Residensi MADANI (2026) – Syarat Kelayakan & Cara Mohon

residensi madani
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Residensi MADANI 2026 menjadi antara inisiatif perumahan mampu milik yang ditawarkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri di Wilayah Persekutuan. Permohonan boleh dibuat di pautan rasmi ini: https://residensimadani.jwp.gov.my/

Artikel ini akan menerangkan syarat kelayakan, harga rumah serta cara membuat permohonan Residensi MADANI terkini.

Apa itu Residensi MADANI

Residensi MADANI ialah inisiatif perumahan mampu milik terkini yang diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan memiliki kediaman sendiri.

Inisiatif ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapatkan rumah pada harga lebih mampu milik demi meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup.

Melalui Residensi MADANI, rumah ditawarkan pada harga sehingga RM200,000 seunit dengan keluasan minimum 750 kaki persegi bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa dan mampu dimiliki

Siapa yang Layak Memohon?

Berikut merupakan kriteria asas untuk menjadi pemilik kediaman RESIDENSI MADANI. Untuk mengetahui jika anda layak memohon, sila lihat maklumat di bawah:

  1. Pemohon mestilah Warganegara Malaysia berumur sekurang-kurangnya 18 tahun ketika permohonan dibuat. Jika berkahwin, pasangan juga hendaklah warganegara Malaysia.;
  2. Pendapatan kasar isi rumah permohon hendaklah tidak lebih daripada RM8,000 sebulan;
  3. Pemohon mestilah lahir atau bekerja atau pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan;
  4. Permohonan rumah pertama sahaja.
  5. Sekatan penjualan (moratorium) selama 10 tahun dikenakan di mana rumah yang dibeli tidak boleh dipindahmilik atau dijual tanpa kebenaran kerajaan kecuali kepada waris terdekat seperti suami/isteri atau anak-anak sahaja;
  6. Pemohon hendaklah berdaftar di Portal Residensi MADANI.

Garis Panduan Permohonan

  1. Pemohon hendaklah mendaftar akaun dan selepas mendaftar, pemohon hendaklah melengkapkan profil peribadi terlebih dahulu sebelum memohon projek.
  2. Sekiranya anda telah memohon projek Residensi Wilayah (dahulunya di kenali RUMAWIP) anda tidak boleh lagi memohon projek Residensi MADANI.
  3. Untuk semakan status permohonan semasa, pemohon boleh log masuk ke Portal RESIDENSI MADANI.
  4. Keputusan permohonan sama ada Berjaya atau Tidak Berjaya atau Tidak Lengkap setelah disemak oleh Urus Setia akan diemel ke alamat emel pemohon.
  5. Pemohon yang telah berdaftar dan memilih projek DIWAJIBKAN untuk memuatnaik dokumen sokongan dalam portal Residensi MADANI. Dokumen sokongan yang perlu dimuatnaik adalah seperti berikut:

SENARAI SEMAK PEMOHON

  1. Surat Akuan Sumpah
  2. Salinan Kad Pengenalan Pemohon (MyKad)
  3. 3 bulan Penyata Gaji Terkini Pemohon atau penyata bank 3 bulan terkini bagi permohonan tiada slip gaji
  4. Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS)
  5. Surat Pengesahan Majikan Terkini Pemohon atau Sijil Pendaftaran Syarikat bagi yang bekerja sendiri (jika mempunyai syarikat)
  6. Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya
  7. Salinan Kad OKU Pemohon (jika berkaitan)
  8. Salinan Perjanjian Jual Beli Hartanah yang dimiliki / geran (jika berkaitan)

SENARAI SEMAK PASANGAN

  1. Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS)
  2. 3 bulan Penyata Gaji Terkini Pasangan atau penyata bank 3 bulan terkini bagi permohonan tiada slip gaji
  3. Salinan Kad Pengenalan (MyKad) / Pasport Pasangan
  4. Surat Pengesahan Majikan Terkini Pasangan atau surat akuan sumpah sekiranya suami tidak bekerja atau Sijil Pendaftaran Syarikat bagi yang bekerja sendiri (jika mempunyai syarikat)
  5. Sijil Kelahiran / MyKid anak
  6. Salinan Kad OKU Pasangan / Anak (jika berkaitan)
  7. Salinan Surat Nikah / Sijil Perkahwinan / Surat Cerai / Sijil Kematian
  8. Salinan Perjanjian Jual Beli Hartanah yang dimiliki pasangan / geran (jika berkaitan)

