Anda mungkin layak menerima bantuan.
Semak Sekarang!

Kereta kena tarik merupakan salah satu situasi paling menakutkan bagi peminjam yang sedang menghadapi masalah kewangan.

Apabila ansuran bulanan tidak dijelaskan untuk beberapa bulan berturut-turut, pihak bank atau institusi kewangan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk mengambil semula kenderaan tersebut.

Namun, proses ini tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya kerana terdapat peruntukan khusus di bawah Akta Sewa Beli 1967 yang melindungi hak kedua-dua pihak.

Memahami proses sebenar dan hak anda sebagai peminjam amat penting supaya anda tidak ditindas atau dikenakan tindakan yang tidak sah.

Bila Kereta Boleh Ditarik?

kereta kena tarik

Menurut peruntukan undang-undang di Malaysia, pihak bank berhak memulakan proses penarikan semula kenderaan apabila peminjam gagal membayar dua ansuran bulanan secara berturut-turut.

Kegagalan membayar ansuran terakhir juga merupakan satu lagi keadaan yang membolehkan kereta ditarik. Dalam situasi di mana peminjam meninggal dunia, kenderaan hanya boleh ditarik jika terdapat empat ansuran bulanan yang tidak dibayar berturut-turut .

Perlu difahami bahawa kereta yang dibeli secara sewa beli bukanlah milik mutlak peminjam selagi hutang belum dijelaskan sepenuhnya.

Di bawah seksyen 16 Akta Sewa-Beli 1967, dua syarat utama mesti dipenuhi. Pertama, mesti wujud dua kali keingkaran bayaran berturut-turut atau keingkaran pada bayaran terakhir.

Kedua, pemilik mesti menyampaikan Notis Jadual Keempat secara bertulis kepada penyewa. Notis ini memberi tempoh tidak kurang daripada 21 hari selepas penyampaian sebelum sebarang penarikan boleh dibuat.

Jika tempoh 21 hari belum tamat, penarikan dianggap pramatang dan boleh dicabar sebagai tidak sah.

Terdapat pengecualian jika pemilik mempunyai alasan munasabah untuk percaya bahawa penyewa akan menyembunyikan atau memindahkan kenderaan.

Walau bagaimanapun, beban membuktikan alasan tersebut terletak pada pemilik. Jika gagal dibuktikan, penarikan tetap boleh dianggap menyalahi undang-undang.

Prosedur Sebelum Kereta Ditarik

prosedur tarik kereta

Sebelum kereta boleh ditarik, pihak bank wajib mengikuti prosedur yang telah ditetapkan. Langkah pertama adalah pengeluaran Notis Jadual Keempat yang memberikan tempoh 21 hari kepada peminjam untuk menjelaskan tunggakan.

Notis ini merupakan amaran rasmi pertama dan dihantar ke alamat terakhir yang didaftarkan dalam rekod bank dan adalah menjadi tanggungjawab peminjam untuk memaklumkan sebarang pertukaran alamat kepada pihak bank.

Sekiranya tiada tindakan diambil dalam tempoh 21 hari tersebut, pihak bank akan mengeluarkan satu lagi notis di bawah Peraturan 15 Peraturan-Peraturan Sewa Beli (Permohonan Permit dan Tatacara Pemilikan Semula Barangan) 2011 yang memberikan tempoh tambahan 14 hari.

Hanya selepas tamat tempoh 14 hari inilah pihak bank boleh melantik Ejen Perolehan Semula atau EPS untuk menarik balik kenderaan anda.

Terdapat satu lagi perlindungan penting untuk peminjam yang telah membayar sebahagian besar pinjaman.

Jika anda telah menjelaskan lebih daripada 75 peratus daripada harga tunai keseluruhan kereta, pihak bank perlu mendapatkan perintah mahkamah terlebih dahulu sebelum boleh mengeluarkan notis-notis berkenaan.

Ini merupakan perlindungan undang-undang yang signifikan kerana mahkamah akan menilai sama ada tindakan penarikan semula adalah wajar dalam keadaan tersebut.

Hak Anda Semasa Kereta Kena Tarik Oleh Ejen (EPS)

tukang tarik kereta

Ejen Perolehan Semula atau EPS bukan samseng. Mereka tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Sewa Beli 2011 dan mesti berdaftar.

