Ujian SEGAK KPM (Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan)

UJIAN SEGAK KPM
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Ujian SEGAK KPM ialah inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menilai tahap kecergasan fizikal murid secara berkala. Pelaksanaannya sebanyak dua kali setahun adalah sejajar dengan hasrat KPM memastikan murid sentiasa aktif melakukan aktiviti fizikal bagi meningkatkan dan mengekalkan kecergasan demi kesihatan yang optimum. Pengisian keputusan boleh direkodkan dalam Sistem Pengurusan IDentiti (idMe).

Berikut dikongsikan maklumat lanjut mengenai pelaksanaan ujian ini di sekolah-sekolah KPM seluruh Malaysia.

Apakah Ujian SEGAK?

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) ialah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal yang dibangunkan bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan aspek kesihatan.

Ujian SEGAK merupakan sebahagian daripada kurikulum Pendidikan Jasmani di sekolah rendah dan sekolah menengah, dan dilaksanakan sebagai pentaksiran sekolah dengan skor murid direkodkan secara sistematik.

Menurut Corbin dan Lindsey (2006), kecergasan ialah keupayaan sistem badan bekerja dengan efisien bagi membolehkan seseorang itu sihat serta mampu melaksanakan aktiviti harian.

Dalam konteks SEGAK, komponen kecergasan berasaskan kesihatan yang diukur merangkumi daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti dan komposisi badan.

Tahap kecergasan yang tinggi memberi banyak faedah seperti tubuh yang lebih sihat, bertenaga dan mampu melakukan aktiviti harian dengan lebih berkesan tanpa mudah berasa letih.

Pelaksanaan SEGAK juga penting berikutan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1986 menunjukkan peningkatan membimbangkan dalam kes penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, masyarakat perlu beralih daripada gaya hidup sedentari kepada gaya hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada peningkatan tahap kecergasan fizikal. Kecergasan yang optimum membantu seseorang menjalani kehidupan harian secara aktif dan produktif.

Sehubungan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang di sekolah perlu dilaksanakan mengikut prosedur dan norma yang ditetapkan. Bermula tahun 2008, SEGAK dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 (berumur 10 hingga 17 tahun).

Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid. Melalui maklum balas ini, tindakan susulan boleh dirancang bagi meningkatkan tahap kecergasan mereka.

SEGAK yang dijalankan secara sistematik dan wajib dilaksanakan dua kali setahun diharapkan dapat memotivasikan murid untuk mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Secara tidak langsung, murid dilatih menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu dan harmoni ke arah kesejahteraan negara.

Pelaksanaan Ujian SEGAK

Semua murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun WAJIB menjalani Ujian Kecergasan Fizikal yang dicadangkan dalam panduan ini.

  1. Prosedur dan teknik ujian hendaklah mengikut jantina, keupayaan murid, dan mengambil kira peralatan serta tempat ujian dijalankan.
  2. Umur murid dikira pada 31 Disember tahun semasa untuk rujukan norma.
  3. Ujian SEGAK bagi setiap murid mesti dilengkapkan pada HARI YANG SAMA. Ujian ini boleh dijalankan semasa atau di luar waktu pengajaran Pendidikan Jasmani bergantung kepada bilangan murid dan peralatan.
  4. Murid digalakkan membuat latihan ujian SEGAK secara individu, bersama-sama rakan atau keluarga mereka.
  5. Bateri Ujian Kecergasan Fizikal Berdasarkan Kesihatan yang terdapat dalam SEGAK adalah seperti berikut:
    • Indeks Jisim Badan (Body Mass Index – BMI);
    • Naik Turun Bangku 3 minit;
    • Tekan Tubi untuk murid lelaki dan Tekan Tubi Ubah Suai untuk murid perempuan;
    • Ringkuk Tubi Separa; dan
    • Jangkauan Melunjur.
  6. Ukuran Indeks Jisim Badan (BMI) perlu dibuat SEBELUM melakukan ujian-ujian lain.
  7. Ujian SEGAK mesti dilaksanakan mengikut TURUTAN SECARA
    BERTERUSAN oleh murid yang sama seperti turutan.
  8. SEGAK perlu dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.
  9. Bagi murid yang tidak sihat, ujian SEGAK boleh dilakukan pada hari lain dalam bulan yang sama.
  10. Bagi murid berkeperluan khas TIDAK perlu menjalani ujian SEGAK kerana ujian ini adalah khusus untuk murid-murid normal.

5 Komponen Yang Dilaksanakan

SEGAK adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan.

Komponen kecergasan fizikal yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan menengah. Bateri ujian SEGAK juga mempunyai norma berdasarkan murid sekolah di Malaysia mengikut umur dan jantina.

Berikut adalah 5 komponen yang akan direkodkan dalam ujian ini:

1. Ukur Tinggi & Berat – BMI

2. Naik Turun Bangku – Daya Tahan Sistem Kardiovaskular

3. Tekan Tubi / Tekan Tubi Suaian – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Tangan

4. Bangkit Ringkuk Separa – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Abdomen

5. Jangkau Melunjur – Kelenturan / Fleksibiliti Tubuh

Sumber gambar : Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Zon R10 -Rasmi

Tarikh Ujian SEGAK KPM 2026 / Lampiran / Surat Edaran KPM (2026)

1. Ujian SEGAK Pertama dijalankan bermula 6 April 2026 hingga 22 Mei 2026. Tempoh key-in dan pengesahan adalah pada 6 April hingga 30 Jun 2026.

2. Manakala Ujian Kedua dijalankan bermula 7 September 2026 hingga 30 Oktober 2026. Tempoh key-in dan pengesahan adalah pada 7 September hingga 30 November 2026.

3. Kemaskini data iaitu dengan kunci masuk data dan pengesahan data mestilah mengikut tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

4. Pihak sekolah perlu melaksanakan Ujian ini dengan mematuhi prosedur Buku Panduan SEGAK 2016 dan Buku Panduan BMI 5-9T 2022. (Rujuk lampiran di bawah)

Surat edaran di bawah:

BUKU PANDUAN SEGAK 2016

Buku Panduan BMI 5-9T 2022

Kaedah pelaksanaan UjianSEGAK Norma Baharu dalam bentuk video boleh dilayari melalui link Youtube berikut : https://youtu.be/V3SKk9stuDM

Maklumat Lanjut

Jika terdapat sebarang aduan teknikal atau pertanyaan berkaitan pengisian keputusan Ujian SEGAK dan BMI 5-9T dalamSPPB KPM Modul SEGAK & BMI 5-9T, anda boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) melalui pautan https://isd.moe.gov.my/.

Atau hubungi nombor telifon berikut:

  • Cik Kamariah binti Mohd Yassin : 03-88842044
  • Puan Nur Haswani binti Mazlan : 03-88842295

Soalan Lazim – Ujian SEGAK KPM

1. Apa itu Ujian SEGAK?

Ujian SEGAK adalah ujian kecergasan yang digunakan di sekolah-sekolah Malaysia untuk mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan beberapa komponen seperti BMI dan ujian fizikal.

2. Apa yang perlu murid lakukan untuk bersedia untuk Ujian SEGAK?

Murid perlu melakukan latihan kecergasan seperti tekan tubi, sit-ups, dan latihan jangkauan badan secara rutin sebelum ujian, di samping menjaga pemakanan dan tahap hidrasi mereka.

3. Bagaimana cara untuk meningkatkan skor dalam Ujian SEGAK?

Peningkatan skor boleh dicapai dengan melakukan latihan yang kerap, mendapatkan cukup rehat, dan memastikan pemakanan yang sihat. Fokus pada teknik yang betul dalam setiap komponen ujian.

4. Berapa kerap murid perlu berlatih untuk ujian ini?

Latihan 2–3 kali seminggu sudah memadai untuk membantu murid bersedia. Jika lebih banyak masa diberikan, ia akan memberi kesan positif kepada kecergasan fizikal mereka.

5. Apa yang perlu dilakukan sekiranya murid tidak lulus ujian?

Guru boleh memberi maklum balas konstruktif dan membantu murid mengenal pasti area yang perlu diperbaiki. Sokongan berterusan dari guru dan ibu bapa sangat penting.

Baca juga:

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut