Terdapat banyak cara untuk mengekspresikan cinta anda kepada ibu anda sempena Hari Ibu, termasuklah melalui pantun.
Koleksi pantun Hari Ibu di bawah boleh anda gunakan dalam ucapan ketika menghantar mesej kepada ibu anda, membuat hantaran di akaun media sosial anda atau selitkan dalam kad ucapan Selamat Hari Ibu kepada ibu anda yang tersayang.
Sambutan Hari Ibu
Hari Ibu ialah hari istimewa yang telah ditetapkan untuk memberi tumpuan, meraikan dan menghormati ibu/emak (atau apa sahaja panggilan anda) atas segala jasa yang telah mereka lakukan.
Ia adalah hari yang dianjurkan agar orang ramai menunjukkan rasa terima kasih kepada tokoh ibu dan ibu-ibu di seluruh dunia atas pengorbanan mereka dalam kehidupan peribadi kita dan kerja mereka dan dalam kalangan masyarakat secara amnya.
Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara kerana berbagai-bagai asal-usulnya dan di Malaysia kita menyambutnya pada hari Ahad minnggu ke 2 bulan Mei.
Oleh itu, bagi tahun 2024 ini, ia jatuh pada 12 Mei 2024 dan sambutan ini tidak terkait dengan unsur keagamaan jadi terpulang kepada anda sama ada hendak menyambutnya ataupun tidak.
Terdapat pelbagai cara untuk menyambut hari istimewa ini seperti menghandiahkan ibu anda sesuatu yang bermakna buatnya, memberikan kad ucapan, ucapan pantun Hari Ibu dan pelbagai cara lagi mengikut kemampuan dan kreativiti anda.
Artikel berkaitan: Selamat Hari Ibu – Tarikh Di Malaysia & Contoh Ucapan
Pantun Hari Ibu
Berikut merupakan koleksi Pantntun Hari Ibu yang boleh anda gunakan pada kad ucapan, hantaran di akaun media sosial atau menghantar mesej pada ibu/ emak anda:
Beri diambil kapak yang ringan,
Semak pegaga di longkang bata,
Dari sekecil telapak tangan,
Emak menjaga bersengkang mata.
Cenderawasih kepak berasap,
Kuasa kayangan sebutan alam;
Terimakasih tidak terucap,
Jasamu rentangan lautan dalam.
Serai serumpun sirih sejunjung,
Diambil lalu di kerat-kerat,
Kasih ibu tiada penghujung,
Tetap teguh ke akhir hayat.
Pisang emas di dalam peti,
Disimpan bersama buah delima,
Kasih ibu tiada pengganti,
Hanya satu di dalam dunia.
Sungguh ayu sidara sunti,
Gadis Peringgit berkebaya nyonya;
Kasih ibu sukar diganti,
Duit ringgit bukan harganya.
Harum sungguh aroma setanggi,
Baunya wangi sehingga melekat,
Dengan doa ibu mengiringi,
Hidup si anak semakin berkat
Bermain bola memakai sepatu,
Lapangan rumput hijau warnanya,
Terima kasih padamu ibu,
Telah membesarkanku sepenuh jiwa.
Pergi ke hutan di tengah hari,
Buat mencari pohon kekabu,
Ibarat lilin membakar diri,
Begitulah pengorbanan murni si ibu.
Hari minggu pergi ke kota,
Untuk bertemu sanak saudara,
Semoga ibu selalu bahagia,
Sihat selalu hingga akhir masa.
Sudah lama tidak bertemu,
Kini tubuhku dimamah usia,
Besar sekali pengorbananmu,
Hanya syurga yang setimpal membalasnya.
Promosi: Dapatkan Surprise Box hadiah hari Ibu
Mangga jatuh busuk sebelah,
Sebelum dimakan dicuci dahulu,
Ke manapun kakiku melangkah,
Pada ibu selalu ku rindu.
Malam hari makan buah jambu,
Makannya di bawah terangnya bulan,
Sembilan bulan mengandung diriku,
Pengorbananmu tak akan mampu terbalaskan.
Irama tempua sedihnya cuma,
Buah ketapang dicari makan,
Sama jua kasihnya mama,
Tangan berdepang memberi pelukan.
Kelam iklim paginya merah,
Tepi jerami mayang berasap,
Dalam rahim berkongsinya darah,
Lelahnya ummi tiada terungkap.
Bunga trompet berwarna biru,
Tumbuh subur berdekatan batu,
Hari ini adalah harimu,
Happy Mother’s Day diucapkan untukmu.
Tolak basikal turun bukit,
Penatnya sungguh tidak terkata.
Mamaku tidak pernah sesekali mengungkit,
Sejarah lalu yg membawaku kedunia.
Berlari-lari membeli labu,
Membeli labu untuk ayah,
Jadi bila tiba Hari Ibu,
Kita kena beli hadiah.
Tanam tebu juga betik,
Ditepi telaga dihujung taman;
Sayangilah ibu setiap detik,
Hargailah mereka sepanjang zaman.
Doa rindu selalu dikirim,
Kasih semarak cinta terulung;
Kasih ibunya bukannya bermusim,
Jasanya banyak tidak terhitung.
Di taman ada kupu-kupu,
Kupu-kupunya menghisap madu,
Untuk ibu tercintaku,
Diucapkan Selamat Hari Ibu.