Semasa kereta anda ditarik, ini hak anda yang wajib anda tuntut:

  • Minta 3 Dokumen Wajib: EPS hendaklah mengemukakan dan menunjukkan permit yang sah, mengemukakan kad pengenalannya dan mengemukakan perintah pemilikan semula daripada bank atau daripada Mahkamah.Selalunya syarikat kewangan akan melantik penarik kereta yang berdaftar dengan Persatuan Syarikat Sewa Beli Malaysia. Dan sebelum menarik kereta, dia perlu menunjukkan kad pengenalan, kad kuasa dan surat arahan tarik kereta.
  • Waktu Operasi Sah: EPS hanya boleh menarik kenderaan dari jam 9 pagi hingga 9 malam.Tarik luar waktu ini adalah salah.
  • Tidak Boleh Guna Kekerasan & Ceroboh: Mereka perlu bersikap profesional, perlu kelihatan kemas dan tidak datang dalam kumpulan yang ramai, tiada kekasaran digunakan, mereka tidak boleh memasuki premis penyewa tanpa izin penyewa dan penyewa mesti diberi masa yang cukup untuk mengeluarkan barangan peribadi.
  • Laporan Polis: Selepas kenderaan ditarik, pihak tarik kereta perlu membuat laporan polis dengan serta merta.Ini untuk keselamatan anda supaya tidak dikira kes curi. 

Apa Jadi Selepas Kereta Kena Tarik?

penarik kereta

1. Notis Jadual Kelima – Peluang Terakhir 21 Hari

Selepas penarikan, pemilik mesti menyampaikan satu Notis Jadual Kelima dalam tempoh 21 hari selepas kenderaan ditarik. Notis ini menyatakan jumlah yang perlu dijelaskan dan nilai anggaran kenderaan.

Di dalam 21 hari selepas kereta ditarik, syarikat kewangan akan memberi notis kepada penyewa dan setiap penjamin yang dikenali sebagai Notis Jadual Kelima.

Dalam tempoh 21 hari itu, anda ada 3 pilihan di bawah seksyen 18:

  • Jelaskan semua tunggakan berserta kos tarik dan simpanan, dan mohon kenderaan dikembalikan.
  • Selesaikan sepenuhnya baki hutang.
  • Memperkenalkan pembeli tunai untuk membeli kenderaan pada harga tidak kurang daripada nilai anggaran.

Penting untuk diingat, pemilik tidak boleh menjual kenderaan dalam tempoh 21 hari itu tanpa keizinan bertulis penyewa.

2. Lelongan dan Baki Hutang

Jika tamat tempoh 21 hari tersebut penyewa masih tidak menyelesaikan tunggakan dan tidak mengambil semula kenderaan, maka pihak Bank boleh melelong kereta anda dengan mengeluarkan Notis Lelongan.

Kereta anda akan dilelong, dan hasil jualan akan digunakan untuk membayar baki pinjaman.

Jika hasil lelongan tidak mencukupi, anda masih perlu menjelaskan baki pinjaman dan nama anda mungkin akan disenarai hitam dalam sistem CTOS atau CCRIS jika hutang tidak dilangsaikan.

Anda perlu ingat juga bahawa sekiranya jumlah lelongan masih tidak dapat menampung jumlah hutang pinjaman, pihak Bank berhak untuk meneruskan prosiding ke Mahkamah bagi mendapatkan lebihan hutang. 

Jangan Lari Jika Tidak Mampu Bayar

Jika anda sedang menghadapi masalah kewangan dan kereta tak mampu bayar, jangan tunggu sehingga kereta kena tarik bank. Hubungi pegawai pinjaman atau pihak bank secara rasmi dan maklumkan situasi kewangan anda.

Antara langkah praktikal yaang bolleh diambil:

  • Hubungi Bank Seawal Mungkin: Sebelum Notis Jadual Keempat tamat.
  • Mohon Penjadualan Semula: Anda boleh memohon untuk menstruktur semula pinjaman sama ada melalui bank anda sendiri atau dengan bantuan AKPK. Penstrukturan ini tidak menjejaskan rekod CCRIS anda sekiranya dilakukan sebelum tunggakkan terlalu lama.
  • Mohon Moratorium: Dalam kes kecemasan, anda boleh mohon penangguhan sementara bergantung kepada kelulusan bank.
  • Dapatkan Nasihat AKPK: Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit menyediakan perkhidmatan rundingan percuma.

Baca lagi: Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK): Fungsi & Peranan

Penulis
Affan ada penulis di eCentral yang berkongsi artikel berkaitan kewangan, bantuan kerajaan, pendidikan, kerjaya dan isu semasa dengan penyampaian yang ringkas, jelas dan mudah difahami.