Tinggi Protein dan Mikronutrien, Ini Manfaat Ikan Susu Untuk Kesihatan

Anda pernah dengar tentang ikan susu? Walaupun ikan ini tidak sepopular ikan lain seperti ikan kembung, ikan pari atau ikan parang, namun ia juga ada penggemarnya tersendiri.

Ikan susu dikatakan mirip dengan ikan terubuk namun sisiknya lebih berkilat dan kecil. Saiznya juga lebih panjang berbanding ikan terubuk.

Selain menjadi kegemaran orang kita, ikan ini juga popular di negara Asia lain seperti Taiwan, Indonesia dan Filipina.

Bagi yang tak biasa makan ikan ini, anda perlulah berhati-hati kerana tulangnya banyak.

ikan susu

Rasa isinya yang lembut dan lemak menjadikan ikan ini sesuai untuk dijadikan hidangan seperti asam rebus, pindang, asam acar, pais dan goreng berlada.

Ia juga enak dimasak dengan cara ringkas seperti goreng, bakar atau kukus.

Bukan sahaja enak rasanya, malah ikan susu padat dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan tubuh. Ayuh kita semak beberapa kelebihannya.

Manfaat Ikan Susu Untuk Kesihatan

Sumber Protein Yang Baik

Berdasarkan sebuah kajian daripada Universiti Hasanuddin Indonesia, ikan dengan nama saintifik Chanos chanos ini boleh dikategorikan sebagai ikan dengan kandungan protein yang tinggi iaitu melebihi 20%.

Lebih menarik lagi, kandungan lemaknya juga sangat rendah iaitu kurang daripada 5%. Ini menjadikan ikan susu sesuai untuk dijadikan sumber protein yang baik dalam diet harian.

Menyokong Kesihatan Tulang  

Ikan ini juga kaya dengan khasiat mineral fosforus dan kalsium. Seperti yang kita tahu, kedua-dua elemen ini merupakan struktur penting dalam perkembangan tisu tulang.

Baik Untuk Kesihatan Jantung

Kajian daripada Universiti Hasanudin turut mendapati bahawa ikan ini mempunyai kandungan sodium yang rendah.

Jadi, ikan ini dilihat sesuai untuk dinikmati oleh pesakit darah tinggi.

Pada masa yang sama, khasiat lemak asid omega-3 yang terkandung dalam ikan ini juga berpotensi untuk mengurangkan kadar kolesterol dalam darah serta menyokong kesihatan jantung secara menyeluruh.

ikan susu

Padat Dengan Mikronutrien

Memetik perkongsian dari The Food and Nutrition Board Institute of Medicine, satu hidangan ikan susu mampu membekalkan sehingga 116% vitamin B12, 44% vitamin B3 dan 24% vitamin B6 yang diperlukan oleh tubuh setiap hari.

Vitamin B kompleks ini sangat penting untuk mengekalkan tahap metabolisma, hormon serta fungsi sistem saraf tubuh.

Di samping itu, ikan ini juga kaya dengan khasiat mineral fosforus dan selenium. Tidak hanya penting untuk kesihatan tulang, malah fosforus turut memainkan peranan penting dalam perkembangan sel darah merah.

Sementara itu, selenium pula merupakan antara nutrien penting bagi melindungi sistem pertahanan badan dan fungsi tiroid.

ikan susu

Pendek kata, memang rugi kalau anda tidak sertakan ikan ini dalam hidangan harian.

Ikan susu bukan sahaja enak untuk dinikmati dalam pelbagai bentuk hidangan, malah ia juga mampu membekalkan khasiat yang penting untuk kesihatan tubuh seperti protein dan lemak asid omega-3.

Ia juga mampu melengkapi keperluan mikronutrien tubuh dengan kebaikan mineral penting seperti kalsium, fosforus, vitamin B kompleks dan sebagainya.

Sumber : healthbenefittimes.com, utusantv.com, nutriweb.org.my

Baca Juga : Ikan Tenggiri : Khasiat dan Kesan Sampingan Yang Anda Perlu Tahu

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!