Karangan Laporan: Format & Contoh Karangan

karangan laporan
Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut

Untuk melaporkan mengenai sesuatu peristiwa, murid dikehendaki untuk menulis karangan laporan.

Karangan ini memerlukan murid untuk melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.

Mengenai Karangan Laporan

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, laporan bermaksud sesuatu yang dilaporkan, maklumat tentang sesuatu kedudukan (masalah yg dihadapi dan lain-lain) yang dilaporkan.

Dalam erti kata yang mudah, laporan ialah merupakan dokumen bagi melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat.

Ini bermaksud, karangan jenis ini merujuk kepada penulisan mengenai pelaporan peristiwa yang berlaku di seseuatu tempat.

Jenis Karangan Laporan

Karangan ini mempunyai beberapa jenis antaranya:

  • Laporan sesuatu kejadian
  • Laporan sesuatu lawatan
  • Laporan sesuatu kegiatan

Laporan sesuatu kejadian merujuk kepada pelaporan terhadap peristiwa yang berlaku dengan menyertakan maklumat-maklumat mengenai kejadian tersebut.

Laporan sesuatu lawatan pula , penulis mestilah melaporkan perkara yang dilihat, dirasa, dan dialami serta kesan lawatan terhadap pembelajaran.

Bagi laporan sesuatu kegiatan, penulis mestilah seorang setiausaha yang melaporkan kegiatan persatuan dengan menyertakan nama ahli jawatankuasa, sejarah penubuhan, jumlah ahli, dan aktiviti sepanjang tahun.

Format Karangan Laporan

Format karangan ini adalah seperti berikut:

  • Tajuk Laporan: Ditulis dengan huruf besar pada setiap awal kata dan digaris atau ditulis dengan huruf besar semuanya. Tajuk hendaklah ditulis ditengah-tengah.
  • Isi Laporan: Bermula dengan pendahuluan dan diakhiri dengan penutup.
  • Pengakuan penulis: Ditulis di sebelah kiri selepas perenggan terskhir.
  • Tarikh: Ditulis di sebelah kanan laporan, setentang dengan pengakuan pelapor.
  • Tandatangan penulis: Ditulis di sebelah kiri bahagian bawah selepas pengakuan pelapor.
  • Nama penulis: Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan.
  • Jawatan penulis: Ditulis di sudut kiri bahagian bawah laporan dan dibubuh tanda koma di hujungnya.

Contoh Karangan Laporan

Contoh karangan ini boleh dilihat seperti contoh di bawah:

1- Karangan 1

Laporan Lawatan SambiI Belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka

Pada cuti penggal kedua yang lalu, Persatuan Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Damansara telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Lawatan yang diadakan pada hari Sabtu, 19 Mei 2024 disertai oleh seramai 40 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat. Objektif lawatan tersebut adalah untuk mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP, mengetahui cara-cara buku diterbitkan, dan untuk menimba pengetahuan selaras dengan konsep lawatan sambil belajar.

Sebelum bertolak, guru penasihat kami mengingatkan para pelajar supaya menjaga disiplin dan nama baik sekolah semasa di sana. Selepas mendengar pesanan beliau, barulah rombongan kami bertolah dari sekolah. Kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka tepat pukul 11.00 pagi. Rombongan kami disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau memberi penerangan tentang sejarah penubuhan DBP dan tujuan penubuhannya. Kami juga diberi taklimat ringkas tentang bahagian-bahagian yang akan kami lawati. Sebelum itu, kami diberi satu naskah majalah Pelita Bahasa keluaran DBP secara percuma.

Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah ke bahagian pameran. Semasa berada di bahagian ini kami berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP sama ada buku-buku lama atau buku-buku baru. Buku-buku tersebut ditulis dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang merangkumi buku-buku agama, politik, ekonomi, dan bahasa. Kami juga berpeluang mengenali berbagai-bagai jenis majalah seperti majalah Pelita Bahasa, Dewan Masyarakat, Dewan Siswa, Dewan Pelajar dan lain-lain.