SENARAI SEMAK PENAMA KEDUA (SELAIN PASANGAN)

  1. Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS)
  2. Salinan Sijil Kelahiran Pemohon
  3. Salinan Sijil Kelahiran Penama Kedua
  4. Salinan Kad Pengenalan Penama Kedua
  5. 3 bulan Penyata Gaji Terkini Penama Kedua atau penyata bank 3 bulan terkini bagi Penama Kedua tiada slip gaji

Cara Mohon Residensi MADANI

Untuk membuat permohonan Residensi MADANI, anda perlu mengisi secara online di portal rasmi: https://residensimadani.jwp.gov.my/

GARIS PANDUAN RESIDENSI MADANI WILAYAH PERSEKUTUAN

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut berkenaan dengan Residensi MADANI, anda boleh rujuk pada maklumat berikut:

Urus Setia RESIDENSI MADANI
Unit Residensi MADANI,
Bahagian Sosio Ekonomi,
Aras 5, Blok 2,
Menara Seri Wilayah,
Presint 2,
Jabatan Wilayah Persekutuan,
62100 Putrajaya.

Waktu Urusan : Isnin – Jumaat ( 9.30 pagi – 4.30 petang )
Waktu Rehat : Isnin – Khamis ( 1.00 petang – 2.00 petang )
Jumaat ( 12.00 tengahari – 3.00 petang)
Sabtu dan Ahad (Tutup)

PERMOHONAN:
No. Tel: 03-8892 3633 (En. Hilman)
No. Tel: 03-88923634 (Pn. Aizza)Faks: 03-8889 7640
Emel: [email protected]

Soalan Lazim Residensi MADANI

Apakah itu RESIDENSI MADANI?

Ia merupakan rumah mampu milik yang disediakan untuk golongan berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan.

Apakah ciri-ciri utama Residensi MADANI?

Residensi MADANI merupakan program rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan dengan harga jualan sehingga RM200,000 seunit dengan saiz minimum 750 kaki persegi.

Berapakah bilangan Residensi MADANI yang akan dibina?

Dijangka sebanyak 6,000 unit Residensi MADANI dirancang untuk pembinaan yang akan datang di Wilayah Persekutuan dalam tempoh masa lima (5) tahun (2024 –2029).

Apakah jenis rumah dan ditawarkan di bawah Residensi MADANI?

Residensi MADANI menawarkan rumah yang mempunyai tiga (3) bilik tidur, dua (2) bilik air, dapur, ruang tamu, ruang makan dan yard serta dalam bentuk rumah berstrata.

Siapa yang layak memohon Residensi MADANI?

Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ketika permohonan dibuat. Pemohon mestilah lahir atau bekerja atau pengundi berdaftar di Wilayah Persekutuan. Sekiranya telah berkahwin, pasangan juga mestilah warganegara Malaysia. Pendapatan kasar isi rumah adalah tidak melebihi RM8,000 sebulan.

Adakah pemohon yang bujang layak untuk memohon Residensi MADANI?

Ya, layak, asalkan pendapatan isi rumah pemohon RM8,000 sebulan dan ke bawah.

Adakah pesara layak memohon untuk membeli unit Residensi MADANI?

Boleh. Tertakluk kepada syarat dan peraturan yang sedang berkuatkuasa dari semasa ke semasa.

Berapakah bilangan projek yang boleh dipohon oleh pemohon?

Satu permohonan sahaja dibenarkan untuk satu keluarga isi rumah (suami dan isteri) dan permohonan Residensi MADANI adalah untuk rumah pertama sahaja.

Bagaimanakah untuk memohon Residensi MADANI?

Permohonan boleh dibuat secara atas talian (online) di https://residensimadani.jwp.gov.my. Maklumat dokumen sokongan permohon hanya dikemukakan setelah projek sedia untuk dijual dan akan dimaklumkan melalui emel kepada pemohon.

