Pengeluaran KWSP Bersasar : Kerajaan Cari Alternatif Lain

Pelbagai pihak menggesa kerajaan mengutamakan dan membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuklah membenarkan pengeluaran KWSP dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri juga ditanya sama ada pengeluaran KWSP dalam pertimbangan kerajaan bagi Belanjawan 2023.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mencari jalan lain selain simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu kumpulan yang mengalami masalah kos sara hidup tinggi.

“Kita kena timbang. Kita sedang cari jalan kurangkan beban mereka tanpa menimbulkan beban lain pada masa mereka bersara nanti,” katanya kepada media selepas menyampaikan Syarahan Ulung Siddiq Fadzil – Pemikiran Reformasi Pendidikan Untuk Kesejahteraan Masa Depan Malaysia di Universiti Selangor (UNISEL) hari ini, 9 Februari 2023.

Tambah beliau, kerajaan sedang mencari alternatif lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

Perdana Menteri menjelaskan beliau memahami isu mengenai kebenaran pengeluaran KWSP itu seperti yang dibangkitkan banyak pihak.

Memetik laporan oleh Harian Metro hari ini, beliau berkata sudah banyak kali kebenaran dibenarkan dan ada simpanan yang semakin berkurangan.

“Saya kalau ikut, (itu) wang dia. Dia nak keluar biar dialah.

“Tapi kalau wang dia tinggal RM5,000 (dalam KWSP), keluar RM3,000, pencen nanti dia anak beranak macam mana?” katanya

Sementara itu, ditanya mengenai tumpuan Belanjawan 2023, Perdana Menteri berkata, seperti yang sudah saya umumkan sebelum ini tumpuan sudah tentu terarah kepada isu menangani defisit, digital dan sekuriti makanan.

Katanya, dalam masa yang sama isu keselesaan dan masalah kos sara hidup rakyat jadi tumpuan utama.

“Perkara yang lain, akan saya bentangkan dalam belanjawan itu nanti,” katanya.

Pengeluaran KWSP Bersasar : Kerajaan Cari Alternatif Lain

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menegaskan bahawa adalah lebih baik kerajaan mencari kaedah dan jalan lain yang lebih berkesan bagi membantu rakyat yang terjejas serta kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik.

“Kalau tengok orang-orang yang simpan KWSP, duit itu sedikit sekali. Jadi saya perlu pertimbang tentang keperluan yang mendesak dan juga masa depan mereka. Terlalu kecil saya semak jumlah yang ada majoriti pencarum itu sangat kecil. Saya bimbang tentang masa depan mereka.

“Jadi lebih baik kerajaan cari jalan untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Perlis pada 16 Januari lalu.

Pencarum ada baki cukup untuk membuat pengeluaran – Kajian PGIRM

Menurut laporan Buletin TV3, berdasarkan kajian dijalankan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), yang mendapati 79.6 peratus daripada 136,137 pencarum KWSP memiliki baki Akaun Satu lebih RM10,000, manakala selebihnya kurang RM10,000.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir, berkata kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 20 Disember lalu, bagi menyediakan data sokongan tambahan untuk tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

“Daripada kaji selidik ini, ternyata pencarum KWSP yang terdesak memerlukan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar, mempunyai jumlah baki mencukupi untuk membuat pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, PGIRM dilaporkan membawa suara 270,000 pencarum yang memohon kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

Permohonan daripada pencarum itu diterima melalui borang dalam talian dari Julai hingga November lalu, antaranya disebabkan desakan hidup yang sukar akibat inflasi, pengurangan pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pasca pandemik COVID-19.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, laporan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur pada Januari 2023, pasti akan memberi kesan lebih teruk terhadap rakyat.

“PGIRM percaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cakna dan prihatin terhadap suara serta kesusahan rakyat.

“Justeru, kami berharap diberi peluang bertemu Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar ini, dalam masa terdekat.

“Rakyat khususnya pencarum, sudah teruk terhimpit dengan kesusahan. Malah, terdapat segelintir daripada mereka yang sudah dan bercadang mengambil ‘jalan pintas’ untuk menyelesaikan masalah,” katanya.

Sebelum ini juga, Perikatan Nasional (PN) mendakwa bersedia melaksanakan penilaian semula pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar, jika berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyuarakan kesediaan itu biarpun perkara itu tidak termaktub dalam manifesto gabungan itu.

“Sebelum ini, kita sudah membenarkan beberapa kali pengeluaran KWSP termasuk i-Sinar dan i-Lestari.

“Untuk pelaksanaan ini (pengeluaran KWSP) secara bersasar, kita perlu melihat jumlah simpanan (pencarum) terlebih dahulu.

“Ini kerana, pengeluaran tidak boleh dibuat jika sudah tiada simpanan (dalam KWSP),” katanya ketika sesi ‘townhall’ Majlis Pelancaran Tawaran PN BEST di sini, malam ini.

Lihat video ucapan beliau di bawah:

Baca juga:

Bantu kami share artikel ini:

eCentral Newsletter

Nak tahu bantuan bulan depan? Subscribe sekarang!