Bagi mereka yang ingin berwaqaf, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyediakan instrumen Waqaf menerusi myWaqaf PTPTN.
Berikut adalah maklumat dan info mengenai waqaf ini.

Mengenai myWaqaf PTPTN
myWaqafPTPTN adalah sebagai salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan sedia ada.
Selain itu, inisiatif ini juga adalah merupakan instrumen bagi membolehkan sumbangan diterima daripada orang ramai, syarikat korporat atau organisasi untuk sama-sama berkongsi tanggungjawab dalam memperkasakan akses kepada pendidikan tinggi negara, terutamanya kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Produk/ instrumen wakaf tunai ini disediakan melalui kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) yang telah dimeterai pada 22 Februari 2024.
Kerjasama strategik bersama YWM adalah bertepatan mengambil kira pengalaman serta kepakaran yang boleh ditawarkan oleh YWM, yang merupakan juga sebuah agensi Kerajaan di bawah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) dalam pelaksanaan wakaf di Malaysia.
Definisi Waqaf
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan wakaf merujuk kepada sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam.
Contohnya, tanah wakaf ialah tanah yang diuntukkan bagi keperluan agama seperti untuk perkuburan, mendirikan masjid, dan lain-lain.
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, wakaf ialah satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Ia memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf (pemberi) ke atas harta yang diwakafkan. Harta yang hendak diwakafkan perlu jelas pemilikannya dan juga perlulah memberi manfaat dan faedah begitu juga harta tersebut perlulah bersifat kekal fizikalnya.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat ke-92:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
Syarat Berwaqaf
Syarat-syarat untuk berwaqaf adalah seperti berikut:
- Baligh
- Kerelaan Sendiri
- Berakal
- Harta Persendirian

Faedah Pewaqaf
Menerusi myWaqaf PTPTN, pewaqaf akan menerima insentif cukai yang ditawarkan kepada penyumbang.
Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai sebanyak 10% daripada pendapatan agregat, menurut Subseksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Pelaksanaan myWaqaf PTPTN
Waqaf ini dilaksanakan seperti kaedah-kaedah berikut:
i – Sumber kutipan dana wakaf/ Pewakaf (Waqif)
Sumbangan wakaf tunai yang diterima daripada Pewakaf (Waqif) yang terdiri daripada organisasi, syarikat, individu serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara merangkumi:
- Kerajaan
- Syarikat korporat
- Badan berkanun
- Badan Bukan Kerajaan (NGO)
- Orang awam
- Warga PTPTN
- Dana/ sumbangan luar negara.
ii- Dana Wakaf/ Harta yang diwakafkan (Mawquf)
Semua terimaan dana wakaf tunai sebagai ‘Ain Waqaf’ akan diuruskan oleh YWM dan dana wakaf tersebut akan dilaburkan di dalam portfolio pelaburan patuh Syariah.
iii- Penerima wakaf (Mawquf ‘Alaih)
Mahasiswa daripada golongan asnaf, B40 dan M40 dan tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja.
iv- Lafaz Akad (Sighah)
Saya dengan ini mewakafkan wang tunai melalui perbankan atas talian/ pindahan wang atas nama Yayasan Waqaf Malaysia bagi tujuan myWaqafPTPTN dan mewakili serta mengamanahkan kepada Yayasan Waqaf Malaysia untuk mengurus dana wakaf saya mengikut keperluan semasa bagi kepentingan Ummah kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan membenarkan 5% atau apa-apa jumlah % yang dipersetujui Jawatankuasa Penasihat Syariah YWM daripada Dana Wakaf terkumpul ini sebagai upah pengurusan kepada Yayasan Waqaf Malaysia.
Cara Berwaqaf
Terdapat 2 cara yang boleh digunakan untuk waqaf ini iaitu:
i- Pindahan Wang
Pewaqaf boleh membuat pindahan wang ke akaun Yayasan Waqaf Malaysia di RHB Islamic Bank melalui nombor akaun 2-12457-6006259-1
ii- Potongan Gaji
Potongan gaji juga boleh dibuat menerusi Sistem Waqaf Tunai Malaysia:
- Daftar dan log masuk Sistem Wakaf Tunai Malaysia di pautan https://www.ywm.gov.my/app/
- Klik Profil (Nama Penuh Pendaftar) dan Pilih Maklumat Pewakaf
- Pilih Potongan Gaji dan lengkapkan maklumat permohonan berwakaf melalui potongan gaji
Soalan Lazim
myWaqafPTPTN merupakan salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pembiayaan pendidikan tinggi selain menerusi pemberian pinjaman pendidikan sedia ada menerusi instrumen waqaf.
Dana wakaf tunai yang disalurkan oleh syarikat korporat, organisasi, orang awam atau warga PTPTN akan diterima, diuruskan dan dilaburkan dalam pelaburan patuh Syariah oleh Yayasan Waqaf Malaysia. Manfaat daripada dana tersebut (hasil pelaburan) akan diuruskan oleh PTPTN untuk disalurkan kepada mahasiswa asnaf, B40 dan M40 untuk biasiswa pendidikan tinggi.
– Baligh
– Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya
– Harta yang hendak diwakafkan hendaklah dimiliki penuh oleh Pewakaf
– Berwakaf atas kerelaan sendiri tanpa ada paksaan dari sesiapa
Dana myWaqafPTPTN akan disalurkan kepada penerima wakaf dari kalangan mahasiswa dari golongan B40, M40 dan asnaf dan tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja.
Penerima myWaqafPTPTN adalah :
Pelajar yang layak pinjaman PTPTN, terdiri daripada golongan B40, M40 (kategori maksimum atau 75%) dan merupakan asnaf/ penerima bantuan yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan pelajar yang layak tidak terhad kepada yang beragama Islam sahaja
Syarat permohonan penerima wakaf akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa sementara menunggu pengembangan ‘ain waqaf’ yang akan dibuat melalui pelaburan. Bagi pelaksanaan Fasa Pertama, pemberian diberikan kepada Penerima Bantuan Biasiswa Al-Falah berdasarkan syarat-syarat berikut:
– Peminjam PTPTN;
– Peminjam B40 (kategori pinjaman maksimum) atau M40 (kategori pinjaman 75%);
– Mengikuti pengajian peringkat Diploma sepenuh masa di IPTA; dan
– Asnaf/ penerima bantuan yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Info Lanjut
Info lanjut mengenai waqaf ini, sila layari laman web https://www.ptptn.gov.my/mywaqafptptn/.
Baca juga: Bayar RM28 Setahun, Waris Dapat RM12,000? Ramai Tak Tahu TH Khairat Ni!