Sekiranya pemohon telah memiliki rumah di Wilayah Persekutuan atau di negeri lain, adalah pemohon masih layak untuk memiliki unit Residensi MADANI?

Tidak layak, kerana Residensi MADANI hanya untuk pemohon yang masih tidak memiliki rumah.

Adakah sebarang pembiayaan disediakan untuk pembelian unit Residensi MADANI?

Pembiayaan adalah urusan pemohon sendiri.

Bolehkah unit Residensi MADANI yang dibeli dan kemudiannya dijual?

Residensi MADANI mensyaratkan sekatan penjualan selama 10 tahun dari tarikh pertama Perjanjian Jual Beli ditandatangani.

Bolehkah dokumen sokongan dihantar melalui alamat emel Residensi MADANI?

Tidak boleh. Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan seperti yang disyaratkan ke dalam Portal Residensi MADANI.

Penyata gaji pemohon yang terkini sebulan sahaja atau 3 bulan untuk dikemukakan kepada pihak Urusetia?

Pemohon perlu mengemukakan penyata gaji bagi 3 bulan terkini.

Bagaimanakah cara untuk melengkapkan Surat Akuan Sumpah?

Pemohon perlu memuat turun surat akaun sumpah dari Portal Residensi MADANI dan perlu ditandatangani di hadapan Hakim/Majistret atau Pesuruhjaya Sumpah.

Bolehkah saya memohon Ketua Kampung atau wakil rakyat membuat pengesahan Surat Akaun Sumpah tersebut?

Pihak Urus Setia Residensi MADANI hanya menerima pengesahan oleh Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret dan Pesuruhjaya Sumpah berdasarkan Akta Akuan Berkanun 1960 sahaja. Mana-mana pengesahan oleh badan atau individu yang tidak dinyatakan adalah tidak diterima.

Bagaimanakah untuk mengetahui status permohonan?

Pemohon boleh menyemak status permohonan melalui akaun pemohon di portal Residensi MADANI.

Bolehkah pemaju membuat sebarang kutipan bagi proses permohonan Residensi MADANI sebelum menandatangani Perjanjian Jual Beli?

Tidak boleh. Tiada sebarang bentuk kutipan wang boleh dilakukan oleh pemaju daripada pemohon termasuklah kutipan yuran komitmen sebelum menandatangani perjanjian jual beli kerana ia bercanggah dengan Peraturan-Peraturan Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1989 bagi melindungi kepentingan pembeli dan pematuhan peraturan di bawah Akta 118. Sebarang aduan berkaitan kutipan bayaran hendaklah dikemukakan terus kepada Sistem Aduan Bersepadu Jabatan Perumahan Negara di laman url: https://kpkt.spab.gov.my/eApps/system/index.do

Berapakah bayaran pertama yang perlu dikemukakan oleh pemohon?

Pemohon yang telah berjaya ditawarkan unit Residensi MADANI perlu mengemukakan bayaran sebanyak 10% daripada harga unit yang ditawarkan kepada pemaju selaras dengan Perjanjian Jual Beli yang ditandatangani antara pembeli dan pemaju untuk urusan jual beli selanjutnya.

Bolehkah saya membatalkan mana-mana permohonan projek Residensi MADANI bagi membolehkan saya memilih projek lain?

Pemohon boleh membatalkan sendiri permohonan untuk memilih projek lain dengan syarat status permohonan adalah Tidak Lengkap/Lengkap. (Sila klik maklumat terperinci di permohonan projek di dashboard kemudian pilih batalkan permohonan).

Jika status permohonan adalah Semakan Urus setia, pemohon perlu mengemukakan emel beserta alasan untuk pembatalan projek ke alamat emel [email protected]. Maklumat yang perlu dikemukakan adalah seperti berikut :
i) Nama penuh;
ii) Nombor Kad Pengenalan;
iii) Projek yang ingin digugurkan; dan
iv) Alasan.

Jika pemohon telah memilih berminat dan mendapat surat tawaran, pemohon perlu berurusan dengan pemaju projek yang telah ditawarkan untuk membatalkan projek yang telah ditawarkan.

