Skim Harga Maksimum Berakhir 30 Jun, Harga Ayam Dijangka Naik

Harga ayam dijangka naik bulan depan apabila ia diapungkan ekoran berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam pada 30 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, susulan jangkaan kenaikan harga ayam, Kementerian Kewangan (MOF) sedang merangka pemberian bantuan kepada golongan memerlukan, yang akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

Pada masa ini kerajaan menetapkan harga maksimum runcit ayam dan telur bagi Semenanjung Malaysia bagi ayam bulat standard adalah pada RM8.90 sekilogram dan ayam bulat super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) pada RM9.90 sekilogram.

Harga ayam maksimum naik
Sumber: KPDNHEP

Sebelum ini dilaporkan pihak penternak berharap kerajaan mengapungkan harga ayam susulan penamatan subsidi kepada mereka. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berkuat kuasa 1 Julai, Putrajaya tidak lagi akan memberikan subsidi kepada penternak ayam.

Nanta berkata, penamatan skim harga maksimum ayam bukan bermaksud kerajaan tidak mempedulikan pengguna, tetapi ia boleh menjejaskan industri ternakan ayam dalam jangka masa panjang, termasuk keadaan negara tidak lagi dapat mengeluarkan sumber ayam sendiri dan terpaksa mengimport.

“Sebab itu perlu diteliti secara mendalam, dan seharusnya kita hentikan harga maksima dan bantu pengguna yang berpendapatan rendah cara lain, bukan lagi subsidi pukal,” katanya.

Nanta dalam pada itu mengingatkan pemain industri agar tidak menggunakan kesempatan menerusi harga apungan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Apabila harga diapungkan, katanya KPDNHEP akan turut memantau aspek harga dan jika perlu akan menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sekiranya terdapat peniaga mencatut, yakni mengambil untung suatu barangan atau perkhidmatan secara berlebihan.

(Sumber: BERNAMA)

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!