LINDUNG Kendiri PERKESO – Khas Untuk Peniaga, Pekerja Sendiri, Rider & Freelancer!

lindung kendiri
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Kalau dulu PERKESO cuma terkenal dengan perlindungan untuk pekerja bergaji tetap, tapi sekarang ni golongan pekerja sendiri / gig worker seperti rider, peniaga kecil-kecilan atau freelancer pun tak ketinggalan.

Melalui jenama baharu PERKESO iaitu LINDUNG, satu skim khas diperkenalkan untuk mereka yang tak terikat dengan majikan — dinamakan LINDUNG Kendiri.

LINDUNG Kendiri ialah skim PERKESO yang melindungi individu bekerja sendiri sekiranya berlaku kemalangan atau penyakit semasa menjalankan pekerjaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Walaupun ada banyak takaful dan insurans di luar sana, tapi kenapa pekerja sendiri perlu pilih LINDUNG Kendiri? Dah tentulah sebab harga yang jauh lebih rendah untuk perlindungan yang setimpal!

Nak tahu apa manfaatnya dan kenapa korang mesti daftar skim ini? Jom baca dan fahamkan bersama.

Apa itu LINDUNG Kendiri?

Ramai pekerja sendiri tak sedar risiko kerja mereka tinggi — terjatuh masa hantar barang, kemalangan jalan raya atau cedera semasa bekerja.

Tanpa sebarang perlindungan, semua kos rawatan dan kehilangan pendapatan kena tanggung sendiri. Tapi dengan LINDUNG Kendiri, anda sekurang-kurangnya ada perlindungan kewangan jika musibah berlaku.

Inilah tujuan LINDUNG Kendiri diwujudkan, iaitu bagi memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Bayangkan, dengan caruman hanya serendah RM13 sebulan, anda kini dah boleh dapat perlindungan macam pekerja lain — termasuk rawatan, pampasan dan bantuan untuk waris. Jom tengok kadar caruman dan manfaatnya dalam jadual di bawah.

Serendah RM13 Sebulan! Ini Pilihan Pelan Caruman LINDUNG Kendiri

Berikut adalah kadar caruman berdasarkan pilihan seperti di bawah:

Perlindungan & Manfaat LINDUNG Kendiri 

  1. Faedah Perubatan – Bayaran balik tertakluk Akta Fi 1951
  2. Faedah Hilang Upaya – Kadar bayaran 80% (Hilang Upaya Sementara) dan 90% (Hilang Upaya Kekal) daripada gaji harian Pendapatan Bulanan Pilihan Yang Diinsuranskan dengan bayaran minimum RM30.00 sehingga maksimum RM118.50 sehari
  3. Kemudahan Pemulihan/ Rehabilitasi – Kemudahan secara PERCUMA
  4. Elaun Layanan Sentiasa (Elaun Penjaga) – RM500 sebulan
  5. Faedah Orang Tanggungan – Orang Berinsurans Bekerja Sendiri meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri. Kadar bayaran sebanyak 90% kepada waris
  6. Faedah Pengurusan Mayat (Bayaran Khairat Kematian) – RM3,000 sekali bayar
lindung kendiri
lindung kendiri

Siapa yang Layak Memohon LINDUNG Kendiri?

Syarat Kelayakan Umum

  • Warganegara Malaysia / permastautin tetap tanpa mengira had umur.
  • Individu yang menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah. Tidak dilindungi di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4).

Semua individu bekerja sendiri yang menjalankan aktiviti dalam 20 sektor pekerjaan sendiri yang diiktiraf oleh PERKESO layak memohon skim LINDUNG Kendiri.

Ini termasuk:

  • Pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas
  • Penjual dalam talian dan peniaga kecil
  • Petani, nelayan, pekebun kecil dan penternak
  • Tukang, jurugambar, artis, ejen hartanah dan seumpamanya

Sektor Pekerjaan Sendiri

  • Sektor Pengangkutan Penumpang
  • Pengangkutan Barangan atau Makanan
  • Pertanian
  • Penternakan
  • Perhutanan
  • Perikanan
  • Makanan
  • Pembuatan
  • Pembinaan
  • Penjaja
  • Premis Penginapan
  • Perniagaan Online
  • Teknologi Maklumat
  • Pemprosesan Data
  • Ejen
  • Perkhidmatan Profesional
  • Perkhidmatan Sokongan
  • Kesenian
  • Perkhidmatan Isi Rumah
  • Penjagaan Perawatan dan Pemulihan Kesihatan

Dokumen yang Diperlukan

  • Salinan kad pengenalan
  • Salinan kad PSV / profil e-hailing / permit / lesen / sijil atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih.

Cara Daftar LINDUNG Kendiri

Muat turun Aplikasi Prihatin PERKESO hari ini untuk mendaftar dan membuat bayaran caruman LINDUNG Kendiri dengan mudah, cepat dan selamat terus dari hujung jari anda!

Soalan Lazim LINDUNG Kendiri

1. Apa itu LINDUNG Kendiri?

Lindung Kendiri ialah skim keselamatan sosial di bawah PERKESO, khas untuk pekerja sendiri, termasuk rider, pemandu e-hailing, peniaga kecil dan freelance di bawah  Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

Ia melindungi anda jika berlaku kemalangan semasa bekerja, termasuk bantuan perubatan, pampasan dan faedah untuk tanggungan. 

2. Adakah LINDUNG hanya untuk pekerja formal?

LINDUNG merangkumi empat kategori perlindungan utama:
(i) LINDUNG Pekerja – untuk pekerja sektor formal (termasuk pekerja asing dan pembantu rumah)
(ii) LINDUNG Kerjaya – untuk pekerja yang kehilangan pekerjaan dan mencari pekerjaan
(iii) LINDUNG Kendiri – untuk pekerja gig, usahawan mikro dan pekerja bebas tidak bermajikan tetap
(iv) LINDUNG Kasih – untuk semua wanita bawah 55 tahun
Kesimpulannya LINDUNG ialah untuk semua lapisan masyarakat, termasuk yang tidak bekerja secara formal, turut dilindungi seperti di bawah skim LINDUNG Kendiri.

3. Apakah syarat kelayakan untuk mencarum LINDUNG Kendiri?

Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur dan Orang Bekerja Sendiri yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah.

4. Kalau saya kerja sambilan (part-time), boleh daftar juga?

Boleh! Asalkan anda bekerja sendiri dan tiada majikan tetap, anda layak menyertai Lindung Kendiri.

5. Apakah dokumen yang diperlukan untuk mendaftar?

– Salinan kad pengenalan
– Salinan lesen/kad pemandu/profil e-hailing / permit / sijil / perakuan pendaftaran perniagaan atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih.

6. Bolehkah caruman dibayar oleh orang lain?

Tiada halangan caruman dibayar oleh orang lain asalkan dokumen yang diperlukan adalah lengkap.

7. Apa beza LINDUNG Kendiri dengan LINDUNG Pekerja?

Lindung Kendiri → untuk individu kerja sendiri / gig
Lindung Pekerja → untuk pekerja tetap yang ada majikan

Bezanya cuma siapa bayar caruman. Tapi dua-dua dapat faedah keselamatan sosial yang serupa.

8. Adakah kemalangan pun boleh dapat perlindungan LINDUNG Kendiri? 

Ya, pencarum akan mendapat perlindungan di bawah Skim Bencana Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) jika sesuatu kemalangan berlaku terbit daripada dan semasa menjalankan aktviti pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan.

9. Apakah faedah yang disediakan dibawah LINDUNG Kendiri?

– Faedah Perubatan
– Faedah Hilang Upaya Sementara
– Faedah Hilang Upaya Kekal
– Elaun Layanan Sentiasa
– Faedah Orang Tanggungan
– Faedah Pengurusan Mayat
– Kemudahan Pinjaman Pendidikan
– Kemudahan Pemulihan Jasmani, Vokasional dan Program Return To Work (RTW)

10. Apa beza SKSPS dengan LINDUNG Kendiri?

Kedua-duanya menawarkan manfaat yang sama. Ia hanyalah identiti jenama baharu untuk merangkumkan semua skim perlindungan sosial di bawah PERKESO agar lebih mudah difahami dan diingati oleh rakyat. PERKESO sebagai organisasi tetap wujud dan berfungsi seperti biasa.

Dengan penjenamaan baharu LINDUNG ini, PERKESO juga menyusun semula dan memperjelas fungsi setiap skim, supaya orang ramai tidak lagi keliru dengan nama-nama teknikal seperti SKSPS. Ini membantu menggalakkan penyertaan dalam kalangan mereka yang layak tetapi sebelum ini tidak tahu atau tidak faham manfaatnya .

Secara keseluruhannya, LINDUNG bukan sekadar logo baharu, tetapi gerakan untuk memperkasa sistem perlindungan sosial negara agar lebih inklusif, telus dan mesra rakyat.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.perkeso.gov.my/lindung.html

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut