Zikir Hari Khamis & Fadhilat Membacanya

Zikir Hari Khamis & Fadhilat Membacanya

Dari segi bahasa zikir bermaksud mengingati. Sementara dari segi istilah pula zikir  bermaksud mengingati Allah s.w.t. bilamana dan di mana sahaja berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau dengan hati.

Zikir terbahagi kepada dua sama ada qalbi (dalam hati) atau lisani (iaitu pada lafaz lidah). 

Imam Nawawi rahimahullah menjelaskan, zikir yang terbaik adalah yang dilakukan bersama; hati dan lisan. Di antara zikir dengan hati dan zikir dengan lisan, zikir dengan hati adalah lebih baik.

Zikir Hari Khamis & Fadhilat Membacanya

Salah satu zikir yang mudah untuk diamalkan dalam kehidupan seharian ialah Zikir Harian Imam Al Ghazali. 

Untuk pengetahuan anda, Zikir Harian Imam Al Ghazali ini adalah merupakan amalan yang dilakukan oleh Imam Al Ghazali semasa hayatnya. Ia merangkumi bacaan zikir untuk setiap hari, Isnin hingga Ahad. 

Pada artikel kali ini, kami akan kongsikan Zikir Hari Khamis serta kebaikan mengamalkannya untuk rujukan anda. 

BACA JUGA: Zikir Hari Rabu & Fadhilat Bila Membacanya

Zikir Hari Khamis – Tasbih

Subhanallah wa bihamdihi subhanallahil ‘adzim

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang Maha Besar dan segala puji bagi Nya.”

Huraian – Tuntutan Bertasbih Kepada Allah

Terdapat ayat Al-Quran mahupun hadis yang menyatakan tuntutan dan kepentingan bertasbih kepada Allah, antaranya:

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

وَاذْكُر رَّبَّكَ كَثِيرًا وَسَبِّحْ بِالْعَشِيِّ وَالْإِبْكَارِ

Maksudnya: “Dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan sembahyang), pada waktu malam dan pada waktu pagi.”

(Surah Ali Imran: 41)

Selain itu, dalam sebuah hadis juga Rasulullah SAW bersabda: 

“Wahai para wanita mukminah, kalian harus rajin bertasbih, bertahlil dan mensucikan nama ALLAH. Janganlah kalian lalai sehingga melupakan rahmat. Hitunglah dengan jari-jari kalian kerana semua jari itu akan ditanya dan diminta untuk bicara (ditanya pada hari akhirat kelak).” 

(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan al-Tirmizi). 

Maksud Tasbih

Dari segi istilah, kata `tasbih’ bermaksud mengakui Allah SWT Maha Suci daripada sifat kekurangan atau sifat yang tidak layak bagi- Nya. 

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah (209 H/ 824 M- 273 H 887 M), kalimat atau bacaan tasbih (subhanallah) termasuk satu daripada empat bacaan yang paling disukai oleh Allah SWT.

Fadhilat/ Kebaikan

Terdapat banyak fadhilat mengucapkan tasbih kepada Allah, antaranya ialah:

1. Merupakan Kalimah Yang Paling Dikasihi Di Sisi Allah Swt Dan Berat Di Atas Timbangan

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ، خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ، ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: Dua kalimah yang dicintai al-Rahman. Ia ringan di atas lidah. Ia berat di atas timbangan: ‘ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ ، سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ’ (Maha Suci Allah, pujian untukNya, Maha Suci Allah yang Maha Agung.)

Riwayat al-Bukhari (7031)

2. Dihapuskan Dosa Meskipun Seperti Buih di Lautan

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، حُطَّتْ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa mengucapkan  “سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِه” (Maha Suci Allah (dari segala kekurangan), (dan aku sertakan sekali) pujian-pujianku terhadap-Nya) seratus kali dalam sehari, (maka) akan dihapuskan kesalahan-kesalahannya, meskipun seperti buih-buih lautan.”

Riwayat al-Bukhari (6405)

3. Diberikan Ganjaran 1000 Kebaikan dan Dihapuskan 1000 Kesalahan

Daripada Sa’d bin Abi Waqqas R.A, katanya:

كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَكْسِبَ، كُلَّ يَوْمٍ أَلْفَ حَسَنَةٍ؟» فَسَأَلَهُ سَائِلٌ مِنْ جُلَسَائِهِ: كَيْفَ يَكْسِبُ أَحَدُنَا أَلْفَ حَسَنَةٍ؟ قَالَ: «يُسَبِّحُ مِائَةَ تَسْبِيحَةٍ، فَيُكْتَبُ لَهُ أَلْفُ حَسَنَةٍ، أَوْ يُحَطُّ عَنْهُ أَلْفُ خَطِيئَةٍ»

Maksudnya: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, Baginda pun bersabda: “Apakah seseorang daripada kamu tidak mampu untuk meraih 1000 kebaikan setiap hari?” Salah seorang yang berada di situ bertanya: “Bagaimana seseorang dari kami boleh meraih kebaikan sebanyak 1000 itu?” Baginda menjawab: “Dengan bertasbih 100 kali, maka dicatat baginya 1000 kebaikan atau akan dihapuskan baginya 1000 kesalahan.”

Riwayat Muslim (2698)

Sumber:

  1. #2204: Kelebihan Zikir Tasbih (سُبْحَانَ الله) – Maktabah Al Bakri
  2. #4962: Kelebihan Tasbih Tahmid dan Takbir Setelah Solat – Maktabah Al Bakri
  3. Tasbih – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!