Buah Naga: 9 Manfaat Kepada Kesihatan Seluruh Tubuh Badan

Buah naga merupakan buah-buahan tropikal yang cukup popular di negara kita. Ia sering dikenali dengan kulit yang menyerupai ‘sisik naga’ dengan bentuk seakan kaktus besar.

Walaupun terdapat dua jenis buah naga yang sering berada di pasaran iaitu merah dan putih, namun kedua-duanya mempunyai kandungan khasiat yang hampir serupa.  

Buah naga berwarna merah pula mempunyai manfaat karotenoid iaitu lycopene yang memberikannya warna merah jambu terang.

Selain itu, buah ini juga kaya dengan khasiat antioksida yang penting untuk tubuh iaitu betalain dan hydroxycinnamates.

Pada masa yang sama, ia juga padat dengan vitamin dan mineral penting seperti zat besi, vitamin B, vitamin C dan serat.

Tanpa melengahkan masa, ayuh kita kenali kelebihan buah naga untuk kesihatan tubuh.

Baca juga:

Khasiat buah naga untuk kesihatan dalaman dan luaran

Terdapat beberapa manfaat buah naga pada kesihatan tubh badan kita sama ada dalaman dan luaran. Antaranya adalah seperti:

1. Baik Untuk Kecantikan Kulit

Buah naga merupakan sumber antioksida yang baik kerana kandungan vitamin C yang tinggi.

Selain itu, khasiat antioksida yang terkandung di dalamnya juga dapat membantu mengekalkan keanjalan kulit serta mengurangkan tanda penuaan.

Kandungan vitamin B3 dalam buah ini juga mempunyai potensi untuk melembapkan kulit dan meredakan kulit daripada kulit terbakar akibat sinaran matahari.

Untuk nikmati kebaikannya, anda boleh buat masker semulajadi dengan mencampurkan buah naga dengan jus timun dan madu.

2. Berpotensi Mengurangkan Risiko Kanser

Selain untuk kecantikan kulit, khasiat antioksida dalam buah naga iaitu lycopene dan hydroxycinnamates juga dilihat berpotensi untuk menecegah kanser.

Beberapa kajian mendapati bahawa pengambilan makanan mengandungi lycopene dapat mengurangkan risiko beberapa jenis kanser termasuk kanser prostat, kanser payudara dan kanser paru-paru.

3. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Pengambilan buah naga yang kaya dengan betalain, serat dan lycopene juga dipercayai dapat membantu menurunkan paras kolesterol jahat dan sekaligus meningkatkan kolesterol baik.

Selain itu, biji-biji kecil di dalam buah ini juga kaya dengan lemak omega-3 dan omega-9 yang baik untuk kesihatan jantung.

4. Mampu Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Buah yang diperkaya dengan serat ini dikatakan dapat membantu seseorang untuk mengawal peningkatan paras gula.

Sebuah kajian terbitan Jurnal Plus One pula mendapati potensi buah ini dalam melawan rintangan insulin yang merupakan salah satu faktor berlakunya diabetes.

5. Menguatkan Daya Tahan Tubuh

Pengambilan buah ini juga dipercayai dapat meningkatkan kekuatan sistem imun tubuh.

Ini disebabkan oleh kandungan vitamin C dan antioksida yang tinggi pada buah ini yang mampu bertindak sebagai pencegah kerosakan sel serta pelbagai jenis penyakit termasuk batuk dan selsema.

6. Menurunkan Berat Badan

Bagi anda yang sedang berusaha menurunkan berat badan, anda boleh mengambil buah naga sebagai snek harian.

Buah ini dilihat sesuai untuk dinikmati setiap hari kerana kandungan seratnya yang tinggi dan rendah kalori.

Dengan mengamalkan buah-buahan sebegini, seseorang dapat merasa kenyang lebih lama dan anda juga dapat terhindar daripada craving makanan yang tidak sihat.

buah naga

7. Baik Untuk Sistem Penghadaman

Seperti yang kita tahu, pengambilan makanan tinggi serat boleh membantu seseorang untuk mencegah sembelit dan melancarkan sistem penghadaman.

Selain itu, buah naga juga mampu meningkatkan kesihatan sistem pencernaan kerana ia mengandungi oligosakarida, iaitu salah satu jenis prebiotik yang baik untuk perut.

8. Mengekalkan Kesihatan Tulang

Buah naga mempunyai pelbagai vitamin penting untuk kesihatan tulang seperti magnesium, kalsium dan fosforus.

Secawan buah ini juga mampu membekalkan 89mg magnesium  iaitu 22% daripada keperluan magnesium seharian.

Kandungan antioksida dalam buah ini juga didapati berpotensi untuk membantu menghalang keradangan sendi atau arthritis.

9. Baik Untuk Ibu hamil

Ibu hamil mampu mendapatkan pelbagai nutrisi penting daripada buah ini seperti zat besi, vitamin C, vitamin B dan kalsium.

Seperti yang kita tahu, zat besi dapat membantu penghasilan sel darah merah bagi mengelakkan anemia dan melancarkan peredaran oksigen ke kandungan, vitamin C dan kalsium dapat menguatkan tulang serta gigi dan vitamin B pula penting untuk menjamin perkembangan bayi secara sihat.

Kandungan serat dalam buah ini pula dapat membantu mengatasi sembelit yang dialami oleh ibu hamil.

buah naga

Tak sangka begitu banyak manfaat buah naga untuk kesihatan dalaman dan luaran tubuh.

Selain dimakan terus, ia juga boleh diolah menjadi jus, smoothies atau sebagai ramuan dalam oat dan salad.

Ia juga sesuai untuk diamalkan oleh semua kerana padat dengan pelbagai nutrisi penting seperti vitamin B, vitamin C, zat besi, antioksida dan serat.

Sumber:

  1. Dragon Fruit Nutrition Facts and Health Benefits. Verywell Fit
  2. Dragon Fruit Benefits Backed By Science. Medical News Today
  3. Khasiat Buah Naga, Untuk Melembutkan Rambut Kering? My Sihat
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!