Kemalangan Jalan Raya: Isi Penting & Contoh Karangan

Bagi karangan berkaitan kemalangan jalan raya, berikut diterangkan isi penting dan contoh karangan mengenai tajuk ini.

Murid boleh mengambil isi penting dan contoh karangan ini sebagai panduan di dalam peperiksaan.

Isi Penting

1. Kecuaian Pemandu

  • Ramai pemandu dilihat cuai ketika memandu seperti memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk.
  • Mereka bersikap mementingkan diri sehingga mengabaikan peraturan jalan raya.
  • Kecuaian juga berlaku akibat pemandu sering menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
  • Pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.

2. Tidak Mempunyai Lesen Memandu

  • Menggunakan lesen memandu yang palsu untuk mengaburi pihak berkuasa.
  • Pemandu tersebut tidak cekap dan tidak biasa memandu sesebuah kenderaan.
  • Mengakibatkan berlakunya kemalangan.

3. Kenderaan Tidak Berada Dalam Keadaan Yang Baik

  • Alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik.
  • Tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis.
  • Tayar yang “botak” berisiko mengakibatkan kenderaan hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya mengundang kemalangan.

4. Kondisi Jalan Raya Tidak Baik

  • Kondisi jalan raya yang tidak baik menyebabkan jalan raya menjadi berbahaya kepada pengguna.
  • Jalan raya yang berlubang dan tidak rata menyebabkan tayar kenderaan tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya.
  • Mengakibatkan kenderaan mudah hilang kawalan dan terbabas.

Contoh Karangan Kemalangan Jalan Raya

i) PENDAHULUAN

Dasawarsa ini, antara isu yang menjadi perbincangan hangat orang ramai dan di dada akhbar di Malaysia adalah mengenai kemalangan jalan raya. Peratus kes kemalangan ini terus meningkat dari setahun ke setahun, terutamanya pada musim perayaan. Kegagalan pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya mengakibatkan kemalangan sering berlaku. Terdapat pelbagai punca berlakunya kemalangan sehingga telah meragut banyak nyawa di atas jalan raya.

ii) ISI 1: KECUAIAN PEMANDU

Punca utama kemalangan termasuklah kecuaian pemandu sendiri ketika menggunakan jalan raya. Ramai pemandu dilihat cuai ketika memandu seperti memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk. Ini disebabkan mereka bersikap mementingkan diri sehingga mengabaikan peraturan jalan raya. Selain itu, kecuaian juga berlaku akibat pemandu sering menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain.

iii) ISI 2: TIDAK MEMPUNYAI LESEN MEMANDU

Selain itu, kemalangan juga berlaku disebabkan kebanyakan pemandu tidak mempunyai lesen memandu. Sesetengah pemandu juga menggunakan lesen memandu yang palsu untuk mengaburi pihak berkuasa. Apabila tidak memiliki lesen yang sah, pemandu tersebut semestinya tidak cekap dan tidak biasa memandu sesebuah kenderaan. Hal ini akan mengakibatkan berlakunya kemalangan jalan raya. Oleh kerana itu, seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu dinasihati supaya tidak memandu di jalan raya.

iv) ISI 3: KENDERAAN TIDAK BERADA DALAM KEADAAN BAIK

Kelalaian pemandu memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan juga menyumbang kepada punca berlakunya kemalangan. Mereka sering alpa untuk memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan yang baik dan tidak menghantar kenderaan tersebut untuk diselenggara di pusat servis. Sebagai contoh, tayar yang “botak” berisiko mengakibatkan kenderaan hilang kawalan terutamanya ketika hujan dan seterusnya mengundang kemalangan bak kata pepatah, “malang tidak berbau.” Oleh itu, kesan daripada pemandu yang alpa dan tidak mengambil berat keadaan kenderaan mereka akan menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.

v) ISI 4: KONDISI JALAN RAYA TIDAK BAIK

Kemalangan jalan raya juga berlaku disebabkan kondisi jalan raya yang tidak baik. Kondisi jalan raya yang tidak baik menyebabkan jalan raya menjadi berbahaya kepada pengguna. Sebagai contoh, jalan raya yang berlubang dan tidak rata menyebabkan tayar kenderaan tidak dapat mencengkam permukaan jalan raya. Ini mengakibatkan kenderaan mudah hilang kawalan dan terbabas. Oleh kerana itulah, pihak kerajaan perlu memastikan penyelenggaraan jalan raya dilakukan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya berlaku.

vi) PENUTUP

Kesimpulannya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak terutamanya kepada pengguna jalan raya itu sendiri. Mereka mestilah sentiasa mengamalkan tatacara keselamatan jalan raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan pada masa hadapan. Jika pengguna jalan raya memandu dalam keadaan penuh tanggungjawab, kemalangan dapat dielakkan.

Dapatkan Koleksi Model Karangan Cemerlang | Tahap 1 (Tahun 1, 2 & 3); Tahap 2 (Tahun 4, 5 & 6) | KSSR (2023) dengan harga istimewa di SINI.

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!