Pasport hilang ketika melancong adalah mimpi buruk setiap pengembara, satu situasi yang boleh mencetuskan panik serta merencatkan keseronokan perjalanan anda.
Dokumen ini bukan sahaja menjadi bukti identiti, tetapi juga syarat utama untuk keluar masuk sesebuah negara.
Kehilangan pasport boleh berlaku akibat kecuaian, kecurian atau keadaan tidak dijangka dan memahami langkah yang perlu diambil adalah penting untuk memastikan perjalanan dapat diteruskan dengan lebih lancar.
Kunci utama adalah bertindak dengan tenang, sistematik dan proaktif untuk menyelesaikan krisis dokumen ini.
Buat laporan polis

Apabila anda pertama kali menyedari bahawa pasport anda tiada, mulakan dengan melakukan pencarian yang teliti di semua beg, poket dan kawasan terakhir anda mengingati memegangnya.
Periksa di bawah bantal, dalam peti besi hotel, atau tanya pihak hotel sama ada ada dokumen yang ditemui.
Jika pencarian awal ini tidak menghasilkan sebarang hasil, anda perlu segera membuat laporan polis di negara tempat anda berada dan laporan polis ini bukan sekadar formaliti, ia adalah dokumen penting yang mengesahkan kejadian tersebut.
Dokumen ini akan diperlukan untuk proses memohon pasport baru atau dokumen pengganti di konsulat atau kedutaan dan ia juga melindungi anda daripada sebarang penyalahgunaan dokumen anda jika dicuri.
Ambil gambar atau salinan lapuran tersebut untuk simpanan peribadi anda.
Hubungi Kedutaan atau Konsulat Malaysia

Sumber: Jabatan Imigresen Malaysia
Selepas membuat laporan polis, anda perlu segera menghubungi kedutaan atau konsulat Malaysia yang terdekat.
Mereka adalah pihak berkuasa rasmi yang boleh membantu anda mendapatkan dokumen perjalanan sementara atau menggantikan pasport yang hilang.
Proses ini biasanya memerlukan anda mengemukakan laporan polis serta dokumen sokongan lain seperti salinan kad pengenalan atau salinan tiket penerbangan.
Kedutaan akan menilai kes anda dan mengeluarkan Siijil Perakuan Cemas (SPC), dokumen perjalanan sementara yang membolehkan anda pulang ke Malaysia.
Memang sudah menjadi tanggungjawab pihak kedutaan atau konsulat Malaysia untuk memastikan keselamatan warganegara mereka, jadi bagi rakyat Malaysia yang mempunyai masalah pasport hilang ketika melancong ke luar negara, jadi mereka akan cuba membantu anda secepat mungkin.
Menguruskan Logistik Perjalanan dan Penginapan

Sementara menunggu dokumen pengganti disediakan, anda perlu menguruskan hal-hal logistik anda.
Hubungi syarikat penerbangan anda untuk memaklumkan mereka tentang situasi tersebut dan tanya mengenai dasar mereka untuk menukar tiket penerbangan anda.
Penerbangan anda yang asal mungkin tidak boleh digunakan tanpa passport yang sah, jadi anda perlu menjadualkan semula penerbangan setelah dokumen kecemasan anda siap.
Begitu juga, berhubunglah dengan penginapan anda untuk memanjangkan tempoh tempahan jika perlu.
Proses Setibanya di Malaysia

Setibanya anda di Malaysia, sila hadirkan diri ke Unit Kehilangan dan Kerosakan di Jabatan Imigresen Malaysia. Ada akan diminta untuk melengkapkan borang permohonan dan dapatkan cop sumpah.
Selain itu, anda juga perlu membawa bersama-sama dokumen berikut:
- Kad Pengenalan
- Sijil Perakuan Cemas (SPC)
- Borang Proses Permohonan Pasport Baru
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia di
www.imi.gov.my
Dengan mempunyai pengetahuan tentang apa yang perlu dilakukan, dan dengan sedikit persiapan terdahulu, anda boleh mengurangkan keterukan situasi dan kembali ke landasan untuk sama ada meneruskan pengembaraan atau pulang ke rumah dengan selamat.
Pengalaman ini, walau pahit, akan menjadi satu pelajaran berharga dalam menjadi pengembara yang lebih bijak dan bersedia untuk masa hadapan.
Artikel berkaitan: Renew Pasport Malaysia Secara Online (MyOnline Pasport)




