dapat membantu anda merancang pemakanan dengan lebih mudah di rumah.

Anda juga boleh merujuk kepada doktor bagi nasihat pemakanan yang lebih lanjut bagi yang mengalami masalah ginjal.

Sumber : MYBuahPinggang (1) (2), healthline.com

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!