Advertisements

Johor Akan Kaji Semula Cuti Hujung Minggu – Menteri Besar

Advertisements

Kerajaan Johor akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri itu.

Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor berkata pihaknya akan mengkaji semula perkara itu supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.

Penetapan hari cuti minggu yang kini dilaksanakan pada setiap Jumaat dan Sabtu dilaksanakan sejak tahun 2014.

Prihatin Dengan Keluhan Rakyat Negeri Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu juga bagi menimbang semula permintaan rakyat khususnya ibu bapa daripada kalangan penjawat swasta yang seringkali tidak mempunyai masa bersama anak-anak mereka.

“Mendengar keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu berbeza untuk kerajaan dan swasta, kerajaan Johor akan mengkaji semula perkara ini (penetapan cuti hujung minggu).

“Ia agar ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama, saya akan umumkan selepas mendapat kaedah paling tuntas bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Menteri Besar Johor 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, pada Selasa.

Bantuan Voucher Shopee Sehingga RM500 Untuk Pembaca eCentral Daftar Sekarang!

Baca juga: Bantuan Kasih Bangsa Johor 2022: Senarai Bantuan Tunai & Insentif Untuk Rakyat Johor

Cuti Hujung Minggu Jumaat-Sabtu Dilaksana Mulai 2014

Pada 23 November 2013, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan pertukaran cuti minggu negeri Johor kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuat kuasa pada 1 Januari 2014.

Baginda bertitah, pertukaran cuti berkenaan bagi menghormati hari Jumaat sebagai penghulu segala hari serta memudahkan umat Islam lelaki untuk mengerjakan solat Jumaat.

Keputusan itu juga dibuat selaras dengan negeri Johor yang paling awal mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam amanatnya juga menggesa penjawat awam terutama ketua jabatan agar kerap mengambil pendekatan ‘turun padang’ bagi menyelami masalah rakyat.

“Saya menyeru kepada semua ketua jabatan persekutuan, negeri dan daerah untuk kerap turun padang untuk melihat sendiri masalah serta tekanan dihadapi rakyat. Empati dengan meletakkan diri sendiri sebagai pengguna.

“Kita perlu serius dan mengubah cara kerja dengan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam supaya pelabur lebih tertarik untuk ke sini,” katanya.

Sumber: Astro Radio News, BERNAMA via Astro Awani

Baca juga: eRumah Johor: Cara Permohonan Rumah Mampu Milik Johor Online

Leave a Comment