PICKIDS: Pelanjutan Tarikh Akhir Vaksin Kanak-kanak Hingga 31 Mei Ini

PICKIDS : Tarikh Akhir Dos 1 Vaksin Kanak-kanak 31 Mei Ini

Mengambil kira Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin dan penutupan PPV, tarikh pemberian vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dilanjutkan hingga 30 Mei 2022.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan 1 Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tarikh akhir ditetapkan pada 15 Mei oleh mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin yang tinggi.

“Bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang, penetapan tarikh akhir dos satu ini perlu dibuat.

Walaubagaimanapun, tarikh akhir pendaftaran atas talian dikekalkan pada 8 Mei 2022, dan tempahan janjitemu tidak akan diterima lagi selepas tarikh itu.

“Selepas tarikh ini, vaksin Covid-19 kanak-kanak jenis Comirnaty tidak lagi ditawarkan di mana-mana fasiliti kesihatan awam dan swasta di Malaysia. Vaksin Coronavac pula hanya boleh diperolehi dengan bayaran di fasiliti swasta,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan ini tidak melibatkan vaksinasi bagi kanak-kanak yang lahir pada 2017 dan belum mencapai usia lima tahun pada 15 Mei ini, sementara perincian mengenai vaksinasi kumpulan ini akan diperjelas dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya mesyuarat CITF-C turut bersetuju membuat pindaan pada Borang Persetujuan Suntikan Vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak bawah 18 tahun di mana borang baharu ini tidak lagi mempunyai klausa 2, iaitu ayat “Saya bertanggungjawab ke atas risiko yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak akibat keputusan/tindakan saya ini kerana manfaat vaksin adalah jauh lebih baik daripada kesan sampingannya”.

“Pengguguran klausa ini bertujuan mengelakkan kekeliruan dan menzahirkan amalan sedia ada yang mana KKM tidak pernah mengabaikan dan sentiasa bersedia menyediakan bantuan kesihatan sewajarnya apabila berlaku kesan sampingan yang berkaitan akibat penerimaan vaksin,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata ibu bapa yang telah mendaftarkan anak di aplikasi MySejahtera, namun masih belum disuntik akan dihubungi petugas kesihatan sama ada melalui telefon, media sosial atau lawatan ke rumah bagi menawarkan vaksinasi Covid-19 kepada anak-anak mereka.

“Ibu bapa yang bersetuju akan diberikan tarikh janji temu sebelum tarikh akhir dos pertama. Ibu bapa yang belum mendaftarkan anak mereka dalam MySejahtera pula boleh berbuat sedemikian selewat-lewatnya 8 Mei ini bagi membolehkan pautan kepada janji temu dapat diberikan sebelum tarikh akhir dos pertama.

Saya menyeru ibu bapa yang masih belum membuat keputusan untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan vaksin secara percuma melalui PICKids sebelum tarikh akhir. Pilihlah untuk vaksinkan anak anda bagi mengelakkan komplikasi jangkitan Covid-19 yang teruk,” katanya.

Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang Program Vaksinasi Kanak-kanak 5 Hingga 11 Tahun (PICKIDS).

Program Vaksinasi Kanak-kanak 5-11 Tahun (PICKIDS)

Kerajaan telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 bagi kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun bermula 3 Februari ini (PICKIDS).

Program vaksinasi tersebut dilaksanakan melihat kepada keperluan untuk melindungi populasi kanak-kanak, susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan golongan tersebut mutakhir ini.

Vaksin Comirnaty (Pfizer) dengan formulasi kanak-kanak adalah vaksin yang diberi keutamaan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Siapakah Yang Layak?

  • Kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun disarankan untuk menerima vaksin Covid-19.
  • Keutamaan diberikan kepada kanak-kanak yang mempunyai komorbid dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk.
Pickids

Siapakah Yang Tidak Layak?

  • Sejarah reaksi alahan teruk atau sejarah anafilaksis terhadap
    • Ubat, makanan, atau bahan yang tidak diketahui
    • Sebarang reaksi atau alahan dalam masa 72 jam terhadap dos vaksin pertama atau mana-mana kandungan vaksin Covid-19

Tarikh Pendaftaran

Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera dibuka hingga 8 Mei 2022.

Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggunggan dalam aplikasi MySejahtera mereka.

  • Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih.
  • Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022, tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.
  • Ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.
  • Bagaimanapun ibu bapa dalam kategori (b) dan (c) masih boleh membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara walk-in di Klinik Kesihatan KKM sehingga 31 Mei 2022.

Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin COVID-19 secara percuma di bawah PICKIDS. Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta.

Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei 2022 kerana mereka dijangkiti COVID-19.

Mengambil kira komplikasi MIS-C yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke Klinik Kesihatan dalam tempoh 6 minggu selepas sembuh dari jangkitan atau selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2022.

Untuk makluman ibu bapa juga, pemakluman ini TIDAK TERPAKAI bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia 5 tahun pada atau selepas 31 Mei 2022.

Sejauh Mana Keselamatan Dan Keberkesanan Vaksin Covid-19 Kepada Kanak-kanak?

Untuk makluman, kanak-kanak akan menerima kuantiti dos yang lebih rendah, iaitu 1/3 daripada dos uang diberikan kepada individu berumur 12 tahun ke atas.

Ujian klinikal menunjukkan pengurangan 90% kemungkinan mendapat jangkitan bergejala di kalangan kanak-kanak yang telah divaksin.

Kesan sampingan yang biasa secara amnya adalah ringan dan sederhana.

Pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat penyakit serius atau mengalami komplikasi jangka masa panjang akibat jangkitan Covid-19.

Cara Pendaftaran PICKIDS

Untuk mendaftar, sila ikuti 3 langkah berikut:

  1. Buka aplikasi MySejahtera
  2. Klik pada menu ‘COVID19 Vaccination
  3. Pilih tab ‘Add Vaccine Dependent
  4. Isikan nama dan maklumat anak sebagai dependent anda.
  5. Sahkan pendaftaran dan jawab soalan untuk mengesahkan pendaftaran.

*Perlu diingat bahawa setiap anak hanya boleh didaftarkan pada 1 akaun MySejahtera sahaja.

Pickids
Pickids
Pickids

Pengguna aplikasi MySejahtera perlu mengemas kini tarikh lahir tanggungan untuk mendapatkan pautan janji temu vaksinasi tanggungan.

Untuk langkah mengemas kini tarikh lahir tanggungan, sila rujuk infografik ini.

Vaksin COVID19 Yang Diluluskan Untuk Kanak-kanak 5-11 Tahun

Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ini telah memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-386 yang telah bersidang pada 6 Januari 2022 bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi produk vaksin Pfizer (COMIRNATY) untuk kanak-kanak.

KKM dalam sebuah sidang media tersebut menjelaskan bahawa vaksin yang diluluskan untuk kanak-kanak bawah 12 tahun adalah seperti berikut:

COMIRNATY 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection

Merupakan vaksin COMIRNATY yang diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin COMIRNATY yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Infografik oleh BERNAMA

COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection

Merupakan vaksin COMIRNATY dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada (1 bulan) apabila disimpan pada suhu 2°C hingga 8°C setelah dinyahbeku.

Indikasi COMIRNATY (Tris/Sucrose) 30 mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Untuk makluman, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin di atas adalah Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.

CORONAVAC (SINOVAC)

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pemberian vaksin berkenaan hanya akan diberikan kepada kanak-kanak yang tidak boleh menerima vaksin Comirnaty (Pfizer) atas faktor kesihatan.

Vaksin Sinovac ini hanya boleh diberi apabila kanak-kanak mencapai usia lima tahun pada tarikh lahir dan bagi mendapatkan status vaksinasi lengkap, dua dos vaksin Sinovac akan diberikan kepada kanak-kanak lima hingga 11 tahun dengan selang masa empat minggu.

Baca juga:

Adakah vaksin Covid19 ini diwajibkan buat kanak-kanak?

Buat masa ini, PICKIDS tidak diwajibkan untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, tiada sekatan akan dikenakan kepada kanak-kanak yang tidak divaksin.

Sumber: KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM), BERNAMA

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!