Pengeluaran Haji KWSP kini telah dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM10,000 dari Akaun Sejahtera, tertakluk kepada baki simpanan yang ada. Untuk semakan syarat dan cara pengeluaran, sila rujuk portal rasmi KWSP di https://www.kwsp.gov.my.

Ini merupakan berita baik buat bakal jemaah haji yang memerlukan wang tambahan. Had kenaikan ini berkuatkuasa bermula 1 Januari 2026, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Rujuk info penuh di bawah.
Apa itu Pengeluaran Haji KWSP?
Pengeluaran Haji KWSP membolehkan ahli KWSP mengeluarkan wang daripada simpanan mereka untuk membiayai ibadah haji.
Pengeluaran ini membolehkan ahli KWSP yang beragama Islam mengeluarkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun Sejahtera (Akaun 2) untuk melengkapkan baki simpanan di Tabung Haji (TH) bagi memenuhi syarat bayaran minimum haji.
Mulai 1 Januari 2026, had maksimum dinaikkan kepada RM10,000 (berbanding RM3,000 pada tahun-tahun sebelumnya), atau baki Akaun Sejahtera yang lebih rendah.
Keperluan penyata baki Akaun Tabung Haji kini juga dimansuhkan untuk kemudahan permohonan.

Siapa Yang Boleh Memohon?
- Warganegara Malaysia
- Umur bawah 55 tahun
- Dipilih untuk menunaikan ibadah haji oleh Lembaga Tabung Haji
- Tidak pernah memohon Pengeluaran Haji
Cara Memohon Pengeluaran Haji KWSP
Buat masa ini, permohonan perlu dilakukan secara manual di Kaunter KWSP bagi tujuan pengesahan biometrik (cap jari). Berikut adalah langkah-langkahnya:
Langkah 1: Sediakan Dokumen
Anda hanya memerlukan dua dokumen utama:
- Kad Pengenalan (MyKad) asli.
- Surat tawaran dari LTH dengan status “DIPILIH”
Langkah 2: Hadir ke Cawangan
Bawa dokumen tersebut ke mana-mana cawangan KWSP berhampiran. Ahli tidak perlu mengisi borang, hanya perlu menurunkan cap ibu jari di atas ‘Notis Pengesahan Permohonan Pengeluaran’ sebagai bukti permohonan pengeluaran.
Langkah 3: Pengesahan Biometrik
Lakukan imbasan cap jari di kaunter untuk mengesahkan identiti dan permohonan anda.
Langkah 4: Penerimaan Bayaran
Bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank anda yang telah didaftarkan dengan KWSP dalam tempoh masa yang ditetapkan (tidak melebihi dari tujuh (7) hari bekerja selepas diterima oleh KWSP)

Cara Semak Status Pembayaran
Ahli KWSP boleh menyemak status permohonan dan bayaran mereka melalui saluran rasmi KWSP, iaitu:
- Aplikasi KWSP i‑Akaun atau portal web i-Akaun (Ahli)
- Pejabat KWSP berdekatan
- Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP
Bayaran Balik Pengeluaran Haji KWSP
Jumlah pengeluaran hendaklah dibayar balik sekiranya ahli membatalkan atau menangguhkan ibadat haji. Jumlah penuh perlu dipulangkan semula kepada KWSP.
Walau bagaimanapun, jika ahli meninggal dunia selepas pengeluaran dibuat, waris tidak perlu memulangkan semula amaun pengeluaran tersebut dan boleh membuat tuntutan tertakluk kepada prosedur LTH terkini. Waris hendaklah berhubung dengan LTH untuk tujuan tersebut.
Maklumat Lanjut & Soalan Lazim Pengeluaran Haji KWSP
Untuk info lanjut dan maklumat terkini mengenai pengeluaran haji KWSP, sila rujuk portal rasmi KWSP di https://www.kwsp.gov.my
Ia adalah kemudahan pengeluaran awal simpanan KWSP khusus untuk bakal haji yang menerima tawaran rasmi daripada Lembaga Tabung Haji (LTH).
Sehingga RM10,000 atau baki Akaun Sejahtera (mana yang lebih rendah), dinaikkan daripada RM3,000 sebelum ini.
Warganegara Malaysia di bawah 55 tahun, ada surat tawaran LTH, dan belum pernah mohon sebelum ini.
Mohon di kaunter pejabat KWSP dengan Kad Pengenalan dan surat tawaran LTH sahaja.
Ya, memandangkan wang diambil daripada Akaun Sejahtera, baki akhir simpanan anda akan berkurangan. Namun, ia adalah alternatif terbaik bagi mereka yang memerlukan tunai segera untuk menunaikan rukun Islam kelima.
Sekiranya anda membatalkan atau menangguhkan perjalanan haji setelah wang dikeluarkan, anda diwajibkan memulangkan semula amaun tersebut ke dalam akaun KWSP anda.




