Memahami perbezaan insurans kereta antara “Agreed Value” dan “Market Value” adalah langkah penting yang sering diabaikan oleh pemilik kenderaan, sedangkan pilihan ini boleh menentukan jumlah pampasan yang anda terima sekiranya kereta anda mengalami kemalangan total loss atau dicuri.
Bagi pemilik kenderaan, mesti anda perasan apabila hendak memperbaharui insurans kenderaan anda boleh menentukan nilai insurans berdasarkan jumlah nilai “Agreed Value” dan “Market Value” namun tahukah anda apa perbezaan antara keduanya?
Ramai yang hanya memilih nilai insurans secara automatik tanpa menyedari bahawa terdapat dua mekanisme penilaian yang berbeza dan setiap satunya membawa implikasi kewangan yang besar terhadap perlindungan anda.
Memahami Konsep “Sum Insured” atau Jumlah Diinsuranskan

Sebelum mendalami perbandingan dan perbezaan jumlah insurans kereta, adalah penting untuk mengenali istilah “Sum Insured” atau jumlah yang diinsuranskan, iaitu nilai kewangan yang anda tetapkan untuk melindungi kenderaan anda.
Nilai inilah yang akan menjadi asas kepada pengiraan premium dan juga bayaran pampasan. Bagi polisi komprehensif, anda biasanya akan diberikan dua pilihan utama untuk menentukan Sum Insured ini, iaitu berdasarkan Market Value atau Agreed Value.
Pilihan yang anda buat bukanlah sekadar angka di atas kertas, tetapi ia adalah keputusan strategik yang mempengaruhi perlindungan kewangan anda di masa hadapan.
Keputusan untuk memilih antara Agreed Value dan Market Value seharusnya dibuat berdasarkan penilaian teliti terhadap keadaan kewangan dan keutamaan peribadi anda.
Memahami Konsep “Market Value”

Market Value atau nilai pasaran, bermaksud kereta anda diinsuranskan berdasarkan nilai semasa kenderaan tersebut pada masa tuntutan dibuat, bukannya pada masa polisi dibeli atau diperbaharui.
Syarikat insurans akan merujuk kepada panduan penilaian industri, seperti data dari Insurance Services Malaysia (ISM) atau sumber dalaman mereka, untuk menentukan harga pasaran terkini bagi model dan tahun kenderaan anda.
Nilai ini sentiasa berubah dan mengambil kira faktor susut nilai, keadaan pasaran, dan permintaan semasa terhadap model kereta tersebut.
Keuntungan utama memilih Market Value adalah premium insurans yang biasanya lebih murah berbanding Agreed Value dan perbezaan kos ini mungkin kelihatan kecil pada mulanya, namun ia dapat menjimatkan perbelanjaan tahunan anda.
Walau bagaimanapun, kelemahan terbesar adalah ketidakpastian dalam jumlah pampasan.
Sekiranya kereta anda diisytiharkan total loss atau dicuri, syarikat insurans akan membayar berdasarkan nilai pasaran pada masa kejadian, yang pastinya lebih rendah daripada nilai pada awal polisi disebabkan oleh susut nilai.
Ini bermakna, walaupun Sum Insured yang tertera pada polisi anda adalah RM50,000, anda mungkin hanya menerima RM40,000 jika nilai pasaran kereta anda telah menyusut pada masa tuntutan dan situasi ini menjadi lebih merugikan jika anda masih mempunyai baki pinjaman bank yang tinggi.
Contohnya, jika kereta anda dilindungi pada nilai pasaran RM50,000, tetapi selepas beberapa bulan kereta tersebut dicuri dan nilai pasaran semasanya hanya RM40,000, manakala baki hutang anda kepada bank masih RM44,000, maka anda terpaksa menampung kekurangan RM4,000 daripada wang sendiri.
Risiko ini dikenali sebagai ekuiti negatif dan ia adalah perangkap kewangan yang sering tidak disedari oleh pemilik kereta yang hanya mengejar premium murah.
Memahami Konsep “Agreed Value”

Berbeza dengan Market Value, Agreed Value adalah jumlah pampasan yang telah dipersetujui bersama antara anda dan syarikat insurans pada awal polisi dan jumlah ini akan kekal tetap sepanjang tempoh perlindungan.
Nilai ini ditentukan berdasarkan model, tahun dan beberapa faktor lain kenderaan anda pada masa pembelian polisi dan ia sering kali lebih tinggi daripada harga pasaran semasa.
Kelebihan utama sistem ini adalah kepastian mutlak tentang jumlah wang yang akan anda terima sekiranya berlaku total loss atau kecurian, tanpa perlu risau tentang susut nilai atau turun naik harga pasaran.
Sebagai contoh, jika anda memilih Agreed Value sebanyak RM55,000 untuk kereta Honda City 2019 anda, dan tiga bulan kemudian kereta tersebut terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan total loss, syarikat insurans akan membayar anda RM55,000 penuh tanpa sebarang potongan, walaupun nilai pasaran kereta tersebut pada masa itu telah menurun kepada RM52,000.
Perbezaan RM3,000 ini boleh menjadi sangat bermakna, terutamanya jika ia membantu anda melunaskan baki pinjaman bank dengan lebih selesa atau meninggalkan lebihan wang untuk membeli kenderaan pengganti.
Walaupun premium bagi Agreed Value biasanya 5 hingga 15 peratus lebih tinggi daripada Market Value, perbezaan kos tahunan ini sering kali dianggap sebagai bayaran yang berbaloi untuk ketenangan fikiran dan memahami maksud “agreed value” ini akan memudahkan ada mengapa terdapat perbezaan pada nilai insurans kereta.
Artikel menarik: Apa Perlu Dibuat Jika Dilanggar Kenderaan Tanpa Insurans?
Membuat Pilihan yang Tepat untuk Perlindungan Anda

Keputusan untuk memilih antara Agreed Value dan Market Value seharusnya dibuat berdasarkan penilaian teliti terhadap keadaan kewangan dan keutamaan peribadi anda dan mengetahui perbezaan keduanya membentu anda mengetahui perbezaan jumlah insurans kereta yang anda bayar.
Jika anda memiliki kereta model biasa yang susut nilainya secara ramalan, seperti Perodua Myvi atau Proton Saga dan anda selesa dengan kemungkinan menerima bayaran berdasarkan harga pasaran, maka Market Value mungkin adalah pilihan yang memadai dan menjimatkan.
Namun, jika anda memiliki kenderaan edisi terhad, kereta yang baru dibeli pada harga tinggi, atau anda masih mempunyai komitmen pinjaman yang besar, Agreed Value adalah pilihan yang lebih bijak untuk mengelakkan kejutan kewangan yang tidak diingini.
Perlu diingat bahawa pilihan ini hanya terpakai untuk tuntutan total loss atau kecurian dan tidak mempengaruhi tuntutan kerosakan separa yang akan dibayar berdasarkan kos pembaikan sebenar.
Anda juga boleh menukar pilihan anda daripada Market Value kepada Agreed Value pada setiap kali tempoh polisi anda tamat dan ingin memperbaharuinya.
Pastikan untuk berbincang dengan ejen atau syarikat insurans anda tentang jumlah Agreed Value yang berpatutan dan disokong oleh bukti seperti resit pembelian atau laporan penilaian untuk mengelakkan sebarang pertikaian di kemudian hari.




