KK Mart: Sejarah Penubuhan, Pemilik, & Kontroversi

kk mart
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

KK Mart merupakan salah satu daripada kedai serbaneka yang mempunyai banyak cawangan di seluruh negara di belakang Speedmart.

Kedai serbaneka ini menjual pelbagai barangan keperluan harian dan juga pelbagai jenis makanan.

Namun, kedai serbaneka ini juga tidak lari daripada kontroversi seperti isu stoking kalimah Allah dan label halal pada sandwich ‘Ham.’

Sejarah Penubuhan KK Mart

KK Mart telah ditubuhkan dengan modal RM60,000 di tingkat bawah lot kedai Kuchai Lama pada Januari 2001.

Daripada 1 cawangan, kedai serbaneka ini telah berkembang dengan beratus-ratus cawangan di dalam dan sekitar Lembah Klang.

Pada masa ini, terdapat hampir 800 cawangan KK Mart di seluruh negara dengan majoritinya di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Perak dan Sarawak.

Menariknya, kedai serbaneka ini telah meluaskan perniagaan mereka ke Asia Selatan dengan membuka 21 cawangan di Nepal dan tiga di India, sementara Kumpulan KK menerokai industri lain, termasuk alat ganti kereta, makanan dan minuman, hospitaliti, malah sektor kecantikan dan kesihatan.

Oleh kerana itulah, kedai serbaneka ini telah menjadi rangkaian kedua terbesar di Malaysia, di belakang 99 Speed Mart yang mempunyai lebih 2,500 cawangan di seluruh negara.

Pemilik KK Mart

Kedai serbaneka ini telah diasaskan oleh Datuk Seri Dr KK Chai dengan disertai bersama-sama adik-beradiknya.

Oleh kerana itulah kedai serbaneka ini dinamakan sebagai KK Mart sempena nama pengasas kedai serbaneka tersebut.

Beliau yang berasal daripada Sarawak merupakan seorang usahawan yang mempunyai pelbagai perniagaan yang lain.

Lokasi KK Mart

Lokasi KK Mart seluruh negara boleh diketahui melalui pautan https://kkgroup.my/kk-super-mart-others-location.

Kontroversi KK Mart

Kedai serbaneka ini terkenal dengan beberapa kontroversi yang berlaku, antaranya:

i- Stoking Tertera Kalimah Allah

Sebuah gambar yang menunjukkan kalimah Allah di stoking dipercayai dijual di Cawangan Kedua KK Super Mart, Bandar Sunway, Petaling Jaya pada Mac 2024.

Isu tersebut mengakibatkan wujud kemarahan umat Islam di Malaysia yang pada ketika itu sedang menyambut bulan Ramadhan.

Kemudiannya, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr KK Chai membuat sidang media dan memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia akibat kontroversi tersebut.

Kilang yang menghasilkan stoking tersebut di Batu Pahat, Johor kemudiannya telah diserbu oleh pihak polis dan mereka menjumpai lima pasang stoking yang dipulangkan oleh tiga kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway.

Datuk Seri Dr KK Chai dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui kemudiannya dihadapkan ke mahkamah di Mahkamah Shah Alam, Selangor dan didakwa mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Isu ini juga telah mendapat reaksi daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu ini.

ii- Isu Halal Sandwich ‘Ham’

Kontroversi ini bermula apabila tular penemuan produk pek sandwich yang mempamerkan label ‘sandwich ham & cheese’ di kedai serbaneka KK Mart di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Januari 2025.

Isu ini menjadi perhatian apabila ‘Ham’ yang dikaitkan dengan babi mempunyai label halal pada produk sandwich tersebut.

Pihak Universiti Malaya kemudiannya mengarahkan penutupan serta-merta dua cawangan KK Mart di kampus institusi penganjian tinggi berkenaan isu tersebut.

KK Mart kemudiannya memaklumkan pihaknya telah menggantung semua urusan perniagaan dengan pembekal sandwic terbabit.

KK Supermart juga membuat satu laporan polis berhubung perkara tersebut dan mengarahkan peguam untuk menghantar Surat Tuntutan (LOD) kepada syarikat berkenaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kemudiannya mengesahkan produk sandwic ham yang dijual terbabit tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Namun, pihak syarikat pembekal tampil mengemukakan bukti bahawa bahan yang digunakan dalam produk sandwich ‘ham & cheese’ diperakui halal oleh JAKIM.

Ini kemudiannya membawa kepada satu lagi kenyataan daripada JAKIM bahawa produk tersebut tidak mempunyai sijil halal.

Ini kerana mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai kedai serbaneka ini, sila layari pautan https://kkgroup.my/.

Baca juga: Bayaran MyKasih 2025 – Jadual, Tarikh, Kelayakan Setiap Kategori

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut