Selawat Tafrijiyyah (Allahumma Solli Solatan) : Rumi & Maksud

Selawat Tafrijiyyah atau selawat yang bermula dengan Allahumma solli solatan merupakan satu selawat sughra (kecil) yang jika diamalkan, dengan izin ALLAH S.W.T, rezekinya akan bertambah, dan akan diberikan segala jalan penyelesaian untuk masalah individu tersebut.

Untuk mengetahui lebih lagi tentang selawat ini dan kebaikan yang bakal anda peroleh apabila anda mengamalkannya, pastikan anda bersama kami sehingga ke penghujung artikel ini.

Apa itu Selawat Tafrijiyyah?


Perkataan “Selawat” itu merupakan sebuah perkataan yang dibentuk dari perkataan “Solat” yang membawa maksud doa atau pujian. Selawat ini telah ditakrifkan sebagai “doa kesejahteraan ke atas Nabi” oleh Kamus Dewan Edisi Keempat.

Antara selawat yang boleh diamalkan oleh orang Islam ialah selawat Tafrijiyyah yang dikenali juga sebagai Selawat Nariah. Selawat ini merupakan satu selawat yang disusun oleh para ulama yang bersumber dari ijtihad atau ilham ruhi dari Allah SWT.

Selawat ini juga merupakan antara salah satu selawat yang sangat disarankan untuk diamalkan oleh umat Islam. Hal ini demikian kerana, selawat ini membantu dalam menghilangkan kesempitan hidup dengan izin Allah S.W.T

Tegasnya, ibadah selawat ini sangatlah digalakkan dan dituntut untuk dilakukan oleh umat Islam. Melalui ibadah ini, kita telah mendoakan kesejahteraan ke atas junjungan besar Rasulullah S.A.W dan dalam masa yang sama kita turut memperoleh pahala ibadah dan kebaikan lain daripadanya.

Panduan Bacaan Rumi & Maksud

اَللّٰهُمَّ صَلِّ صَلَاةً كَامِلَةً
وَسَلِّمْ سَلَامًا
تَامًّا عَلىٰ سَيِّدِنَا مُحَــمَّدِ نِ الَّذِيْ
تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ

وَتُقْضٰى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ
وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ
بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلىٰ اٰلِهِ
وِصَحْبِهِ فِيْ كُلِّ لَمْحَةٍ وَ نَفَسٍ
بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

allahumma solli solatan selawat tafrijiyyah

Allahumma solli solatan kamilatan,
Wasalim sallaman taammaa,
A’laa saidina muhammadinil lazi tanhallubihil u’kadu,
Watanfariju bihil kurobu,
Watuqdho bihil hawa iju,
Watunaalu bihirro gha’ ib-u
Wahusnu khawaa timi,
Wayustasqol ghomaamu,
Biwajhihil karim,
Wa ala alihi wasah bihi,
fi kulli lamhatim wanafasim,
Bi’ adadi kulli mak’lu mim lakh..

MAKSUD SELAWAT:

Ya Allah, limpahkanlah selawat dengan selawat yang menyeluruh dan kurniakanlah salam dengan salam yang sempurna ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad yang dengannya (selawat itu) dapat merungkai segala ikatan, melepaskan segala kesukaran, melunaskan segala hajat, tercapai segala perkara yang diingini dan kematian yang baik, serta diturunkan hujan (yang menjadi rahmat) disebabkan wajahnya yang mulia.

(Begitu juga selawat dan salam ini diberikan) ke atas ahli keluarga Baginda, para sahabatnya di dalam setiap kerdipan mata dan nafas dengan setiap bilangan yang diketahui olehMu.

Kebaikan Selawat

Sebagai umat Islam kita sangat digalakkan untuk sentiasa berselawat. Hal ini demikian kerana, kelebihan dan faedah yang diperoleh jika kita sentiasa berselawat adalah sangat tinggi.

Bagi Selawat Tafrijiyyah ini, kebaikan yang diterima jika kita mengamalkannya juga adalah melimpah ruah. Berikut merupakan antara kebaikan yang bakal diterima bagi pengamal selawat ini:

  1. Allah akan melenyapkan kesedihan, kesulitan serta bahaya yang menimpa dirinya.
  2. Allah akan memudahkan segala urusan hidupnya.
  3. Dipancarkan nur (cahaya) dalam hatinya juga ditinggikan martabatnya.
  4. Suaranya didengari serta pandangan dan pendapatnya diterima ramai
  5. Dia dilindungi daripada segala bencana dan malapetaka.
  6. Dia sentiasa dicintai oleh semua orang.
  7. Segala yang dihajati akan dimakbulkan Allah.
  8. Dimurahkan rezekinya, dijauhkan daripada kelaparan dan kemiskinan.

Video Selawat Tafrijiyyah

Bagi anda yang menginginkan panduan pembacaan selawat tafrijiyyah yang lebih jelas anda boleh tonton video yang disediakan BAZLI CHANNEL di bawah ini:

Diharapkan melalui artikel ini, penjelasan berkenaan apa itu selawat tafrijiyah ini dapat difahami oleh pembaca, dan seterusnya membantu anda untuk melakukan amalan sunnah ini.

Anda juga boleh membaca berkenaan selawat lain di artikel berikut: Selawat Nabi Muhammad S.A.W & Makna Selawat

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!