Kami juga diberi beberapa maklumat tentang buku-buku dan majalah-majalah tersebut terutamanya apabila timbul beberapa kemusykilan. Selepas itu, kami dibawa ke bahagian pencetakan. Di sini, kami melihat dengan jelas cara-cara buku dan majalah dicetak. Kami perhatikan buku-buku tersebut dicetak dengan begitu pantas dengan menggunakan alat-alat yang canggih, teknik-teknik yang sistematik, yang diusahakan oleh pekerja-pekerja yang mahir dan cekap. Kami juga dapat melihat dengan jelas cara buku-buku itu dijilid, disusun, dan sebagainya.

Sebelum pulang, kami tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa buah buku bagi kegunaan kami. Hal ini demikian kerana kami diberi potongan harga istimewa oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Kira-kira pukul 3.00 petang, selepas dihidangkan jamuan ringan, kami mula bertolak keluar dari perkarangan DBP. Lawatan tersebut telah menimbulkan banyak faedah kepada kami. Antara faedah-faedahnya ialah kami dapat mengenali buku-buku bermutu keluaran DBP. Buku-buku tersebut didapati telah menjadi bahan rujukan utama sama ada oleh para pelajar, mahasiswa, mahupun orang perseorangan.

Akhirnya, lawatan tersebut dapat menyemai minat dan budaya membaca di kalangan pelajar. Sekurang-kurangnya timbul keinsafan dan kesedaran di hati kami tentang betapa pentingnya membaca untuk menambah pelbagai maklumat dan pengetahuan. Lawatan sambil belajar yang kami anjurkan ini dianggap berkesan kerana kami dapat menimba ilmu dan meluaskan pengetahuan. Walaupun lawatan seumpama ini pertama kali dianjurkan oleh persatuan kami, namun lawatan ini sangat berhasil. Harapan kami agar lebih banyak pelajar di sekolah ini menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.

Laporan disediakan oleh,

………………………………………….

(NUR SHAFINAS BINTI JOHARI)
Setiausaha,
Persatuan Matematik, Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Damansara

2- Karangan 2

Laporan Lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

Pada 20 April 2020 yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Bukit Antarabangsa telah mengadakan lawatan ke pameran buku yang diadakan di Putra World Trade Centre (PWTC). Terdapat 35 orang murid dan lima orang guru pengiring menyertai lawatan ini. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memupuk minat membaca dalam kalangan murid. Kami bertolak ke pameran buku pada pukul 9.00 pagi dengan menaiki bas sekolah yang disewa khas oleh pihak sekolah.

Dalam perjalanan, kami berbual-bual dengan mesranyanya sambil menikmati pemandangan yang indah nian. Kami tiba di pameran buku pada pukul 10.00 pagi. Kami melihat banyak pengunjung di sana seperti ikan dalam belat. Selepas itu, kami terus masuk ke pameran buku itu untuk melihat pilihan buku yang dijual di sana.

Terdapat pelbagai jenis buku yang dijual di sana. Antaranya komik, buku cerita, novel, kamus, buku rujukan dan lain-lain lagi. Murid-murid memilih buku-buku yang dikehendaki masing-masing. Buku-buku di sana dijual dengan harga yang berpatutan. Setelah selesai memilih buku, murid-murid beratur dengan tertibnya di hadapan kaunter untuk membuat pembayaran.

Para pempamer buku di sana melayan pelanggan dengan mesranya dan memberikan potongan harga kepada kami. Pada pukul 1.00 tengah hari, kami pun pulang ke sekolah. Murid-murid berasa sangat gembira kerana dapat pergi ke pameran buku. Kami berharap agar dapat ke sana lagi pada masa akan datang.

Laporan disediakan oleh,

……………………………………

(MOHD AFIQ BIN JUHANI)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu, SMK Bukit Antarabangsa.

Info Lanjut

Info lanjut mengenai karangan laporan, sila tonton video di pautan https://www.youtube.com/watch?v=d4qxkG7fuKs.

Baca juga: Karangan Kesan Pembuangan Sisa Domestik

Follow eCentral di WhatsApp Channel
Ikut