Gaji Fresh Grad di Malaysia 2026 sememangnya seringkali menjadi tanda tanya bagi graduan baharu yang dalam misi mencari pekerjaan.
Secara amnya, gaji minimum nasional di Malaysia telah ditetapkan pada RM1,700 sebulan yang dikuatkuasakah sepenuhnya sejak tahun 2025.
Manakala, purata gaji permulaan bagi graduan baharu (fresh grad) pemegang ijazah di Malaysia berada dalam lingkungan RM2,500 hingga RM3,500 sebulan bergantung kepada industri.
Angka ini selari dengan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Keempat 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta diperkukuh oleh data tinjauan pasaran kerja daripada portal pengrekrutan swasta seperti Reeracoen Malaysia dan Randstad Malaysia.
Selain faktor kelayakan akademik dan kemahiran teknikal, jurang geografi dan lokasi negeri kekal sebagai pemisah terbesar kepada nilai tawaran gaji graduan baharu bagi mengimbangi kos sara hidup.
Siapa yang digelar sebagai Fresh Grad di Malaysia?
Di Malaysia, umumnya seorang “fresh grad” (graduan baharu) adalah individu yang baru sahaja menamatkan pengajian akademik di institusi pendidikan tinggi (IPT), berada dalam tempoh 12 hingga 24 bulan pertama selepas tarikh graduasi atau majlis konvokesyen dan belum pernah mempunyai pekerjaan tetap yang pertama dalam bidang tersebut.
Golongan ini dikira sebagai belum ada pengalaman kerja profesional secara formal.
Status ini hilang secara automatik apabila mereka sudah mula mendapat pekerjaan tetap yang pertama.
Berapa Umur Fresh Grad di Malaysia?
Umur graduan baharu di Malaysia secara amnya adalah antara 21 hingga 25 tahun.
Walau bagaimanapun, julat umur ini berbeza mengikut tahap pengajian akademik yang diambil.
Contohnya, peringkat Diploma / TVET, berumur 21 hingga 22 tahun (biasanya tamat pengajian dalam tempoh 2 hingga 3 tahun selepas SPM).
Peringkat Ijazah Sarjana Muda (Degree) pula bergelar graduan baharu pada umur 23 – 25 tahun (mengambil masa 3 hingga 5 tahun pengajian selepas matrikulasi, asasi, atau STPM).
Bagi kursus profesional seperti perubatan atau seni bina, umur fresh grad boleh mencecah 26 tahun kerana tempoh pengajian yang lebih lama.
Gaji Permulaan Fresh Grad Perlu Lebih Tinggi Dari Kadar Gaji Minimum RM 1700
Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Q4 2025 menunjukkan median upah bulanan keseluruhan pekerja formal di Malaysia telah meningkat kepada RM3,167 setakat Disember 2025.
Perkembangan positif ini membuktikan trend pemulihan pasaran kerja yang stabil di seluruh negara.
Sebagai perbandingan, data DOSM turut mendedahkan bahawa pekerja muda di bawah umur 20 tahun mencatatkan median upah RM1,700 sebulan (rujuk gambar di bawah).
Data ini secara halus membezakan bahawa kadar RM1,700 tersebut adalah jaringan keselamatan bagi pekerja bawah umur 20 tahun yang majoritinya merupakan lepasan sekolah atau belum mempunyai kelayakan tinggi.
Sebaliknya, golongan fresh grad universiti yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran khusus amat layak untuk menuntut tawaran yang lebih tinggi daripada pasaran, memandangkan tanda aras median nasional kini sudahpun mencecah RM3,167.

Berapa Purata Gaji Fresh Grad di Malaysia Mengikut Kemahiran?
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata gaji siswazah dibahagikan mengikut tiga tahap kemahiran:
Kategori Mahir (Skilled)
Kategori ini mencatatkan pendapatan tertinggi dengan purata mencecah RM6,243 sebulan (Median: RM5,723).
Bagi fresh grad yang berjaya terus mendapat kerja dalam bidang kategori mahir (seperti Jurutera, Pengaturcara IT, atau Akauntan), mereka akan menikmati unjuran gaji permulaan dalam lingkungan RM3,000 hingga RM3,600 (gaji permulaan).
Kategori Separuh Mahir
Purata gaji bagi kategori ini adalah sekitar RM2,953 sebulan (Median: RM2,550).
Bagi graduan baharu yang mendapat jawatan dalam kategori separuh mahir, gaji permulaan mereka biasanya bermula lebih rendah iaitu sekitar RM2,000 hingga RM2,500 (gaji permulaan).
Kategori Berkemahiran Rendah
Kelompok kecil graduan yang bekerja dalam sektor buruh am atau operasi asas. Merupakan kelompok terkecil (sekitar 1.2% daripada keseluruhan graduan) dengan purata gaji RM2,370 sebulan (Median: RM1,990).
Fresh grad dalam kategori ini biasanya bermula dengan gaji minimum yang ditetapkan iaitu, RM1,700 (gaji permulaan).

Info Tambahan:
- Purata Gaji (Mean): Semua jumlah gaji pekerja dicampur, kemudian dibahagikan dengan bilangan pekerja.
- Median Gaji (Median): Nilai tepat di tengah-tengah selepas semua data gaji disusun dari paling rendah ke paling tinggi.
Bagi seorang fresh grad, melihat angka gaji permulaan pasaran dapat memberikan anda jangkaan gaji yang lebih realistik dan selamat untuk dijadikan panduan semasa sesi rundingan gaji bersama bakal majikan.
Manakala, angka gaji median pula berfungsi sebagai tanda aras untuk melihat kedudukan tangga gaji majoriti pekerja di dalam industri atau kumpulan umur tersebut, sekali gus membantu anda menilai potensi pertumbuhan pendapatan jangka panjang.
Berapa Purata Gaji Fresh Grad di Malaysia Mengikut Negeri?
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara rasmi TIDAK PERNAH mengeluarkan statistik khusus bagi Permulaan Gaji atau Purata Gaji Fresh Grad Mengikut Negeri.
Di bawah ini adalah angka Unjuran Julat Gaji Pasaran Pekerja Eksekutif/Graduan Baharu yang disandarkan pada dua rujukan rasmi:
- Dasar Gaji Minimum Nasional: RM1,700
- Corak taburan upah Laporan Statistik Upah Pekerja Sektor Formal Q4 2025 (diterbitkan DOSM pada 29 April 2026).
Kawasan Pusat Pertumbuhan Ekonomi Utama (RM3,000 – RM3,600)
Negeri-negeri ini merupakan hab industri bernilai tinggi, pusat data, dan ibu pejabat multinasional (MNC) yang merekodkan median upah tertinggi dalam laporan DOSM.
- W.P. Kuala Lumpur: RM3,400 – RM3,600
- Selangor: RM3,000 – RM3,300
- Pulau Pinang: RM3,100 – RM3,300
Kawasan Pertumbuhan Sekunder (RM2,200 – RM3,000)
Kawasan korporat dan pembuatan sekunder yang sedang pesat membangun, disokong oleh limpahan pelaburan zon ekonomi serantau.
- Johor: RM2,700 – RM3,000 (Nota: Bidang TVET premium atau teknologi boleh mencecah RM3,500+)
- Melaka: RM2,500 – RM2,800
- Negeri Sembilan: RM2,400 – RM2,700
- W.P. Putrajaya: RM2,600 – RM3,000
- W.P. Labuan: RM2,300 – RM2,700
Kawasan Pembangunan Domestik & Industri Asas (RM1,800 – RM2,700)
Negeri yang merekodkan median upah formal terendah dalam data siri masa DOSM, didominasi oleh industri domestik kecil dan PKS.
- Perak: RM2,200 – RM2,600
- Pahang: RM2,200 – RM2,600
- Terengganu: RM2,200 – RM2,700
- Sarawak: RM2,300 – RM2,800 (Sektor minyak & gas boleh melonjak lebih tinggi)
- Kedah: RM2,100 – RM2,500
- Sabah: RM2,000 – RM2,400
- Perlis: RM1,800 – RM2,200
- Kelantan: RM1,800 – RM2,200
NOTA: Angka mengikut negeri ini merupakan unjuran realistik pasaran kerja berdasarkan petunjuk jurang upah geografi laporan DOSM Q4 2025 bersama data penawaran portal pekerjaan swasta 2026. Angka ini juga boleh berbeza mengikut sektor, jawatan, syarikat dan lokasi.

Tips untuk Fresh Graduate
Bagi mendapatkan tawaran gaji permulaan yang melebihi purata biasa, graduan baharu disarankan untuk mengambil langkah proaktif berikut sebelum menghadiri temuduga:
- Pastikan anda mempunyai pengalaman latihan industri (internship) atau kerja sambilan yang relevan.
- Bina kemahiran teknikal dan digital yang kukuh.
- Dapatkan sijil kelayakan tambahan yang diiktiraf industri.
- Bina profil LinkedIn yang profesional.
- Lakukan kaji selidik tanda aras gaji pasaran sebelum memulakan sesi rundingan (salary negotiation).
Rujukan
Rujukan maklumat diatas diperolehi daripada sumber berikut:
- OpenDOSM Gaji Sektor Formal
- Statistik Siswazah, Jabatan Perangkaan Malaysia (Kemaskini: 31 Oktober 2025)
- Randstad Malaysia Workforce Trends Outlook
- Reeracoen Malaysia Fresh Graduate Salary Guide
Soalan Lazim Gaji Fresh Grad di Malaysia
Secara umumnua, purata gaji permulaan bagi graduan baharu (pemegang Ijazah Sarjana Muda) berada dalam lingkungan RM2,500 hingga RM3,500 sebulan. Walau bagaimanapun, angka ini sangat bergantung kepada industri pilihan dan lokasi negeri tempat bekerja.
Ya, wajib. Ketetapan undang-undang Gaji Minimum RM1,700 sebulan terpakai sebagai gaji minimum untuk semua pekerja sektor formal swasta di Malaysia. Majikan tidak dibenarkan membayar kurang daripada amaun ini, termasuklah kepada pekerja sifar pengalaman atau fresh grad.
– Ijazah Sarjana Muda: Purata gaji bermula sekitar RM3,000 hingga RM3,600+ sebulan bagi jawatan profesional.
– Diploma: Purata gaji bermula sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan, biasanya diletakkan di bawah jawatan sokongan teknikal atau penolong eksekutif.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului dengan unjuran RM3,400 hingga RM3,600 sebulan, diikuti oleh Selangor dan Pulau Pinang. Kawasan-kawasan ini menawarkan kadar premium disebabkan oleh lambakan syarikat multinasional (MNC) dan hab teknologi termaju.
Sektor Teknologi Maklumat (IT/Perisian) seperti AI & Data Analytics, Kejuruteraan Semikonduktor, serta Perkhidmatan Kewangan Korporat menawarkan pampasan tertinggi yang mampu mencecah RM4,000 ke atas untuk kemasukan tahap permulaan (bergantung pada syarikat, lokasi dll).