Berapa lamakah tempoh sah laku permohonan?

Tempoh sah laku permohonan adalah 12 bulan dari tarikh dokumen sokongan lengkap dimuat naik.

Siapakah yang boleh dijadikan sebagai Penama Kedua?

Pemohon dibenarkan untuk meletakkan penama kedua dalam Perjanjian Jual Beli dan Perjanjian Pinjaman Perumahan. Penama kedua terhad kepada pasangan (suami/isteri) atau ahli keluarga yang mempunyai pertalian darah (kandung) sahaja yang merujuk kepada ibu/bapa/adik-beradik/anak dan berstatus warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Kombinasi pendapatan pemohon dan penama kedua hendaklah tidak melebihi RM8,000 sebulan. Penama kedua juga mestilah belum memiliki Rumah Mampu Milik.

Apakah proses semakan permohonan RESIDENSI MADANI?

Selepas pemohon mendaftar akaun, memilih projek dan telah selesai memuatnaik dokumen, proses semakan pertama hendaklah dilakukan oleh PEMAJU tertakluk kepada kekosongan unit. Seterusnya proses semakan kedua dilakukan oleh Urusetia Residensi MADANI. Keputusan permohonan samada Berjaya atau Tidak Berjaya kepada pemohon akan dimaklumkan selepas mendapat kelulusan Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan.

Apakah tindakan yang akan dikenakan kepada pemohon yang mengemukakan dokumen palsu atau memberikan status perkahwinan yang tidak benar?

Permohonan akan dibatalkan dan pemohon tidak akan dipertimbangkan untuk memohon semua program rumah mampu milik di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan Laporan Central Credit Reference Information System (CCRIS)

Pemohon boleh mendapatkan laporan kredit mereka melalui saluran-saluran seperti berikut:
Pilihan 1:
Portal eCCRIS di pautan https://eccris.bnm.gov.my/eccris/ Pemohon yang memiliki akses perbankan Internet boleh mendaftar di eCCRlS untuk mendapatkan laporan kredit CCRIS secara dalam talian.

Pilihan 2:
Kios CCRIS Pemohon yang memiliki MyKad boleh mendapatkan laporan kredit CCRIS melalui kios yang disediakan di pejabat dan cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di seluruh Malaysia. Sila layari laman sesawang AKPK untuk maklumat lanjut mengenai lokasi dan waktu operasi di pautan: https://www.akpk.org.my

Pilihan 3:
Pemohon juga boleh mendapatkan laporan kredit yang dikeluarkan oleh agensi pelaporan kredit swasta seperti:
(i) CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (https://ctoscredit.com.my)
(ii) Experian Information Services (Malaysia) Sdn. Bhd. (https://www.mycreditinfo.com.my)
(iii) Credit Bureau Malaysia (https://creditbureau.com.my)

Berapa lama tempoh bagi pemohon untuk muat naik dokumen?

Pemohon perlu memuat naik dokumen permohonan melalui portal Residensi MADANI dalam tempoh 30 hari daripada tarikh pendaftaran akaun. Sekiranya pemohon tidak muat naik dokumen dalam tempoh 30 hari, permohonan akan terbatal secara automatik.

Apakah yang perlu dilalukan oleh pemohon setelah Layak Ditawar?

Pemohon perlu klik BERMINAT/TIDAK BERMINAT melalui portal Residensi MADANI dalam tempoh 30 hari daripada tarikh tawaran dibuat. Selepas klik BERMINAT, sila berurusan dengan pihak pemaju untuk proses selanjutnya.

Bolehkah saya membuat permohonan pinjaman/ pembiayaan perumahan sebelum mendapat kelulusan daripada Jabatan Wilayah Persekutuan?

TIDAK BOLEH. Pemohon perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Wilayah Persekutuan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pinjaman/ pembiayaan perumahan. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan.

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya

Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya boleh diperolehi melalui pautan https://mysprsemak.spr.gov.my/semakan/daftarPemilih

Baca juga: Perumahan Kasih Johor (2026) – Syarat Kelayakan & Cara Memohon

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut