PELAKSANAAN UJIAN STANDARD KECERGASAN FIZIKAL KEBANGSAAN (SEGAK)
Pelaksanaan Ujian SEGAK sebanyak 2 kali setahun adalah sejajar dengan hasrat KPM memastikan murid sentiasa aktif melakukan aktiviti fizikal untuk meningkatkan dan mengekalkan kecergasan fizikal bagi mendapatkan kesihatan diri yang optimum.
Berikut dikongsikan lebih lanjut tentang pelaksanaan ujian ini di peringkat sekolah-sekolah KPM seluruh Malaysia.
Apakah Ujian SEGAK?
Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan.
Komponen kecergasan dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan sekolah menengah.
Menurut Corbin dan Lindsey (2006), kecergasan adalah keupayaan sistem badan bekerja dengan efisien bagi membolehkan seseorang itu sihat dan dapat melaksanakan aktiviti dalam kehidupan seharian.
Komponen Kecergasan berdasarkan kesihatan terdiri daripada daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti, dan komposisi badan.
Tahap kecergasan berdasarkan kesihatan yang tinggi memberi
faedah kepada seseorang itu memiliki kesihatan yang baik, bertenaga, dan mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dengan berkesan.
Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1986 hingga kini menunjukkan kadar peningkatan peratus rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit, dan obesiti adalah amat membimbangkan.
Masyarakat Malaysia perlu mengubah cara hidup sedentari kepada cara hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada
meningkatkan tahap kecergasan fizikal.
Kecergasan fizikal yang optimum boleh membantu seseorang itu melaksanakan aktiviti harian dengan aktif tanpa berasa letih.
Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang di sekolah perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur dan norma yang ditetapkan.
Pada tahun 2008 SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun.
SEGAK dilaksanakan secara pentaksiran sekolah dan skor murid direkodkan.
Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid.
Melalui maklum balas tersebut tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid.
SEGAK yang dijalankan secara sistematik wajib dijalankan dua kali
setahun diharap dapat memotivasikan murid untuk mengamalkan cara hidup aktif dan sihat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Melalui SEGAK murid dilatih supaya lebih bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu, dan harmoni ke arah mencapai kesejahteraan negara.
Pelaksanaan Ujian SEGAK
Semua murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun
hingga 17 tahun WAJIB menjalani Ujian Kecergasan Fizikal yang
dicadangkan dalam panduan ini.
- Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut jantina, keupayaan murid, dan mengambil kira peralatan serta tempat ujian dijalankan.
- Umur murid dikira pada 31 Disember tahun semasa untuk rujukan norma.
- Ujian SEGAK bagi setiap murid mesti dilengkapkan pada HARI YANG SAMA. Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani bergantung kepada bilangan murid dan peralatan.
- Murid digalakkan membuat latihan ujian SEGAK secara individu, bersama-sama rakan atau keluarga mereka.
- Bateri Ujian Kecergasan Fizikal Berdasarkan Kesihatan yang terdapat dalam SEGAK adalah seperti berikut:
- Indeks Jisim Badan (Body Mass Index – BMI);
- Naik Turun Bangku 3 minit;
- Tekan Tubi untuk murid lelaki dan Tekan Tubi Ubah Suai untuk murid perempuan;
- Ringkuk Tubi Separa; dan
- Jangkauan Melunjur.
- Ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) perlu dibuat SEBELUM melakukan ujian-ujian lain.
- Ujian SEGAK mesti dilaksanakan mengikut TURUTAN SECARA
BERTERUSAN oleh murid yang sama seperti turutan. - SEGAK perlu dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.
- Bagi murid yang tidak sihat, ujian SEGAK boleh dilakukan pada hari lain dalam bulan yang sama.
- Bagi murid berkeperluan khas TIDAK perlu menjalani ujian SEGAK kerana ujian ini adalah khusus untuk murid-murid normal.
5 Komponen Yang Dilaksanakan
SEGAK adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan.
Komponen kecergasan fizikal yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan menengah.
Bateri ujian SEGAK juga mempunyai norma berdasarkan murid sekolah di Malaysia mengikut umur dan jantina.
Berikut adalah 5 komponen yang akan direkodkan dalam ujian ini:
1. Ukur Tinggi & Berat – BMI
2. Naik Turun Bangku – Daya Tahan Sistem Kardiovaskular
3. Tekan Tubi / Tekan Tubi Suaian – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Tangan
4. Bangkit Ringkuk Separa – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Abdomen
5. Jangkau Melunjur – Kelenturan / Fleksibiliti Tubuh
Tarikh Ujian SEGAK KPM 2023 / Lampiran / Surat Edaran KPM (2023)
1. Ujian SEGAK Pertama dijalankan bermula 8 Mei 2023 sehingga 28 Jun 2023.
2. Manakala Ujian Kedua dijalankan bermula 2 Oktober 2023 hingga 30 November 2023.
3. Kemaskini data iaitu dengan kunci masuk data dan pengesahan data mestilah mengikut tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.
4. Pihak sekolah perlu melaksanakan Ujian ini dengan mematuhi prosedur Buku Panduan SEGAK 2016 dan Buku Panduan BMI 5-9T 2022. (Rujuk lampiran di bawah)
Surat edaran di bawah:
BUKU PANDUAN SEGAK 2016
Buku Panduan BMI 5-9T 2022
MUAT TURUN : http://bpk.moe.gov.my/images/2022/Document/Buku_Panduan_Standard_Pengukuran_BMI_untuk_Murid_Sekolah_Malaysia_5-9T.pdf
Kaedah pelaksanaan UjianSEGAK Norma Baharu dalam bentuk video boleh dilayari melalui link Youtube berikut : https://youtu.be/V3SKk9stuDM