Apa Perlu Dibuat Jika Dilanggar Kenderaan Tanpa Insurans?

dilanggar kereta tanpa insurans
Info bantuan baru terus ke WhatsApp
Saya Nak!

Dilanggar kenderaan tanpa insurans merupakan situasi yang mengecewakan dan boleh menimbulkan kebimbangan bagi mangsa kemalangan.

Apabila anda terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan kenderaan yang tidak mempunyai perlindungan insurans, anda mungkin berasa tertekan memikirkan cara untuk mendapatkan pampasan bagi kerosakan kenderaan atau kecederaan yang dialami.

Ramai yang beranggapan bahawa tiada apa yang boleh dilakukan untuk mendapatkan pampasan, namun sebenarnya terdapat beberapa laluan yang boleh diambil untuk melindungi diri anda daripada kerugian yang lebih besar.

Kejadian kemalangan yang melibatkan kenderaan tanpa perlindungan insurans bukanlah penamat kepada usaha anda untuk menuntut ganti rugi.

Walaupun prosesnya mungkin lebih kompleks berbanding tuntutan insurans biasa, undang-undang dan badan-badan tertentu di Malaysia menyediakan mekanisme untuk membantu mangsa yang dilanggar kenderaan tanpa insurans.

Langkah Segera di Tempat Kejadian

dilanggar kenderaan tanpa insurans

Sebaik sahaja kemalangan berlaku, adalah penting untuk kekal tenang dan mengutip sebanyak mungkin maklumat. Ini kerana untuk memulakan sebarang tuntutan, terutama jika anda ingin menyaman individu yang melanggar tanpa insurans, butiran pemandu dan kenderaan adalah amat kritikal.

Tanpa maklumat ini, anda akan menghadapi kesukaran untuk memulakan tindakan undang-undang apabila dilanggar kenderaan tanpa insurans.

Fokuskan usaha untuk mendapatkan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon pemandu, serta nombor plat dan model kenderaan yang melanggar anda.

Jika boleh, ambil gambar kenderaan yang terlibat, kerosakan, dan juga roadtax kenderaan pelanggar untuk pengesahan dan bukti visual ini akan sangat berguna sebagai rekod peribadi dan untuk melengkapkan laporan polis nanti.

Selepas mengumpul maklumat, langkah paling penting seterusnya ialah membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dan laporan polis adalah dokumen rasmi yang menjadi asas kepada semua proses tuntutan, sama ada melalui mahkamah atau agensi lain.

Pastikan semua butiran kejadian, termasuk maklumat yang anda kumpul di tempat kejadian dinyatakan dengan jelas.

Jangan lupa untuk menghubungi syarikat insurans anda sendiri untuk memaklumkan mengenai kemalangan tersebut, walaupun pihak yang bersalah tidak mempunyai insurans.

Artikel menarik: Pemandu Dengan Rekod Baik Boleh Claim Rebat Insurans 10% CERMAT MADANI

Memahami Peranan Motor Insurers’ Bureau (MIB)

Motor Insurers' Bureau

Satu badan penting yang ramai tidak ketahui ialah Motor Insurers’ Bureau (MIB) Malaysia.

MIB adalah sebuah dana khas yang ditubuhkan untuk melindungi pengguna jalan raya yang menjadi mangsa kemalangan yang melibatkan kenderaan tanpa insurans atau kes langgar lari dan badan ini dibiayai oleh caruman wajib daripada semua syarikat insurans di Malaysia setiap tahun.

Jika anda dilanggar kenderaan tanpa insurans, MIB menyediakan mekanisme pampasan untuk kecederaan diri yang dialami.

Namun, terdapat syarat-syarat penting yang perlu dipenuhi untuk membuat tuntutan melalui MIB:

  1. MIB hanya membayar pampasan untuk kecederaan badan atau kehilangan nyawa dan tidak meliputi kerosakan kenderaan, harta benda atau kehilangan pendapatan.
  2. Tuntutan hanya boleh dibuat jika anda mengetahui nombor pendaftaran kenderaan yang melanggar, kerana MIB tidak menerima kes langgar lari.
  3. Tuntutan juga perlu difailkan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kemalangan berlaku. Dokumen yang diperlukan termasuk surat rasmi yang menerangkan kejadian, laporan polis, dan laporan perubatan. Tuntutan ini boleh dibuat sendiri atau melalui peguam.

Tuntutan anda hendaklah dihantar kepada alamat: 

  • Wisma PIAM, No. 150-3, 3rd Floor, Jalan Tun Sambanthan, 50782, Brickfields, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur 
  • Nombor telefon: 03-2274 7395

Tuntutan Saman Persendirian

saman pemandu tanpa lesen

Selain daripada MIB, anda juga mempunyai hak untuk menyaman pemandu atau pemilik kenderaan yang melanggar secara persendirian.

Ini adalah satu-satunya cara untuk menuntut ganti rugi bagi kerosakan kenderaan, kerana MIB tidak meliputi aspek ini.

Proses ini akan dibawa ke mahkamah, dan jika anda berjaya, mahkamah akan memerintahkan pihak yang bersalah untuk membayar ganti rugi.

Namun, perlu diingat bahawa proses ini boleh memakan masa dan melibatkan kos guaman. Sekiranya pihak yang kalah enggan membayar, terdapat prosedur selanjutnya seperti penyitaan aset yang boleh diambil.

Dalam kebanyakan keadaan, kerana pihak yang melanggar tidak mempunyai insurans, anda mungkin terpaksa menggunakan polisi insurans kenderaan anda sendiri untuk membiayai pembaikan kereta, yang boleh menyebabkan Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) anda terjejas.

Walaupun dilanggar kenderaan tanpa insurans meletakkan anda dalam situasi yang sukar, anda tidak seharusnya berputus asa. Tindakan segera mengumpul maklumat, membuat laporan polis dan memahami peranan MIB serta hak untuk menyaman adalah langkah-langkah penting untuk melindungi kepentingan anda. 

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut
Avatar image of Affan