Maksud Gaji Bersih, Gaji Kasar, Gaji Pokok & Perbezaannya

Apabila merancang kewangan, “gaji bersih” adalah jumlah penting yang biasanya kita perlu perhatikan.

Daripada jumlah gaji bersih inilah kita akan membuat perancangan kewangan setiap bulan termasuklah jumlah perbelanjaan dan simpanan.

Selain gaji bersih, kita juga biasa dengar istilah-istilah seperti “gaji kasar” dan “gaji pokok”. Jadi, apakah perbezaan antara ketiga-tiga istilah ini?

gaji bersih

Maksud “gaji bersih”

Secara mudahnya, ia bermaksud jumlah duit yang anda terima atau dimasukkan ke dalam akaun bank anda untuk sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), GAJI BERSIH bermaksud jumlah gaji yang masuk ke akaun bank anda setiap bulan.

Jumlah gaji ini telah ditolak caruman KWSP, SOCSO / PERKESO serta amaun-amaun lain yang berkaitan.

Jumlah gaji bersih ini merupakan amaun yang sudah dicampurkan dengan elaun tambahan yang diterima.

Maksud “gaji kasar”

Gaji kasar pula adalah gaji asas yang dicampur dengan segala elaun tambahan, tetapi belum ditolak segala potongan atau caruman.

Kebiasaannya, iklan tawaran kerja akan mengiklankan tawaran kerja beserta dengan jumlah “gaji kasar” kerana ianya nampak lebih tinggi berbanding “gaji bersih”.

Apabila ditawarkan sesuatu pekerjaan atau melihat iklan jawatan kosong, sebaiknya anda membuat kira semula jumlah “gaji kasar” untuk melihat berapakah sebenarnya jumlah yang akan anda terima setelah ditolak segala potongan.

Maksud “gaji pokok”

Gaji pokok juga bermaksud gaji asas atau biasanya kita panggil “gaji basic”.

Gaji pokok bermaksud jumlah gaji bulanan yang anda terima tanpa mencampurkan sebarang elaun dan potongan.

Sekiranya gaji pokok anda dalam surat tawaran kerja adalah RM2000 dan anda tidak mempunyai sebarang elaun, jumlah yang anda akan terima setiap bulan kemungkinan besar akan kurang daripada jumlah ini setelah ditolak segala potongan/caruman.

Sekiranya anda sedang mencari pekerjaan, sewaktu temuduga anda boleh bertanyakan kepada calon penemuduga sama ada jawatan kosong yang ditawarkan itu mempunyai sebarang elaun atau tidak.

Jangan terkejut, ada sesetengah pekerjaan yang menawarkan elaun yang lebih besar jumlahnya daripada gaji asas terutamanya bagi mereka yang kerja di lapangan.

Perbezaan antara ketiganya

Bagi memudahkan anda memahami perbezaan antara ketiga istilah ini, boleh rujuk formula mudah di bawah:

  1. Gaji pokok: Gaji asas sahaja
  2. Gaji kasar: Gaji asas + elaun (jika ada)
  3. Gaji bersih: Gaji asas + elaun (jika ada) – potongan

Biasanya kesemua ini akan dinyatakan dengan jelas dalam penyata gaji anda.

Sumber: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Bagi kakitangan kerajaan, anda boleh menyemak slip gaji anda melalui e-Penyata Gaji JANM.

Bantu kami share artikel ini: